Oleh pada 16 Jul 2018 kategori

evpatiy kolovrat pahlawan russia riazan

Evpatiy Kolovrat bukanlah satu nama yang terkenal apabila sejarah pahlawan Eropah zaman dahulu disebut-sebut. Kolovrat merupakan legenda masyarakat Russia yang cukup terkenal sebagai seorang pejuang mempertahankan negaranya, dalam menghadapi penjajahan tentera Mongol.

Dipercayai lahir pada tahun 1200 di sebuah kampung bernama Frolovo, Kolovrat adalah seorang yang mempunyai darah bangsawan yang tinggal di Riazan. Diberikan jawatan setaraf jawatan 'duke' oleh Putera Yuri Ingvarevich yang memerintah Riazan, Kolovrat terkenal sebagai seorang komander tentera yang tidak takut akan musuh serta berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan.

Pencerobohan Riazan oleh Mongol

bandar riazan dimusnahkan

Pada tahun 1237, Riazan menjadi wilayah pertama Russia yang dicerobohi oleh penjajah Mongol.

Tentera Mongol diketuai oleh Batu Khan, cucu kepada Gengis Khan yang terkenal semasa eranya. Menghadapi penjajahan tanpa sebarang persediaan, Putera Yuri cuba memohon bantuan daripada wilayah berdekatan namun tidak berjaya mendapat sebarang pertolongan kerana tidak banyak pihak menjangkakan perkara itu akan berlaku.

Tidak mempunyai persediaan lebih rapi serta hanya mempunyai jumlah yang kecil, tentera Riazan ditewaskan dengan mudah dalam serangan tersebut. Walaupun berjaya mempertahankan diri dalam gelombang pertama serangan selama enam hari, askar dan penduduk Riazan tidak mampu bertahan lama menghadapi tentera Mongol yang berkali ganda jumlahnya. Akhirnya Riazan dicerobohi serta dimusnahkan dengan cara yang singguh kejam. Pekan kecil itu habis dimusnahkan dengan semua binaan diruntuhkan serta dibakar.

Pekan yang musnah dalam serangan itu kini dikenali dengan nama Staraya Riazan atau 'Riazan Lama', terletak 50km daripada pekan baru yang mengambil nama sama Riazan, selepas penduduk asal sempat melarikan diri ke sana, berikutan kedudukannya yang lebih strategik untuk bertahan. Tidak diketahui jumlah sebenar nyawa orang ramai dibunuh dalam pencerobohan itu.

Satu kajian arkeologi di Riazan Lama pada tahun 1979 menemui 97 kepala tanpa badan dibuang dalam kawasan gereja serta 143 badan ditanam di kubur-kubur tidak bertanda, dipercayai dilakukan semasa pencerobohan Riazan oleh tentera Mongol.

Batu Khan mahu isteri orang sebagai hadiah

batu khan penjajah mongol

Evpatiy Kolovrat tidak berada di Riazan semasa pekan itu dimusnahkan. Beliau bersama adik kepada Putera Yuri yang bernama Putera Ingvar ditugaskan untuk mendapatkan bantuan daripada wilayah lain. Putera Yuri cuba melengahkan penjajahan Mongol dengan menghantar hadiah sebagai tanda diplomatik kepada Batu Khan, bagi membolehkan Kolovrat dan Putera Ingvar berjaya dalam misi mereka.

Batu Khan yang bijak dapat membaca helah Putera Yuri, memohon untuk dikahwinkan dengan Eupraxy, menantu kepada Putera Yuri yang sudahpun berkahwin dengan anaknya yang bernama Fedor.

Fedor dan Putera Yuri pergi bertemu dengan Batu Khan untuk menolak permintaan itu serta mahu membincangkan cara lain bagi menyelesaikan konflik. Bagaimanapun rundingan tidak berhasil apabila Batu Khan memilih untuk membunuh kedua-duanya. Tanpa ketua, penduduk Riazan kucar-kacir ketika cuba mempertahankan diri sehingga mudah dibunuh dan diseksa tentera-tentera Mongol.

Kolovrat mendapat berita tentang apa yang berlaku kepada tanah asalnya, meninggalkan Putera Ingvar bagi melindungi beliau daripada bahaya ekoran statusnya sebagai pewaris takhta. Kolovrat mengumpulkan 1,700 orang individu tentera yang turut disertai orang awam, kemudian berarak kembali ke Riazan bagi membalas dendam.

Amukan Evpatiy Kolovrat

riazan diceroboh dan dipertahankan orang awam

Setibanya mereka di sana, Kolovrat dan tenteranya terpaksa menahan sedih melihat pekan Riazan musnah dipenuhi individu yang yidak lagi bernyawa.

