Oleh pada 23 Jan 2018 kategori

Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun mendedahkan dia telah diminta 'orang kuat' sebuah stesen radio untuk menghasilkan lagu bercorak 'cumi-cumi' nyanyian Nabila Razali. 

Lagu Pematah Hati itu merupakan ilham komposer muda yang semakin meningkat naik, Hael Husaini.

Hafiz berkata, isu itu mula timbul rentetan gosip yang mengatakan kumpulan Mirwana kecewa dengan lagu ciptaannya yang tidak menyerlah.

hafiz hamidun kecewa diarah buat lagu ala cumi cumi 2

"Semuanya bermula apabila baru-baru ini kan tersebar cerita kononnya kumpulan Mirwana tidak berpuas hati kerana lagu baru mereka, Cinta Bukan Mainan tidak begitu menonjol.

"Jadi saya sebagai pencipta lagu itu telah disalahkan.

"Untuk makluman semua, saya pencipta sahaja, tidak semestinya setiap lagu-lagu saya itu akan terus meletup, mungkin ada yang popular, malah mungkin ada juga yang akan ambil masa. Semua ini adalah di luar bidang kuasa saya," kata Hafiz memetik laporan portal Sinar Harian.

Menurutnya, lagu itu dihasilkan untuk beliau dan bukanlah untuk kumpulan nasyid berkenaan.

Hafiz bagaimanapun tidak terasa hati apabila ada yang menyalahkan dirinya kerana dia faham situasi sebenar yang berlaku.

"Sejak dikongsikan di laman YouTube pada 31 Oktober lalu, sehingga kini lagu Cinta Bukan Mainan hanya mencecah hampir 300,000 tontonan sahaja.

"Lagu tersebut tidak berkumandang sangat di corong radio-radio utama. Kebanyakan cari alasan kenapa mereka tak mahu mainkan lagu itu.

"Terus-terang ada yang katakan mereka payah nak terima lagu saya itu. Mereka suruh saya buat lagu macam 'cumi-cumi'. Tapi pada saya setiap komposer ada gaya masing-masing, jadi kena bantulah saya dengan kekuatan yang saya ada.

"Kalau radio yang besar-besar ini tak bantu, susahlah kami," luahnya.

Selain itu, sebuah lagi lagu ciptaan Hafiz berjudul Terbuang Dalam Pelukan nyanyian Bob juga dikatakan gagal mendapat sambutan.

Kredit foto: Instagram Hafiz Hamidun

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)