Kredit foto: Instagram Antenna Entertainments
Tahun 2024 menyaksikan kemunculan filem seram Indonesia, Sumala, yang diinspirasikan daripada sebuah legenda yang dikatakan kisah nyata, dan kini semakin rancak diperkatakan di media sosial.
Sebuah cerita oleh Betz Illustration yang disusun menjadi skrip oleh Riheam Junianti, direalisasikan dalam bentuk filem di bawah arahan Rizal Mantovani dan produksi Hitmaker Studios.
Kredit foto: Instagram Hitmaker Studios
Filem ini terlebih dahulu meraih perhatian di pawagam Indonesia pada 26 September 2024, sebelum menjejak ke skrin besar Malaysia pada 7 November 2024.
Bermula 6 Februari 2025, filem ini boleh distrim menerusi Netflix, yang membuka peluang kepada penonton untuk menikmatinya pada bila-bila masa.
Sinopsis
Adaptasi legenda seram yang dikatakan benar-benar berlaku di sebuah desa terpencil di Kabupaten Semarang, Jawa Tengah pada era 1940-an, kisah ini terus menghantui dari satu generasi ke generasi.
Diceritakan semula oleh @bangbetz.illustration melalui saluran YouTube dan thread viral di X, legenda ini berkisar tentang sosok bernama Sumala — nama yang begitu digeruni penduduk kampung dari dahulu hingga kini. Setiap kali malam menjelang, tiada siapa berani keluar rumah dan kanak-kanak akan dipastikan berada di dalam sebelum waktu Maghrib. Kononnya, Sumala masih wujud hingga ke hari ini, yang menjadi mimpi ngeri tidak pernah pudar dalam ingatan warga Semarang.
Sumala mengisahkan tentang Soedjiman dan Sulastri, sepasang suami isteri kaya yang mempunyai ladang jagung luas di desa terpencil itu pada tahun 1948. Namun, kebahagiaan mereka diuji apabila selepas sebelas tahun perkahwinan, mereka masih belum dikurniakan zuriat. Soedjiman yang semakin terdesak mula mengugut Sulastri — jika dia tidak mengandung dalam waktu terdekat, perkahwinan keduanya bakal menjadi kenyataan. Tertekan dengan ancaman suaminya, Sulastri nekad melakukan sesuatu di luar batasan — dia mencari seorang dukun ilmu hitam dan membuat perjanjian dengan syaitan demi mendapatkan anak. Namun, harga yang perlu dibayar jauh lebih mengerikan daripada apa yang pernah dia bayangkan.
Perjanjian terkutuk itu hadir dengan satu syarat — Sulastri bakal melahirkan anak kembar, namun takdir mereka sudah ditentukan sejak dalam kandungan. Seorang akan lahir sebagai cahaya mata yang jelita dan baik budi, sementara seorang lagi sebagai anak yang hodoh dan nakal. Sulastri dan Soedjiman wajib membesarkan kedua-duanya dengan kasih sayang hingga usia mereka mencecah sepuluh tahun. Selepas itu, anak yang hodoh akan diambil oleh iblis dan sebagai balasan, kebahagiaan bakal menjadi milik mereka seumur hidup. Namun, jika mereka gagal memenuhi perjanjian ini, malapetaka bakal menimpa keluarga mereka — dan ia akan menjadi semakin buruk saban tahun.
Tanpa berfikir panjang, Sulastri menerima syarat itu. Ritual pun dijalankan dan akhirnya, dia disahkan hamil. Kegembiraan menyelimuti dirinya dan Soedjiman, seolah-olah mereka telah menemui jalan keluar daripada tekanan yang selama ini menghantui rumah tangga mereka. Namun, mereka tidak sedar, keindahan itu hanya fatamorgana yang menutup mimpi ngeri yang bakal menjelma.
Apabila tiba saat kelahiran, sepasang bayi kembar lahir ke dunia. Seperti yang diramalkan, salah seorang hadir dengan kecantikan yang menawan, sementara yang satu lagi membawa ketakutan yang sukar diungkapkan. Bayi yang dikatakan membawa darah iblis itu diberi nama Sumala — dan sebaik sahaja Soedjiman melihat wajahnya yang menyeramkan, tanpa ragu, dia menamatkan riwayat bayi itu dengan kejam.
Kembar Sumala, Kumala membesar sebagai gadis yang memiliki wajah cantik, namun takdir tidak pernah memberikannya kesempurnaan. Dia dilahirkan dengan tubuh yang lemah — kakinya tempang, tangannya cacat dan tubuhnya bongkok. Kecacatan itu menjadi beban yang tidak dapat diterima oleh Soedjiman. Rasa malu membalut egonya hingga membuatkan dia tidak membenarkan Kumala keluar dari rumah.
Dunia luar bukan tempat yang menyambut Kumala dengan tangan terbuka — kanak-kanak di kampung sering mentertawakannya dan mengejek setiap langkahnya yang serba kekurangan. Di dalam rumah pula, dia bukanlah anak yang didambakan ibu bapanya.
