Kesan penjajahan ke atas tanah air kita memang meninggalkan impak yang mendalam yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Tanah Melayu merupakan antara kawasan paling lama dikuasai orang luar, dipindah-pindahkan hak milikannya sesuka hati dari satu tangan ke satu tangan lain - sehinggalah terbentuk apa yang kita kenali sekarang sebagai Malaysia.

Bagi ramai orang, mengagungkan saki-baki era penjajahan merupakan satu penghinaan kepada masyarakat kita tetapi ada juga pihak yang merasakan tanpa kehadiran penjajah, kita akan kekal di belakang tanpa kemajuan dan teknologi yang dibawa mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin kerana itulah ada nama tokoh penjajah zaman lampau yang warisannya harus terus dikekalkan, untuk dikenang serta diabadikan. Berikut adalah lima tokoh yang masih disanjung walaupun kita katanya sudah merdeka.

1. John Frederick Dickson

frederick dickson port pelabuhan british

Lokasi strategik kawasan yang dinamakan sebagai Tanjung di kalangan penduduk setempat, membolehkan kegiatan ekonomi berasaskan kayu bakau dijalankan di sana. Kayu bakau yang ditebang, akan diproses untuk dijadikan arang yang akhirnya dijadikan bahan dagang peniaga dari China, Arab dan India.

Disebabkan oleh aktiviti perdagangan yang rancak, kerajaan British melalui setiausaha mereka, Sir John Frederick Dickson memulakan usaha untuk membina pelabuhan di pekan Tanjung bagi memudahkan kapal-kapal belayar. Bagi memudahkan perhubungan darat pula, sebuah laluan keretapi yang menghubungkan Tanjung dengan Sungai Ujung (kini Seremban) dibina.

Seorang graduan dari Oxford, Dickson memulakan khidmat bersama kerajaan Britain sebagai penulis sekitar dekad 1850-an sebelum mula menjadi setiausaha Britain di Singapura sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 1891. Sepanjang berkhidmat, beliau lebih banyak memangku tugas gabenor ekoran ketiadaan pegawai dalam jawatan tersebut.

Usaha beliau membangunkan ekonomi pekan Tanjung menjadi legasi utama beliau di Malaysia.

Selepas selesai projek besar-besaran memodenkan Tanjung yang dikatakan selesai 2 tahun selepas kematian beliau, nama Tanjung digantikan dengan nama baru 'Port Dickson' bagi memperingati jasa beliau kepada masyarakat di sana yang sebenarnya telah lama meniaga, sebelum kedatangan beliau lagi.

2. Raja George III

raja george georgetown

Raja George III yang memerintah Great Britain dan Ireland, merupakan antara individu yang paling banyak lokasi dinamakan sempena namanya. Sehingga kini, terdapat 50 buah bandar atau pekan yang dinamakan 'Georgetown' bagi menghormati beliau. Salah satunya terletak di Pulau Pinang hasil 'ciptaan' Francis Light.

Dilahirkan pada 4 Jun tahun 1738, George William Frederick mula memegang tampuk kuasa di Great Britain dan Ireland sejak tahun 1760. Semasa masih memerintah, Raja George III juga berjaya menyelia penggabungan dua badan parlimen di Great Britain dan Ireland, menyaksikan pentadbiran kedua-dua kawasan itu digabungkan di bawah satu badan pemerintah.

Bagaimanapun, pemerintahan beliau turut terpalit dengan titik hitam ekoran kegagalan Great Britain untuk terus mengekalkan penguasaan mereka di kawasan koloni Amerika Syarikat, selepas tewas dalam perang saudara yang dimulakan gerakan pemberontakan - mengakibat Britain hilang Amerika Syarikat.

Pada penghujung dekad pemerintahan beliau, George III mula mengalami masalah mental akibat penyakit porfiria yang mengakibatkan beliau hilang kemampuan untuk berfikir dengan waras. Selepas hilang kemampuan untuk mengingati, mula buta dan pekak - George III meninggal dunia ketika masih bergelar Raja digantikan anaknya Raja George IV.

3. Santo Paul

st paul the apostle

Gereja dan Bukit Saint Paul kini cukup terkenal sebagai lokasi pelancongan di Melaka. Bagaimanapun, sebelum dinamakan dengan nama tersebut - nama asalnya adalah Bukit Melaka. Siapakah Saint Paul atau Santo Paul yang disanjung-sanjung ini?

