Oleh pada 27 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Yahoo News & siakapkeli.my

Akhirnya aktor Datuk Eizlan Yusof memaafkan pelawak Zizan Razak atas keterlanjuran katanya di Festival Filem Malaysia 29 (FFM29) yang berlangsung baru-baru ini.

Eizlan dalam kenyataannya memberitahu pada awal dia berasa sedih kerana dipersenda di hadapan khayalak oleh pelawak itu.

Namun dia terbuka hati memaafkan hos berkenaan yang merendah diri menghubunginya dan mengakui kesilapan.

"Siapa yang tak sedih apabila perkara sebegini boleh berlaku. Saya memang senada dengan Hans.

"Apa yang dia rasa, saya pun sama seperti itu. Tapi semua sudah selesai. Saya hormat dengan tindakan berani Zizan yang membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Malah, dia juga ada menghubungi saya untuk meminta maaf. Saya terima permohanan tersebut," kata Eizlan memetik laporan portal Mstar Online.

Pada malam FFM29, Eizlan dan aktor Hans Isaac menjadi mangsa kelancangan mulut Zizan yang secara berseloroh mendakwa gelaran Datuk yang diperoleh mereka adalah dibeli.

Dalam pada itu, aktor berusia 46 tahun itu turut meletakkan penghargaan terhadap usaha Hans yang bersuara lantang mempertahankan maruah rakan-rakan artis yang bergelar Datuk.

Eizlan berharap agar peristiwa itu dapat menjadi pengajaran bukan sahaja kepada para selebriti, malah netizen di luar sana agar lebih menghormati institusi diraja.

"Saya berbangga Hans yang mengambil tindakan terdahulu mempertahankan diri dan juga rakan-rakan selebriti yang lain.

"Saya harap selepas ini seluruh rakyat Malaysia tidak lagi mempertikaikan institusi diraja kerana ia adalah lambang kedaulatan negara dan perpaduan masyarakat Malaysia.

"Apabila diberi gelaran Datuk, ia menjadi tanggungjawab kami memegang amanah yang diberi oleh institusi tersebut," jelasnya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)