Dikuasai dendam, Evpatiy merancang untuk melakukan serangan bersifat gerila bagi melemahkan tentera Mongol. Beliau menyedari dalam pertempuran terbuka jumlah mereka yang kecil pasti akan ditewaskan dengan mudah.

Mempunyai kelebihan strategik berikutan tentera Mongol tidak mengetahui kewujudan mereka, tentera Kolovrat mula melakukan beberapa siri serang hendap sambil mengekori pergerakan tentera Mongol dari belakang. Dengan menggunakan kawasan persekitaran sebagai pelindung, pasukan-pasukan kecil akan diarahkan Kolovrat untuk menyelinap masuk ke khemah tentera Mongol yang paling belakang, membunuh mana yang sempat ditewaskan sebelum kembali menyembunyikan diri.

Taktik yang digunakan Kolovrat berkesan dalam melemahkan moral tentera Mongol.

Bagi mengawal ancaman yang tidak diketahui dari mana datangnya, Batu Khan mengarahkan komander terbaik beliau, seorang jeneral bernama Khostovrul untuk bertindak dengan pasukannya sendiri, mencari dari manakah datangnya tentera yang berperang secara gerila ini.

Selepas menjejaki pergerakan Kolovrat dan pasukannya, Khostrovul berjaya mengesan kedudukan mereka melakukan satu serangan mengejut. Ini menyebabkan Kolovrat terpaksa berhadapan dengan tentera Mongol secara terbuka buat pertama kalinya.

Pertarungan satu lawan satu

tugu peringatan kolovray

Menyedari mereka sudah tertawan, Kolovrat tetap cuba bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka. Walaupun begitu, syarat Batu Khan yang mahu Khostrovul menangkap Kolovrat hidup-hidup, memberikan peluang kepada Kolovrat. Atas arahan ketuanya, Khostrovul bertindak mencabar Kolovrat dalam pertarungan satu lawan satu dengan yang kalah akan ditawan.

Dua pahlawan gagah itu bertarung sengit dan Kolovrat berjaya menewaskan Khostrovul setelah pedangnya berjaya membelah badan Khostrovul, menyebabkan pasukan tentera Mongol seliaan Khostrovul mula berpatah balik, mempertahankan barisan mereka dengan serangan jarak jauh yang ditujukan pada barisan Kolovrat.

Tidak mempunyai sebarang pertahanan, pasukan Kolovrat diserang dengan balingan batu-batu besar oleh pelontar batu. Salah satu batu menimpa Kolovrat sehingga mengorbankan dirinya. Majoriti tentera Kolovrat terkorban dan hanya sebilangan kecil sahaja berjaya melarikan diri.

Berpandukan arahan Batu Khan, mayat Kolovrat diusung kembali kepada kawasan perkhemahan Batu Khan. Puas melihat musuhnya tewas, Batu Khan mengarahkan agar tubuh Kolovrat yang sudah tidak bernyawa dipulangkan semula pada tentera Russia sebagai menghormati kebolehan beliau bertempur serta kejayaan menewaskan Khostrovul.

Berita kematian Kolovrat sampai ke telinga Putera Ingvar menyebabkan beliau mula mencari jalan untuk kembali ke Riazan. Putera Ingvar dan pengikutnya pulang ke Riazan, berjaya menyempurnakan pengebumian keluarga di-raja yang terkorban termasuklah jasad Putera Yuri dan isterinya, Fedor serta Eupraxia serta penduduk Riazan yang meninggal dunia. Menyedari apa yang telah berlaku merupakan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan, Putera Ingvar merancang untuk menyerang balas dengan bantuan kerjasama daripada dua wilayah lain.

Walaupun begitu, Russia tidak berjaya mengekang penjajahan Mongol. Hanya selepas 143 tahun pada tahun 1380, tentera Russia di bawah pemerintahan Putera Dmitry Ivanovich Donskoy berjaya menewaskan Mamai Khan serta tenteranya di wilayah Kulikov. Itu adalah kali pertama tentera Mongol berjaya ditewaskan oleh tentera Russia.

Kemenangan pertama ini memberikan impak besar kepada tentera Russia yang mula meyakini tentera Mongol yang cukup gah reputasinya, tetap boleh ditewaskan. Sejak itulah sedikit demi sedikit kekuatan tentera Mongol yang cukup terkenal dilemahkan sehinggalah Russia kembali menguasai wilayah mereka yang telah dirampas, bermula di Riazan pada tahun 1237 semasa Evpatiy Kolovrat membalas dendam, walaupun akhirnya terkorban.



Hakcipta iluminasi.com (2017)