Oleh pada 09 Apr 2024 kategori

        

Filem-filem dari Indonesia bukan sahaja menguasai skrin lebar, malah juga menakluk hati penonton-penonton di Malaysia.

Tahun 2023 dan 2024 menampilkan karya-karya terbaru yang menarik dan yang istimewanya, kebanyakan daripadanya boleh ditonton secara online.

Justeru, jika pembaca ingin tahu apa yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan, inilah 10 filem Indonesia yang tak patut anda lepaskan!

       

172 Days (2023)

filem indonesia islamik 16667

Genre: Cinta Islamik, Drama

Platform online: Netflix

        

Diinspirasi daripada kisah benar, filem ini mengisahkan tentang Nadzira Shafa, seorang wanita muda yang cuba merangkak keluar dari bayang-bayang masa lalunya yang gelap, memutuskan untuk menemui ketenangan dalam agama Islam. Di tengah perjalanan pencarian arah hidupnya, dia bertemu dengan cinta sejatinya, Ameer Azzikra. Namun penghijrahan itu tidak menjamin dirinya bebas daripada dugaan dan kesedihan. Ujian datang dalam bentuk kehidupan perkahwinannya yang tidak dijangka, mengarah kepada perpisahan mereka.

        

*Diilhamkan daripada novel berjudul sama karya Nadzira Shafa.

        

Air Mata Di Ujung Sajadah (2023)

filem indonesia terkini 14422

Genre: Drama, Kekeluargaan

Platform online: Netflix

         

Aqilla, seorang wanita yang telah lama hidup dalam pembohongan bahawa anak lelakinya, Baskara, telah meninggal dunia sejak lahir, tiba-tiba dikejutkan dengan kenyataan yang menyayat hati - anaknya masih hidup. Namun, kisahnya menjadi rumit kerana Baskara dibesarkan oleh pasangan lain, Arif dan Yumna, kerana ibunya, Halimah menyembunyikan kebenaran dari Aqilla dan menyerahkan Baskara kepada mereka.

       

Agak Laen (2024)

filem indonesia terbaru 11245

Genre: Komedi Seram

        

Empat rakan yang bekerja di sebuah permainan rumah berhantu di pasar malam merancang langkah berani untuk menyelamatkan perniagaan mereka yang terancam oleh kebankrapan. Namun, malapetaka menimpa apabila usaha mereka untuk menakutkan pengunjung berakhir dengan kematian tragis seorang lelaki tua. Dalam kepanikan, mereka membuat keputusan untuk menyembunyikan jasad mangsa di dalam rumah berhantu itu. Tanpa mereka sedari, tindakan itu mengubah nasib perniagaan mereka, dengan jumlah pengunjung yang meningkat secara mendadak kerana kisah seram sebenar yang berlaku di dalam rumah tersebut. Ketika kehadiran roh mangsa yang menghantui rumah itu menimbulkan ketakutan yang sebenar, polis mula menyiasat kejadian misteri itu. Dalam usaha untuk menutup insiden berkenaan, mereka terjerat dalam jaringan konspirasi yang semakin rumit dan gila!

        

Ketika Berhenti Di Sini (2023)

filem indonesia netflix 15599

Genre: Drama, Romantik

Platform online: Netflix

        

Dita, seorang pereka grafik yang masih berusaha menangani kesedihan dan kehilangan selepas kematian kekasihnya, Ed, bertemu dengan Ifan, sahabat lama yang akhirnya menjadi kekasihnya. Namun, ketenangan yang cuba dikecapi terhenti apabila Dita menemui sebuah versi holografi Ed dalam kaca mata berteknologi Realiti Tambahan (AR). Pertemuannya dengan Ed dalam bentuk yang baru menggugat keyakinan dan perasaannya. Dita terpaksa membuat keputusan yang sukar antara memulakan kehidupan baharu dengan Ifan atau kembali kepada kenangan cinta yang telah tiada.

        

Layangan Putus: The Movie (2023)

filem 82142

Genre: Romantik, Drama

        

Perceraian antara Kinan dan Aris telah diputuskan oleh mahkamah, namun kisah cinta masa lalu masih menghantui Aris, yang hatinya masih kepada Kinan. Sebagai ibu tunggal, Kinan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru bersama anak perempuannya, Raya, sambil kembali aktif dalam profesionnya sebagai seorang doktor. Namun, keadaan menjadi sukar apabila Aris membawa Lydia, kekasihya, untuk bertemu dengan Kinan dan Raya. Lydia tidak puas dengan kedudukannya sebagai kekasih dan mahu lebih - dia ingin menjadi isteri kepada Aris. Dalam kebingungan, Aris meminta pendapat Kinan, mengundang konflik yang lebih kompleks lagi.

