Oleh pada 25 Sep 2017 kategori

gurauan melampau dikritik zizan tampil bidas 1

Kredit foto: Instagram Zizan Razak & Instagram Hans Isaac

Pelawak Zizan Razak membidas kritikan sesetengah pihak terhadap gaya pengacaraannya di Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) yang dikatakan melampau.

Ini berikutan tiada teguran yang diberikan oleh pihak produksi terhadapnya, malah mereka juga berpuas hati dengan tanggungjawab yang dilaksanakan. 

Begitu juga dengan para penonton yang jelas terhibur.

"Pada saya kalau penonton gelak dan terhibur itu sudah cukup dan pihak produksi juga suka dengan perjalanan majlis malam ini.

"Saya juga tidak rasa apa yang saya sampaikan malam ini terlalu kasar dan penonton juga bijak menerimannya.

"Saya tidak bergurau berlebih-lebihan kerana apa yang saya cakap ditapis oleh pihak produksi. Mereka tidak cakap apa-apa pun," jelasnya seperti yang dilaporkan portal mStar Online.

Zizan membuat kenyataan tersebut selepas tamatnya FFM29 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu dihentam sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan caranya mengendalikan acara berkenaan.

Malah pelakon Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof juga menjadi mangsa gurauan kasarnya berhubung gelaran Datuk yang diterima.

Dalam pada itu, aktor berusia 33 tahun itu berkata, netizen sewajarnya memberi fokus kepada perkara positif yang berlaku pada malam itu seperti kejayaan yang diraih oleh para pemenang.

Zizan memohon penonton agar mengenepikan unsur-unsur negatif yang dianggapnya hanya sebagai isu yang remeh.

"Kenapa nak ambil kira perkara negatif sedangkan kita banyak perkara positif yang boleh dibincangkan malam ini.

"Bagaimanapun, kritikan adalah sesuatu yang baik dan bermakna ramai yang menonton siaran langsung tersebut," tegasnya.

Pada masa sama, Zizan mempunyai pendapatnya yang tersendiri tentang kritikan pengarah Afdlin Shauki yang mempertikaikan kemunculannya berkaca mata hitam pada awal acara.

gurauan melampau dikritik zizan tampil bidas 2

Kredit foto: Instagram Afdlin Shauki

Menurut Zizan, sutradara itu tidak memahami perjalanan majlis berkenaan.

Ini susulan imej itu hanya digayakannya selepas persembahan pembukaan.

"Dia mungkin tak faham perjalanan majlis itu. Saya pakai kaca mata sekejap sahaja selepas buat persembahan," katanya.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)