Santo Paul adalah antara pendakwah terawal ajaran Jesus Christ, cukup dikenali dengan gelaran Saint Paul the Apostle - 'apostle' bererti seseorang yang bertanggungjawab menyambung ajaran. Oleh kerana itulah di kalangan masyarakat Kristian, nama Santo Paul merupakan antara nama besar yang dihormati.

Dilahirkan dengan nama Saul di Tarsus (kini di Turki), legasi terbesar Santo Paul kepada masyarakat Kristian sekarang adalah hasil tulisan beliau yang terkandung dalam surat-surat karangannya, menjadi rujukan utama dalam kitab Perjanjian Baru.

Walaupun demikian, banyak juga pihak di kalangan masyarakat Kristian sendiri yang merasakan apa yang diajarkan Santo Paul merupakan detik sebenar berlakunya korupsi kepada ajaran asal yang dibawakan Jesus Christ.

Presiden Amerika Syarikat ketiga, Thomas Jefferson merupakan individu paling lantang mengutuk Santo Paul. Sehinggakan beliau memilih untuk menggunakan pisau bagi membuang mana-mana bahagian dalam kitab Bible yang dirasakan adalah perkara karut yang ditokok-tambah oleh Santo Paul.

4. William John Butterworth

nama penjajah yang masih digunakan

Bertugas sebagai Gabenor negeri-negeri Selat selama lebih 10 tahun, sumbangan Mejar-Jeneral William John Butterworth kepada penjajah British di Tanah Melayu agak besar.

Beliau mempunyai reputasi sebagai seorang askar yang tegas, sehingga dinamakan sebagai 'Butterpot the Great' di kalangan askar atas perangainya yang sukar untuk bertimbang rasa, ego dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain. Bagaimanapun, dalam aspek pembangunan - sumbangan beliau tidak boleh dinafikan.

Hadir ke semenanjung Tanah Melayu selepas menggalas tanggungjawab mengepalai tentera British di Madras, India - Mejar Jeneral Butterworth membuktikan kemampuan menangani konflik di kalangan peniaga Cina di Singapura, yang terjadi sekitar tahun 1954.

Bagi membantu situasi tidak berlanjutan, Butterworth turut menubuhkan pasukan sukarelawan pertahanan negeri Selat pertama di mana beliau bertindak sebagai kolonel.

Butterworth naik sebagai Gabenor kepada Kepulauan Prince of Wales, Singapura dan Melaka pada 17 Mac 1843. Bagi menghargai sumbangannya kepada kuasa kolonial, sebuah bandar bernama Bagan di Pulau Pinang ditukarkan kepada Butterworth bagi mengingati jasa beliau.

5. Orang Ferringhi

batu ferringhi pulau pinang nama frank

Untuk bahagian terakhir artikel ini, kita cuba melihat kenapakah Batu Ferringhi di Pulau Pinang dinamakan sedemikian rupa - sedangkan istilah itu bukanlah satu istilah Melayu mahupun nama penjajah yang pernah bermaharajalela di negara kita.

Dari aspek bahasa, istilah 'Feringghi' yang digunakan bermaksud 'orang luar', merujuk pada awalnya kepada orang-orang Frank yang hadir dari kawasan sekitar Jerman dan menduduki beberapa kawasan di Eropah. Mereka ini jugalah pengasas kepada negara Perancis sekarang - selepas menubuhkan kerajaan dinamakan 'Latin Francia.'

Istilah 'Franks' itu kemudiannya dipinjam pedagang Arab dan Parsi, yang menukarkan sebutannya kepada 'Farang' atau 'Farangi' bagi merujuk orang Eropah secara am. Bagaimanapun, nama 'Feringghi' yang kita gunakan itu dipinjam daripada sebutan masyarakat India 'Firangi' bagi merujuk kumpulan sama.

Dalam aspek ejaan bahasa Melayu, 'Feringgi' pernah ditulis dalam versi Ferenggi, Ferringi, Peringgi, Pringgi dan juga Parringgi.

Tetapi kini secara rasmi ejaan yang didaftarkan dalam daftar kata kita adalah 'Peringgi', merujuk kepada orang Portugis walaupun pada asalnya merujuk kepada mana-mana komuniti orang Eropah.

Siapa sangka Batu Ferringhi di Pulau Pinang sebenarnya ada bau-bau bacang dengan negara Perancis kan? Kedua-duanya sebenarnya menggunakan nama yang mempunyai maksud serupa. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)