        

*Hasil adaptasi daripada novel bertajuk sama yang ditulis Mommy ASF.

        

Hello Ghost (2023)

indonesia movie netflix 14998

Genre: Komedi Seram

Platform online: Netflix

        

Kresna, seorang lelaki yang hampir menamatkan hidupnya dalam percubaan membunuh diri yang gagal, dihantui oleh empat hantu yang meminta pertolongan daripadanya untuk menyempurnakan urusan mereka yang belum selesai di dunia ini. Meskipun awalnya enggan, Kresna mula memenuhi permintaan mereka yang kemudiannya menemukan makna baru dalam hidupnya. Sementara dia berusaha membaiki keadaan, cinta tumbuh di hatinya terhadap Jururawat Linda.

        

*Merupakan versi Indonesia kepada filem Korea Selatan 2010 arahan Kim Young-tak dengan judul serupa.

        

Di Ambang Kematian / The Verge of Death (2023)

filem hantu indonesia 13226

Genre: Seram

Platform online: Prime Video

         

Nadia telah kehilangan semua anggota keluarganya akibat sumpahan yang melanda. Mereka terikat dengan amalan sihir hitam yang memerlukan pengorbanan seorang ahli keluarga setiap sepuluh tahun. Kini, Nadia adalah yang terakhir tinggal selepas kehilangan ibu dan adiknya yang tercinta. Dia menyedari bahawa giliran itu pasti tiba untuknya bagi menjadi mangsa yang berikutnya.

        

*Diilhamkan daripada kisah benar.

        

Badarawuhi Di Desa Penari / Dancing Village: The Curse Begins (2024)

filem seram indonesia 18451

Genre: Seram

       

*Akan datang di pawagam pada 11 April 2024.

        

Kehidupan di sebuah kampung terpencil di Indonesia dipenuhi dengan misteri yang menakutkan, terutamanya ketika entiti paling ditakuti, Badarawuhi memunculkan diri. Kedatangan sekumpulan pelajar yang ingin menjalankan Kursus Kerja Nyata (KKN) di kampung itu membawa banyak ketegangan dan kejutan. Ketika mereka tinggal di sana, peristiwa tak terduga menghantui mereka satu per satu. Mila, salah seorang pelajar, menjadi sasaran serangan Badarawuhi yang menyeramkan. Dia dipilih oleh iblis ular untuk menjadi penari di dunianya, meninggalkan rohnya terperangkap di alam lain.

        

*Prekuel kepada filem seram 2022 'KKN Di Desa Penari'.

        

Bismillah Kunikahi Suamimu (2023)

filem indonesia 2023 17777

Genre: Romantik, Drama

        

Malik dan Hanna sedang menantikan kelahiran anak pertama mereka, namun kegembiraan mereka terganggu ketika Hanna didiagnosis dengan kanser semasa mengandung. Dalam perjuangan untuk bertahan, Hanna meminta Malik berjanji untuk berkahwin dengan doktor Cathy, bekas kekasihnya. Malik dan Cathy menolak idea itu, namun Hanna berkeras, memaksa mereka untuk menyetujuinya sebagai permintaan terakhirnya. Janji itu menjadi titik permulaan cinta tiga segi yang rumit antara Malik, Hanna dan Cathy.

         

*Adaptasi daripada novel yang sama judulnya ditulis oleh Vyntiana Itari.

        

Ancika: Dia yang Bersamaku 1995 (2024)

filem indonesia 2024 19411

Genre: Romantik, Drama

        

Kisah cinta Dilan dan Ancika bermula daripada sebuah persahabatan. Dilan, bekas ketua geng motosikal, jatuh hati kepada Ancika, seorang gadis yang menentang keras geng motosikal. Walaupun Ancika menunjukkan ketidakpedulian terhadap Dilan pada mulanya, hubungan mereka perlahan-lahan berkembang menjadi lebih daripada sekadar sahabat. Dilan perlu mendepani pelbagai rintangan dalam usahanya untuk memenangi hati Ancika, termasuklah perbezaan pandangan dan sikap Ancika yang mudah cemburu. Walaupun Ancika adalah gadis yang berbeza dengan Milea, bekas teman wanita Dilan, cinta mereka berkembang di tengah-tengah perbezaan dan cabaran yang mereka hadapi bersama.

        

*Diadaptasi daripada novel berjudul sama karya Pidi Baiq dan merupakan susulan kepada filem pecah panggung, Dilan 1990 (2018), Dilan 1991 (2019) dan Milea: Suara dari Dilan (2020).

       

Baca: 8 Filem Seram Indonesia 'Berhantu' Terbaru Mesti Tonton (2022 / 2023), Juga Tersedia Online!

        




Hakcipta iluminasi.com (2017)