Seiring waktu, jiwa Kumala semakin terperangkap dalam kegelapan. Dia bukan lagi anak kecil yang lembut dan penuh harapan — sebaliknya, dia membesar dengan kemarahan yang membara di dalam hati. Soedjiman yang tidak dapat menerima keadaan Kumala mula melemparkan segala kesalahan terhadap Sulastri. Baginya, wanita itu telah membawa kehancuran dalam hidup mereka.
Hari demi hari, rumah mereka bukan lagi tempat berlindung, sebaliknya menjadi medan penyeksaan bagi Kumala. Kecewa dan putus asa, Soedjiman dan Sulastri mula bertindak kejam — mereka mengikat anak itu dan memperlakukannya seolah-olah dia bukan manusia. Jika ibu bapanya sendiri tidak menyayanginya, apatah lagi penduduk kampung? Kumala dijauhi, dihina, malah sesetengahnya melepaskan geram dengan menyakiti dirinya. Dia hanya mampu menangis dalam kesakitan, serta menanggung derita tanpa sebarang daya melawan.
Namun, segalanya berubah pada hari ulang tahunnya yang kelapan. Sumala — kembarnya yang telah mati — muncul semula dalam kehidupannya. Sumala datang untuk membalas dendam terhadap mereka yang telah menyakiti Kumala.
Dari saat itu, kehidupan Kumala berubah secara drastik. Satu demi satu kejadian aneh berlaku. Orang kampung yang menyakitinya kini dihantui ketakutan, kerana setiap hari, seorang kanak-kanak akan ditemui mati dalam keadaan tragis.
Orang kampung mula percaya Kumala membawa petaka. Soedjiman dipersalahkan atas kekacauan yang berlaku, namun Kumala membela dirinya — dia mengatakan bahawa segala kejadian ngeri itu bukan angkara dirinya, namun perbuatan kakaknya, Sumala, yang kembali dari dunia kematian.
Baca: 10 Filem, Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru (2024 / 2025) Mesti Tonton!
Baca: 10 Filem Indonesia Terbaru Mesti Tonton (2023 / 2024), Juga Tersedia Online!
Kredit foto: Instagram Luna Maya
Pelakon / Cast
Teraju utama filem ini disandang oleh Luna Maya, Darius Sinathrya dan Makayla Rose Hilli, manakala peranan sampingan dihidupkan oleh Ivonne Dahler, Denino Basrial, Budi Gunawan, Denny Rahman, Arianda Calief, Abiyyu Barakbah, Varren Ganesha Putra, Agus Julian, Danang, Ananda George dan Christopher.
Kredit foto: Instagram Luna Maya
Turut serta, Yusuf Ozkan, Attar Kribo, Jonatan Alvaro, Wiliandrew, Pangeran Darma, Sri Yatun, Donny Fadhly, Alita Kalie, Kiky Brata, Dante Ganesha dan Rachael Mikhayla.
Watak Pelakon
Luna Maya sebagai Sulastri
Darius Sinathrya sebagai Soedjiman
Makayla Rose sebagai Kumala dan Sumala
Ivonne Dahler sebagai Mbok Sum
Denino Basrial sebagai Sukir
Budi Gunawan sebagai Kusno
Denny Rahman sebagai Sabdo
Varren Arianda Calief sebagai Sabdo (Kecil)
Abiyyu Barakbah sebagai Abdi (Kecil)
Ganesha Putra sebagai Sutrisno
Agus Julian sebagai Bapa Sutrisno
Ananda George sebagai Soekarjo
Danang sebagai Abdi
Christopher sebagai Jaroen
Jonatan Alvaro sebagai Supri
Yusuf Ozkan sebagai Jono
Attar Kribo sebagai Sukro
Pangeran Darma sebagai Parto
Wiliandrew sebagai Banu
Sri Yatun sebagai Tukinah
Donny Fadhly sebagai Harjo
Kiky Brata sebagai Mbok Darni
Alita Kalie sebagai Sumala (3 tahun)
Rachael Mikhayla sebagai Sumala (5 tahun)
Dante Ganesha sebagai Sabdo (17 tahun)
Pengarah Dan Syarikat Produksi
Hasil garapan penulis Riheam Junianti yang berpandukan kisah asal Betz Illustration ini dihidupkan di layar perak menerusi sentuhan pengarahan Rizal Mantovani dan produksi Hitmaker Studios.
Tarikh Tayangan
Memulakan perjalanan sinematiknya di pawagam Indonesia pada 26 September 2024, filem ini kemudian menemui peminat Malaysia pada 7 November 2024.
Kredit foto: Instagram Hitmaker Studios
Filem ini secara rasmi memasuki katalog Netflix pada 6 Februari 2025, sekali gus memberi akses kepada penonton untuk menikmatinya di mana-mana sahaja.
Judul: Sumala
Genre: Seram
Bahasa: Indonesia
Durasi: 1 jam 53 minit
Klasifikasi: 18+
Platform online: Netflix
Kredit video: Film Sumala - Full Official Movie Trailer , Release Date 19 September 2024