Hwarang merupakan kumpulan pahlawan kuno yang luar biasa dari Silla, salah satu daripada 3 kerajaan di rantau semenanjung Korea. Mereka adalah pahlawan elit yang dipilih daripada keluarga berstatus tinggi dan dilatih sejak dari kecil lagi untuk menjadi kesatria.
Hwarang juga telah diberikan pendidikan piawaian tertinggi dan diajar mengenai tingkah laku yang memelihara kehormatan mereka semasa pertarungan. Mereka bukanlah jenis pahlawan yang mementingkan sifat machoatau menunjuk-nunjuk keberanian.
BESARKAN TEKS A- A+
Mereka yang juga dikenali sebagai "Pahlawan Bunga" ini kebanyakannya adalah anak kacukan dan mempunyai penampilan menarik, sama seperti yang digambarkan di dalam siri drama-drama Korea Selatan yang popular. Akan tetapi, apakah lagi kisah yang kita ketahui mengenai pahlawan kacak dan 'jambu' ini?
Enigma Hwarang Sebagai Pahlawan Jambu
Hwarang adalah sebuah organisasi elit untuk lelaki muda yang wujud dalam sebuah kerajaan kuno yang memerintah bahagian tengah dan selatan Semenanjung Korea sejak abad pertama SM hingga abad ke-10 Masihi.
Perkataan "Hwarang" adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu 'hwa' yang bermaksud bunga dan 'rang' yang membawa maksud lelaki. Walaupun tidak banyak sumber utama yang menceritakan mengenai sejarah Hwarang ini ditemui, namun sumber sekunder yang diperolehi ahli sejarah sudah cukup untuk mengetahui kisah di sebalik organisasi ini.
Salah satu topik hangat yang sering dibincangkan oleh para pengkaji adalah fungsi sebenar organisasi ini. Walaupun ia kenali sebagai sebuah organisasi ketenteraan, ramai yang berpendapat mereka juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan di Silla.
Organisasi untuk wanita seperti Hwarang
Mengikut sumber yang ada, Hwarang sebenarnya telah ditubuhkan sejak kurun ke-6 SM lagi. Sebelum itu, organisasi itu dikenali sebagai Wonhwa (bermaksud 'bunga asli'). Walaupun penubuhan Wonhwa mempunyai tujuan yang sama dengan Hwarang, namun organisasi ini hanya dianggotai oleh wanita sahaja.
Organisasi Wonhwa ini terbahagi kepada dua kumpulan yang diketuai oleh dua orang wanita iaitu Nammo dan Junjeong. Kedua-dua pemimpin kumpulan itu kemudian menjadi iri hati terhadap satu sama lain, sehingga menyebabkan pergaduhan antara mereka.
Pergaduhan itu berakhir dengan Nammo dibunuh oleh Junjeong. Junjeong kemudian telah dijatuhkan hukuman mati di atas kesalahan yang dilakukannya dan organisasi Wonhwa telah dibubarkan.
Akademi lelaki Hwarang
Lukisan Raja Silla, Raja Gyeongsun
Tidak lama selepas pembubaran Wonhwa, Raja Silla yang ingin memperkuatkan sistem ketenteraan di negaranya telah memutuskan untuk membentuk sebuah lagi organisasi seperti Wonhwa. Walau bagaimanapun, raja itu tidak mahu kesilapan yang sama dilakukan oleh organisasi Wonhwa berulang lagi.
Kali ini, ahli-ahli institusi telah memilih untuk merekrut anak-anak lelaki daripada golongan bangsawan yang mempunyai moral yang baik untuk membentuk organisasi Hwarang. Remaja dan kanak-kanak bangsawan ini dipilih dan dilatih supaya dapat berkhidmat untuk negara mereka kelak.
Melalui catitan sejarah, banyak jeneral dan tokoh politik yang terkenal semasa zaman Korea purba bermula sebagai anggota Hwarang semasa mereka kecil. Bagi menjaga reputasi, mereka sentiasa kelihatan segak dan sangat berhati-hati dengan penampilan mereka.
Pada zaman moden, lelaki yang menjaga kecantikan dan ketelitian pemakaian ini mungkin disebut sebagai lelaki metro seksual. Anggota Hwarang juga diketahui sering membakar kemenyan atau bau-bauan agar mencipta aroma yang wangi ketika melakukan aktiviti atau operasi yang diberikan.
Pakar dalam bidang agama dan pakar peperangan
Beberapa sumber sejarah lain juga menyatakan anggota-anggota Hwarang ini sering mengadakan perjumpaan di tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang dan sungai-sungai suci. Mereka akan berkumpul untuk menyanyi dan menari bersama.
Selain daripada itu, pengajian agama juga adalah aktiviti penting organisasi ini. Mereka mempraktikkan agama kuno yang mempunyai ajaran campuran Buddhisme, Konfusianisme dan Taoisme, lama sebelum kedatangan ketiga-tiga agama itu di Semenanjung Korea.
Hwarang juga dikehendaki untuk berlatih dalam seni perang dan mempersiapkan diri mereka sebagai pahlawan apabila diperlukan. Sebagai contoh, salah seorang jeneral Silla yang terkenal iaitu Kim Yushin adalah seorang anggota Hwarang.
Dalam kempen ketenteraannya, dia pernah membantu Silla dalam usaha untuk menyatukan Korea. Kim Yushin juga pernah mengetuai pasukan tentera untuk menentang kerajaan Baekje (juga disebut sebagai Paekche) yang merupakan musuh utama mereka.
Kod etika pahlawan jambu Hwarang
Para pahlawan Hwarang juga mempelajari teks peraturan tingkah laku dan etika. Antara tulisan-tulisan ini adalah termasuk Lima Peraturan Perhubungan, Enam Jenis Kesenian, Tiga Penyelidikan Ilmiah dan Enam Cara Perkhidmatan Kerajaan. Daripada semua tulisan ini, Lima Peraturan Perhubungan adalah peraturan utama Hwarang.
Lima Peraturan Perhubungan ini ditulis oleh seorang sami bernama Wongwang yang mengandungi unsur-unsur Buddhisme dan Konfusianisme. Antara yang terkandung dalam Lima Peraturan Perhubungan adalah seperti berikut:
- Setia kepada raja-raja.
- Berkhidmat kepada kedua-dua orang tua.
- Sentiasa setia terhadap rakan.
- Tidak akan lari dari medan pertempuran.
- Tidak membunuh dengan sia-sia.
Organisasi Hwarang ini akhirnya semakin dilupakan dan hampir hilang sepenuhnya daripada sejarah. Walau bagaimanapun, penemuan naskah yang berjudul The Chronicles of the Hwarang pada tahun 1980-an telah mencetuskan minat baru dalam sejarah Hwarang dan membangkitkan semula semangat nasionalisme di kalangan penduduk Korea.
Kini, populariti Hwarang semakin meningkat dalam masyarakat Korea. Satu corak seni bela diri Taekwondo telah diberi nama Hwa-rang sempena organisasi purba Korea ini. Selain itu, satu siri televisyen terkenal di Korea iaitu Hwarang: The Poet Warrior Youth yang disiarkan pada tahun 2016 hingga 2017 juga mendapat sambutan hangat.
Rujukan: