Oleh pada 16 Sep 2021 kategori

Anda mungkin pernah mendengar beberapa nama organisasi jenayah yang terkenal di serata dunia. Mereka melakukan pelbagai jenayah seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, perjudian dan banyak lagi.

Namun, anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa ada organisasi jenayah popular ini asalnya ditubuhkan dengan tujuan baik. Dari masa ke masa, mereka berkembang pesat dan mula menyimpang daripada tujuan asal sehingga menjadi satu kumpulan yang ditakuti. 

1. Lanun Somalia

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1991, kerajaan Somalia telah digulingkan oleh satu kumpulan pemberontak. Ketika tiada kerajaan rasmi, banyak kapal-kapal asing mengambil peluang menceroboh perairan Somalia yang kaya dengan hasil laut.

Ada juga kapal asing yang membuang sisa toksik secara haram di perairan Somalia. Mereka sanggup bertindak ganas demi mempertahankan "lubuk" baru ini. Mereka menghalang nelayan Somalia daripada mencari rezeki di tempat sendiri dan menembak sesiapa yang degil.

Nelayan Somalia mula membentuk kumpulan pembela untuk menjaga perairan mereka sehingga kerajaan baru ditubuhkan. Mereka memusnahkan peralatan nelayan asing dan mendenda penceroboh. Kapal-kapal asing sanggup membayar kerana tidak mahu negara asal mereka tahu mengenai kegiatan haram ini.

Setelah beberapa tahun mendapat wang mudah, kumpulan yang semakin besar ini mula melakukan jenayah seperti lanun. Mereka sering menawan kapal yang melalui perairan Somalia dan meminta wang tebusan untuk anak-anak kapal.

Kebanyakan mereka tidak lagi menjadi nelayan sebaliknya melanun sepenuh masa. Mereka sering menggunakan pencerobohan perairan Somalia sebagai alasan untuk membenarkan perbuatan jenayah mereka.

2. Mafia

mafia 13

Sejarah Mafia bermula sejak kurun ke-19 ketika Sicily merupakan sebuah wilayah bebas. Ketika itu, Sicily diceroboh dan dikawal oleh penjajah asing yang bertindah kejam terhadap penduduk tempatan.

Penduduk tempatan mula membentuk satu kumpulan untuk mempertahankan diri mereka. Ahli kumpulan ini menggelarkan diri mereka sebagai mafioso. Lama-kelamaan, kumpulan ini bertukar menjadi tentera swasta yang menggelarkan diri mereka sebagai mafie.

Sama seperti mafioso, mafie juga melindungi penduduk tempatan sehinggalah mereka mula memaksa pemilik kedai dan rumah untuk membayar "wang perlindungan". Mafie semakin terkenal setelah Itali menguasai Sicily pada 1861.

Kerajaan Itali meminta bantuan mafie untuk memburu penjenayah di pulau itu. Sebagai pertukaran, kerajaan Itali membiarkan mereka terus memeras wang perlindungan daripada penduduk.

Kerajaan Itali menyangka ia adalah perjanjian sementara tetapi mafie mengambil peluang itu mengukuhkan cengkaman mereka ke atas ekonomi dan politik Sicily sehingga mencipta Mafia yang kita kenali hari ini.

3. Latin Kings

latin kings gang 707

Pada tahun 1964, dua kumpulan anti-perkauman di Amerika iaitu MarKings dan Imperials telah bergabung untuk menguatkan lagi ahli kumpulan yang sering menjadi mangsa perkauman.

MarKings adalah kumpulan yang diasaskan dan dianggotai oleh pendatang Mexico manakala Imperials pula ditubuhkan oleh pendatang Costa Rica pada tahun 1954.

Maka, lahirlah gabungan baru yang dinamakan sebagai Latin Kings. Kumpulan baru itu terus memerangi perkauman, buli dan polis yang sengaja mengganggu mereka tanpa sebarang alasan munasabah.

Latin King kemudian semakin berkembang dan mula menerima etnik Afrika Amerika dan kulit putih yang menentang perkauman. Apabila kumpulan itu semakin besar, mereka memerlukan wang untuk membiayai aktiviti kumpulan. Mereka mula memperolehi wang dengan menjual dadah dan terlibat dalam dunia jenayah.

4. MS-13

ms 13

Pada awal tahun 1980-an, pendatang dari El Salvador yang tinggal di Los Angeles telah menubuhkan satu kumpulan untuk mempertahankan diri mereka daripada keganasan kongsi gelap di sana. Mereka menggelarkan kumpulan itu sebagai MS-13.

Tidak lama kemudian, MS-13 mula terlibat dalam pertempuran ganas dengan kumpulan pesaing yang menyebabkan banyak kematian dan penangkapan beberapa ahlinya.

Ketika menjalani hukuman, mereka mula merekrut anggota baru dari Honduras, Guatemala dan El Salvador untuk menubuhkan kumpulan MS-13 di penjara. Walaupun jumlah mereka tidak seramai kumpulan banduan yang lain tetapi MS-13 digeruni kerana kekejamannya.

Beberapa banduan MS-13 yang dihalau keluar daripada Amerika pada tahun 90-an mula mengembangkan kumpulan itu di negara masing-masing. Kumpulan MS-13 di luar AS ini bekerjasama dengan kartel dadah dan lebih digeruni.

Kini, MS-13 masih kekal kuat dan berpengaruh di Honduras, Guatemala dan El Salvador. 

5. The Tong

the tong

The Tong adalah kumpulan jenayah terancang China yang aktif di Amerika Syarikat. Kumpulan ini mula ditubuhkan di China pada kurun ke-17 sebagai satu satu organisasi politik, keagamaan dan perlindungan.

Pendatang Cina yang terawal tiba di Amerika Syarikat mengasaskan cawangan kumpulan di sana untuk melindungi diri mereka daripada jenayah dan perkauman, termasuklah daripada rakan senegara mereka.

Lama kelamaan, mereka mula menyeludup dan menjual candu serta menjalankan pusat perjudian haram. Kegiatan itu diterima di China tetapi diharamkan di Amerika Syarikat. Kemudian, mereka mula menjalankan aktiviti pelacuran dan pemerasan wang perlindungan.

Kumpulan Tong di Amerika mula berpecah apabila mereka serius melakukan jenayah. Ada yang kekal melakukan jenayah tetapi ada yang masih berpegang kepada niat asal mereka menubuhkan kumpulan ini. Kini, kumpulan Tong dilihat tidak seaktif dahulu kerana kumpulan lain sudah berhenti mengganggu pendatang Cina. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)