asal usul nama pangkat polis pdrm

Pegawai polis mempunyai pangkat-pangkat tertentu, yang membezakan bidang kuasa setiap pegawai yang dilantik.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Kanan Polis, setiap pegawai polis akan bermula sama ada sebagai seorang Konstabel bagi pegawai rendah atau Inspektor Percubaan bagi pegawai kanan, berdasarkan kepada tahap pendidikan semasa mula berkhidmat.

Pernahkah anda terfikir dari mana datangnya nama-nama pangkat yang wujud dalam sistem lantikan pegawai polis negara kita?

1. Konstabel

konstabel polis pdrm

'Konstabel' atau 'constable' datang daripada istilah Latin 'comes stabuli', yang membawa makna 'penjaga kandang kuda'; istilah yang diamalkan secara meluas semasa pemerintahan Rom.

Seorang 'comes stabuli' (ditulis sebagai 'komēs tou stablou' bertanggungjawab menyelia kebajikan kuda dan haiwan-haiwan yang dilatih dalam angkatan tentera Rom dan Byzantine. Oleh kerana itulah istilah 'stable' diguna - bagi mewakili kandang kuda.

2. Korporal

korporal polis pdrm

'Korporal' mempunyai makna 'kepala kepada badan,' daripada istilah Perancis/Itali 'caporale.' Istilah itu pula diambil daripada istilah Latin 'caput' yang membawa makna 'kepala' atau 'ketua.'

Seorang 'korporal' dianggap sebagai petugas tentera paling rendah mengepalai satu angkatan satu masa dahulu, bertanggungjawab mengetuai serangan secara berdepan.

3. Sarjan

sarjan polis pdrm malaysia

Walaupun 'sarjan' kini secara rasminya adalah sebahagian lantikan dalam tentera dan polis, asal-usulnya pula agak berbeza.

'Sarjan' sebenarnya satu masa dahulu mewakili anggota tentera tidak rasmi yang sedia berkhidmat, boleh dikerah berdasarkan arahan mahkamah. Diambil daripada istilah 'servientiem' yang bermakna 'berkhidmat', istilah 'sarjan' telah melalui bermacam perubahan.

Lebih berkait dengan angkatan tentera, pangkat 'sarjan' hanya mula digunakan dalam barisan polis di Great Britain bermula tahun 1839.

4. Inspektor

inspektor polis pdrm asal usul

Sama seperti 'sarjan', penggunaan istilah 'inspektor' sebagai pangkat polis hanya bermula sekitar tahun 1840.

Penggunaannya sebelum itu tidak berkait dengan bidang kepolisian, sebaliknya digunakan bagi mewakili individu yang bertanggungjawab menyelia atau memantau sesuatu.

Diambil daripada gabungan istilah 'in' (dalam) dan 'specere' (melihat) dalam bahasa Proto Indo-Eropah, ejaannya ditukar kepada 'inspector' dalam bahasa Latin dan kaedah ejaannya terus dikekalkan hingga kini.

5. Superintenden

superintenden polis pdrm

Percaya tak istilah 'siperintenden' pada awalnya digunakan bagi petugas gereja? Sekitar abad ke 16, seorang paderi berpangkat 'Bishop' akan dilantik bagi menyelia gereja-gereja dalam satu daerah, diberikan gelaran 'superintendent.'

Istilah itu pula datang daripada istilah Latin 'superintendere' yang membawa makna 'seseorang yang mengawasi dari tahap atas.'

Diperkenalkan kali pertama dalam sistem polis United Kingdom pada tahun 1829, pangkat 'superintenden' merupakan pangkat terakhir sebelum seseorang pegawai polis di Malaysia naik memegang jawatan komisioner.

6. Komisioner

komisioner polis pdrm

Jawatan ini biasanya diberikan kepada pegawai polis yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman luas dalam bidangnya.

Asal-usul istilah pangkat ini datang daripada istilah Latin lama 'commissionarius' yang membawa makna 'individu yang bertanggungjawab bertindak terhadap sesuatu komisyen.'

'Komisyen' dalam makna ini, merujuk kepada tanggungjawab atau tugasan melibatkan sesuatu badan atau tugasan.

Seorang pegawai polis berpangkat komisioner memegang tanggungjawab untuk membangunkan polisi yang memantau pergerakan dan kelancaran tugas semua anggota terlibat.

7. Jeneral

ketua polis negara inspector general police

Hanya ada dua individu pegawai polis layak bergelar Jeneral, iaitu Inspektor Jeneral Polis yang kita gelarkan IGP dan pembantu beliau, Deputi Inspektor Jeneral Polis (DIGP) - dua jawatan tertinggi dalam PDRM.

Dalam istilah yang lebih mudah - jawatan ini juga digelarkan sebagai Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara tetapi secara rasminya IGP dan DIGP digunakan. Tahukah anda perkataan 'jeneral' sebenarnya merujuk kepada 'kelahiran'?

Kata akar jeneral/general sebenarnya adalah 'gene' dari bahasa Proto Indo-Eropah, yang membawa makna 'melahirkan sesuatu' sebelum istilah Latin 'generalis', yang memperkembangkan maknanya kepada 'sesuatu yang merujuk kepada keseluruhan' atau 'bersifat am.'

Istilah itu kekal digunakan dalam konteks tersebut, sebelum mula diaplikasikan ke dalam sistem pangkat tentera pada penghujung abad ke 16 oleh tentera Perancis, yang memperkenalkan pangkat 'capitaine general' - merujuk ketua kepada keseluruhan tentera.

Rujukan

17 peringkat pangkat PDRM



Hakcipta iluminasi.com (2017)