Oleh pada 23 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Beautifulnara

Diasak spekulasi kisah cintanya dengan Mira Filzah, pelawak Zizan Razak enggan berkongsi status hubungan mereka.

Zizan yang sudah menjangkau usia 33 tahun menganggap gosip cintanya sudah acapkali diperkatakan.

"Saya tidak boleh komen tentang itu, ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan media.

"Saya tidak mahu libatkan soal peribadi dengan kerjaya. Soal kerjaya saya boleh cerita tapi kalau cinta sudah terlalu banyak rasanya," ujarnya kepada Mstar Online.

Zizan membuat kenyataan tersebut di majlis pratonton filem televisyen Baby Bro yang berlangsung di The Garden Mall, pada Rabu.

Enggan lagi mengulas isu cinta, beliau akui kerjayanya kini lebih baik tanpa usikan kontroversi.

"Saya tidak mahu cerita cinta saya dengan siapa sahaja sekalipun kerana saya selesa sekarang.

"Saya sendiri lihat kerjaya saya menjadi lebih baik selepas tiada lagi cerita-cerita cinta," ujarnya.

Pun begitu, Zizan berjanji, tidak sekali-kali akan mengabaikan media sekiranya ada perancangan berumah tangga.

"Insya-Allah kalau ada jodoh dan sampai masanya saya akan beritahu juga. Saya tidak akan sorok perkara itu," katanya.

Mengulas mengenai Baby Bro, Zizan berkata, dia gembira dengan gandingan bersama aktor Shaheizy Sam dalam naskhah aksi ringan itu.

Malah ini juga pengalaman sulungnya berlakon dengan bayi.

"Seronok sekali-sekala dapat berlakon naskhah seperti ini. Filem ini juga khas buat peminat-peminat saya dikalangan kanak-kanak," ujarnya.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar ini bersiaran di saluran Astro First Eksklusif mulai 30 November.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)