Di bandar Imphal yang terletak di daerah Manipur di India, terdapat satu pasar yang sangat unik dimana kesemua peniaganya adalah wanita. Dalam bahasa tempatan, pasar ini dikenali sebagai "Ima Keithel". Menariknya, pasar ini juga merupakan pasar terbesar di dunia dimana kesemua peniaganya adalah wanita.
Ima Keither mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan bukan baru sahaja wujud. Pasar ini sudah wujud kira-kira 500 tahun dahulu dan terdapat kira-kira 5000 orang peniaga yang menjual pelbagai barangan disini.
BESARKAN TEKS A- A+
Barangan yang dijual adalah pelbagai daripada barangan basah seperti ikan dan sayur sehinggalah kepada pakaian dan barangan kemas. Dalam erti kata lain, pasar ini sangat lengkap dengan pelbagai barangan. Katakan apa sahaja, anda mungkin akan menemuinya di pasar ini.
Kebiasaanya, pengunjung yang datang ke bandar Imphal akan dibawa ke pasar ini. Bagi pengunjung luar yang pertama kali datang ke sini, mereka mungkin merasakan pasar ini terlalu sesak dengan hiruk-pikuk penjual dan pembeli. Namun, kemesraan dan keramahan para penjual terhadap pengunjung menjadikan pasar ini sentiasa diminati pengunjung luar.
Sejarah kewujudan pasar Ima Keithel
Bagi masyarakat luar, pasar ini mungkin dilihat unik hanya kerana kesemua penjualnya terdiri daripada golongan wanita. Namun, bagi masyarakat setempat amnya dan penjual disini khususnya, tempat ini sebenarnya mempunyai sejarah yang tersendiri.
Mengikut beberapa orang sejarawan, pasar ini sudah wujud sekitar abad ke 16. Ketika itu, masyarakat tempatan masih lagi mengamalkan sistem buruh paksa tradisional yang dikenali sebagai Lallup-Kaba.
Dalam sistem Lallup-Kaba ini, golongan lelaki tempatan kebiasaannya akan dihantar ke kawasan yang jauh daripada kediaman mereka untuk terlibat dalam peperangan atau mengusahakan tanah untuk tanaman. Oleh itu, kaum wanita terpaksa tinggal bersama dengan anak-anak mereka dan terpaksa menjalankan tanggungjawab untuk menjaga dan menyara anak-anak.
Antara pekerjaan yang dilakukan oleh kaum wanita untuk menyara keluarga pada ketika itu termasuklah berucuk tanam. Hasil daripada tanaman ini pula akan dijual di pasar. Lama-kelamaan, makin ramai kaum wanita mula berniaga sehingga wujud satu pasar besar yang dikenali sebagai Ima Keithel.
Jika dahulunya kaum wanita hanya menjual produk hasil tanaman mereka sahaja, kini mereka turut menjual barangan lain seperti pakaian dan barangan keperluan harian lain di pasar ini.
Lambang keberanian wanita
Tugu peringatan sempena peristiwa Nupi Lan
Bagi yang tidak tahu, kewujudan pasar ini juga melambangkan semangat dan keberanian wanita Manipur secara amnya. Sewaktu di bawah penguasaan British, kaum wanita disini tidak dapat lari daripada ditekan oleh penjajah British.
Keberanian wanita disini dapat dilihat apabila mereka berganding bahu menentang British secara terbuka sehingga tercetusnya peristiwa Nupi Lan atau dalam bahasa mudahnya "Peperangan Wanita" pada tahu 1939. Ia adalah satu perjuangan menentang dasar British yang menindas dan pembaharuan komersil yang akan membawa kepada kerugian ekonomi bagi rakyat Manipur.
Kaum wanita di Ima Keithel pada ketika itu menganjurkan demonstrasi besar-besaran, rusuhan dan sekatan bagi menuntut keadilan bagi masyarakat mereka. Perjuangan mereka yang sangat keras dan lantang ini menyebabkan pihak British terpaksa meninggalkan kawasan tersebut. Malah, pihak British juga pernah cuba menjual pasar Ima Keithel ini kepada orang asing namun tidak berjaya.
Namun, keberanian para wanita ini menyebabkan tiada pihak yang berani mengusir dan menindas mereka di kawasan ini. Sejak peristiwa ini, Ima Keithel sering dilihat sebagai lambang beranian dan kecekalan wanita. Ima Keithel juga memperlihatkan kuasa yang dimiliki oleh orang wanita wanita sekiranya mereka bekerjasama dan bersatu-padu.
Ima Keithel pada masa kini
Ima Keithel masih wujud pada masa kini dan perniagaan biasanya bermula sejak awal pagi. Satu perkara yang perlu diketahui, hanya wanita yang sudah berkahwin sahaja boleh berniaga disini. Mereka ini juga datang daripada pelbagai etnik dan ada juga yang datang daripada jauh.
Menariknya, para peniaga ini boleh dilihat berniaga sambil memakai pakaian tradisional mereka yang dikenali sebagai phaneks (seperti kain sarong) dan innaphis (kain yang meliputi baju). Menjelang lewat petang, peniaga disini akan pulang ke rumah mereka yang ada kalanya terletak di kawasan perkampungan beberapa kilometer daripada situ.
Kaum peniaga di Ima Keithel juga menubuhkan sebuah persatuan yang akan mengawal selia pasar ini. Malah, mereka turut mempunyai sistem kredit tersendiri bagi membolehkan para peniaga membuat pinjaman wang bagi membeli barangan untuk dijual.
Ima Keithel merupakan lambang kebanggaan dan keberanian wanita tempatan. Kewujudan Ima Keithel juga membuktikan bahawa kaum wanita merupakan golongan yang kuat sekiranya mereka berganding bahu bagi memajukan diri sendiri dan mengelakan penindasan daripada orang lain.
Kredit: