Oleh pada 19 May 2023 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

     

Program Mega Spontan 2023 adalah satu permainan lawak spontan berskala besar yang ditayangkan di saluran Astro Warna dengan kerjasama KLPOST.

Rancangan game show komedi spontan ini dihasilkan semula dengan konsep yang lebih segar.

Bernadikan 'Takhta Nusantara', ia mempertemukan empat kumpulan yang mewakili kerajaan-kerajaan Nusantara, iaitu Srivijanda, Langkataksuka, Majakelat dan Campaktakjauh.

Bakat-bakat komedi dalam kalangan peserta akan diperlihatkan di atas satu pentas yang epik dan gah. Mereka bakal melalui permainan lawak spontan secara improvisasi yang menguji daya kreativiti mereka dalam jangka masa yang terhad. Pemenang seterusnya akan dinobatkan sebagai 'Raja Kerajaan Takhta Nusantara'.

     

mega spontan 2023

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

      

Konsep

Dalam tempoh lapan minggu, 20 peserta akan dipisahkan ke dalam empat kumpulan yang terdiri daripada barisan pelawak 'otai' yang terkenal dalam dunia komedi, selebriti-selebriti popular, bakat-bakat muda serta pemain yang telah dipilih melalui sesi uji bakat terbuka.

Lapan segmen menarik akan menyemarakkan pertandingan mingguan. Setiap kumpulan disokong oleh 'Hulubalang dan pahlawan-pahlawannya' masing-masing.

Pertandingan akan dijalankan dalam enam pusingan yang melibatkan persaingan antara dua kumpulan dalam permainan lawak spontan dan juga permainan Battle Royale di mana keempat-empat kumpulan akan bergilir-gilir bertanding.

Dalam setiap permainan ini, kecekapan improvisasi dan daya kreativiti pemain sangat diperlukan dalam masa yang diperuntukkan. Pusingan akan dimenangi oleh kumpulan yang mampu menarik perhatian juri dan Game Master melalui lemparan lawak spontan yang paling hebat.

Seperti format sebelumnya, para 'komentator' atau mentor akan hadir dengan ulasan ringkas mengenai persembahan setiap kumpulan, serta menggunakan helah mereka untuk 'mengacau' dan menjatuhkan kumpulan lawan.

Sebagai Game Master pula, Dato' Afdlin Shauki akan menilai setiap persembahan mengikut peraturan permainan yang telah ditetapkan.

Kad imuniti dalam format permainan masih diwujudkan dan boleh diperoleh melalui pusingan Physical Challenge.

Keempat-empat kumpulan akan berentap dalam permainan fizikal untuk mendapatkan imuniti.

Manakala, Game Master akan menentukan pemain atau kumpulan mana yang berjaya memenangi kad imuniti yang akan memberikan kekebalan dalam segmen penyingkiran. Setiap minggu, kad imuniti akan diberikan kepada pemenang.

        

Format Penjurian

Kuasa untuk menentukan pemarkahan persembahan terbaik setiap minggu berada di tangan penonton melalui undian dalam talian di www.gempak.com. Jumlah markah undian dalam talian akan menentukan pemenang mingguan dan bottom 2.

Kumpulan dengan markah terendah akan menghadapi hukuman yang ditetapkan oleh Game Master. Sekiranya kumpulan tersebut memperoleh kad imuniti, kumpulan kedua terendah akan menggantikan tempat mereka untuk menjalani hukuman. Untuk julung kalinya, penyingkiran akan dilakukan secara berkumpulan, namun hanya pada minggu-minggu tertentu sahaja.

         

super spontan

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

        

Peserta

Terdapat satu perkara yang menarik mengenai rancangan komedi spontan ini yang mana ia juga melibatkan rakyat Malaysia dan generasi BBNU yang mempunyai bakat dalam bidang komedi.

