Oleh pada 15 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Hafreez Adam

    

Pelakon Hafreez Adam mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Zara Zya yang sebelum ini dikatakan dilanda dugaan, sudah putus.

Hafreez, 29, berkata, dia dan Zara enggan lagi merahsiakan berita perpisahan itu, sebaliknya bersedia mendedahkan kepada umum selepas berhubung melalui aplikasi WhatsApp, dua hari lalu.

“Jumaat lalu, kami berbincang menerusi aplikasi WhatsApp dan sepakat untuk meleraikan persoalan mengenai hubungan kami, hari ini.

“Masing-masing tidak mahu berterusan mengundang apa sahaja rasa yang kurang enak, sejak kebelakangan ini," katanya kepada portal BH Online.

Mengenai punca terlerainya tali pertunangan yang diikat pada 12 Oktober lalu itu, Hafreez menjelaskan, keputusan dibuat rentetan tiada lagi persefahaman dalam perhubungan terbabit.

    

tunang zara zya

Kredit foto: Instagram Zara Zya

   

"Kami putus pun dengan cara yang baik. Saya dan Zara tidak bergaduh.

“Cukup saya katakan, tiada lagi persefahaman dalam hubungan yang sekian lama terjalin ini. Tiada jodoh antara kami,” katanya sambil memberitahu mereka berpisah secara baik.

Dalam pada itu, pelakon Raisha 2 itu mengakui enggan terbabit dalam sebarang kerjasama dengan Zara buat masa ini, termasuk mengelak daripada bertembung.

“Buat seketika dan waktu terdekat ini, saya cuba mengelak untuk bertemunya. Saya juga tidak mahu detik sebegitu membuatkan kami berdepan sebarang tekanan daripada pihak luar.

“Saya percaya, masing-masing memerlukan ruang untuk melawan apa sahaja perasaan yang bertamu. Kita tak tahu, selepas berita ini didedahkan, kecaman dan tekanan mungkin bertandang tanpa diduga,” katanya.

Beliau juga mendoakan yang terbaik buat bekas tunangnya, di samping menasihatkan agar para peminat tidak bertelagah sesama sendiri.

“Siapa sahaja jodohnya selepas ini, saya akan mendoakan yang terbaik dari kejauhan. Saya turut mengharapkan pengertian peminat kami, untuk sama-sama mendoakan yang baik-baik.

“Kalau boleh, usahlah bertelagah atau membuat apa-apa pertikaian selepas kami tidak lagi bersama. Teruslah menyokong diri dan kerjaya seni kami,” katanya.

Terdahulu, Zara, 34, ketika mengulas punca pergolakan hubungan tersebut, berkata ia tidak membabitkan orang ketiga.

“Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan,” kata Zara.

Mereka yang mula berkenalan selepas membintangi drama Monalisa pada 2017 sepatutnya dijadualkan berkahwin pada Oktober tahun depan, namun spekulasi konflik mula timbul selepas Hafreez dikatakan tidak lagi mengikuti Zara di Instagram, selain memadam foto bersama.

   

Sumber berita: Hafreez, Zara Zya putus tunang bulan lalu

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)