Rancangan ini menampilkan 20 pemain yang dibahagikan kepada empat kumpulan. Selain daripada barisan pelawak popular dan selebriti terkenal, rancangan ini turut mengundang wajah-wajah baru dalam industri hiburan, selebriti media sosial dan rakyat biasa yang dipilih melalui sesi uji bakat terbuka.

Pada minggu pertama rancangan ini, penonton akan diperkenalkan kepada empat pemain yang terpilih daripada uji bakat terbuka.

        

Senarai Peserta Mega Spontan 2023

1. Game Master - Datuk Afdlin Shauki

    

2. Mentor

Kerajaan Majakelat : Zizan Razak

Kerajaan Srivijanda : Kamal Adli

Kerajaan Langkataksuka : Sabri Yunus

Kerajaan Campaktakjauh : Douglas Lim

     

3. Pemain Mega Spontan 2023

Atu Zero, Mamak Puteh, Joey, Ropie, Mamat Sepah, Naim Daniel, Fadli Masoot, Dato’ Jalaluddin Hassan, Mark Adam, Adlin Aman Ramli, Roy Azman, Noreen Iman, Ramona Zam Zam, Farahdhiya, Sanjna Suri dan Aya Amiruddin.

         

Game Master Dan Mentor

Pelawak-pelawak versatil terkenal negara akan mengetuai setiap kumpulan sebagai 'Mentor'. Zizan Razak akan memimpin kerajaan Majakelat, Douglas Lim mewakili kerajaan Campaktakjauh, Sabri Yunus mengendalikan kerajaan Langkataksuka dan Kamal Adli sebagai wakil kerajaan Srivijanda.

Mereka akan membantu dalam strategi kumpulan dan memberikan komen terhadap persembahan kumpulan-kumpulan tersebut, termasuk persaingan Battle Royale.

Dato’ Afdlin Shauki turut kembali ke gelanggang sebagai Game Master. Tugasnya adalah menilai gerak-geri setiap pemain di Panggung Percubaan UPM Serdang itu.

Tidak hanya akan menyampaikan komen-komen beliau dengan gaya humor yang menggeletek, Datuk Afdlin turut memainkan peranan penting dalam menentukan peraturan setiap permainan. Selain itu, beliau mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan pemenang.

Tidak berhenti di situ, beliau turut bertanggungjawab dalam pemilihan hukuman bagi kumpulan yang tercorot serta memberikan 'imuniti' kepada pemain dan kumpulan.

           

mega spontan astro

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

        

Pengacara

Bagi pertama kalinya, pertandingan lawak spontan ini menyajikan Sherry Alhadad sebagai hos yang mana beliau cukup sinonim dengan bidang komedi. Bersama beliau, Amir Raja Lawak akan bertugas sebagai pasangan pengacara yang akan melontarkan soalan-soalan panas kepada setiap kumpulan peserta.

     

Hadiah

Kumpulan Juara Mega Spontan akan memenangi ganjaran wang tunai sebanyak RM200,000 dan sebuah trofi sebagai penghargaan. Selain itu, Pemain Terbaik Pusingan Akhir akan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta sebuah trofi. Hadiah mingguan sebanyak RM5,000 akan didermakan kepada badan amal yang terpilih.

      

Rakan Digital

Kolaborasi hebat antara Gempak dan Zon Lawak sebagai Rakan Digital akan mewarnai kemeriahan 'Mega Spontan 2023'. Turut hadir sebagai Rakan Radio Rasmi ialah SINAR.

        

peserta mega spontan

Kredit foto: Instagram Sinar

        

Waktu Siaran

Jangan lepaskan siaran langsung 'MEGA SPONTAN' dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang selama lapan minggu berturut-turut. Program ini akan bermula pada 19 Mei 2023, setiap hari Jumaat, pukul 9 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107). Bagi anda yang menginginkan pilihan yang lebih fleksibel, rancangan ini juga boleh disaksikan secara dalam talian (online) melalui platform On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go.

         




Hakcipta iluminasi.com (2017)