Oleh pada 23 Dec 2021 kategori

Biasanya, seorang cendiakawan atau genius itu akan menjadi kebanggaan sesebuah negara. Pelbagai pengiktirafan dan penghargaan akan diberikan kepada mereka.

Lebih besar jasa seseorang genius itu maka lebih besarlah penghargaan yang diterimanya. Namun, ia berbeza bagi seorang genius Amerika bernama Theodore Hall. Walaupun menyumbangkan jasa yang besar kepada negaranya, Hall dianggap sebagai seorang pembelot.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kisah mengenai genius bernama Theodore Hall.

Kehidupan awal Theodore Hall

Theodore Alvin Holtzberg @ Hall telah dilahirkan pada 20 Oktober 1925 di New York kepada pasangan pendatang Yahudi. Ibu dan bapanya berhijrah ke Amerika untuk melarikan diri daripada penindasan antisemitik di Rusia.

theodore hall

Sejak kecil lagi, Hall adalah seorang yang sangat pintar. Dia menamatkan sekolah tinggi ketika baru berusia 14 tahun. Hall kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik di Queens College sebelum ditukarkan ke Harvard University di Cambridge, Massachusetts.

Dia memperolehi ijazah dalam bidang kimia ketika berusia hanya 18 tahun. Atas cadangan seorang professor di universitinya, Theodore Hall telah pergi ke Los Alamos, New Mexico, bagi menyertai satu program nuklear yang dikenali sebagai "Manhattan Project".

Pada usia 19 tahun, Hall adalah saintis nuklear termuda yang dipilih untuk menyertai Manhattan Project. Hall dan pasukannya mereka bentuk peranti letupan yang mencetuskan letupan teras plutonium bom atom.

Hall juga mengendalikan eksperimen untuk peranti letupan "Fat Man" (bom atom yang dijatuhkan di Nagasaki) dan membantu menentukan jisim kritikal uranium untuk "Little Boy" (bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima).

Menjual rahsia kerajaan

Ketika bekerja dalam Manhattan Project, hall telah menghubungi rakan sebiliknya di kolej bernama Saville Sax yang mempunyai hubungan dengan politik sayap kiri.

manhattan project

Kedua-dua sahabat itu telah mengatur pertemuan dengan Sergey Kurnakov, seorang penulis untuk Soviet Russia Today dan Anatoly Yatskov, perisik yang berpangkalan di New York.

Hall telah menyerahkan butiran mengenai organisasi kerja Manhattan Project di Los Alamos. Selain itu, dia turut menyerahkan butiran teknikal yang secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembinaan bom atom pertama Kesatuan Soviet yang kemudiannya diuji pada tahun 1949.

Setelah secara rasmi menjadi pemberi maklumat kepada Kesatuan Soviet, Hall diberikan kod nama sebagai MLAD yang bermaksud "muda" manakala Sax pula diberikan kod nama STAR yang bermaksud "tua" dalam bahasa Slavik.

Disyaki pihak berkuasa

Selepas Hall meninggalkan Los Alamos dan berpindah ke Chicago, dia meneruskan pembelajarannya dan berjaya memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang fizik. Dia kemudian bekerja di makmal biofiziko Universiti Chicago.

bom atom fat man

Bom Atom "Fat Man"

Saintis itu masih menyalurkan maklumat rahsia kepada ejen Soviet selama beberapa tahun lagi. Pada tahun 1951, Theodore Hall dan Saville Sax telah ditahan dan disoal siasat oleh FBI. Kedua-dua rakan itu disyaki setelah FBI berjaya menyahsulitkan salah satu isyarat daripada Soviet berkaitan saintis itu.

Namun, tiada pertuduhan dikenakan terhadap mereka kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi. Mungkin juga, pihak berkuasa melepaskan mereka kerana mahu memantau dan mengetahui sejauh mana penglibatan kedua-dua saintis itu.

Selepas penyiasatan FBI itu, Hall telah memutuskan hubungannya dengan ejen rahsia Kesatuan Soviet dan berhenti menjadi perisik mereka. 

Masih seorang saintis berbakat

Walaupun ketika menjadi perisik kepada Kesatuan Soviet, sumbangannya dalam bidang fizik tidak pernah terhenti. Di Chicago, Hall mempelopori teknik penting dalam analisis mikro X-ray.

Dia kemudian meninggalkan Institut Radiobiologi dan Biofizik Universiti Chicago sebelum menjadi penyelidik di Institut Kanser Sloan-Kettering sehingga 1962.

theodore hall tua

Hall mendedahkan mengapa dia menjadi perisik

Hall kemudian berpindah ke makmal penyelidikan mikroskop ekeltron Vernon Ellis Cosslett di Universiti Cambridge, England. Di sana, dia mencipta kaedah Hall bagi normalisasi kontinum yang dibangunkan untuk menganalisis bahagian nipis tisu biologi.

Hall kekal di Cambridge sehinggalah dia bersara pada tahun 1984 ketika berusia 59 tahun. Setelah bersara, barulah dia mendedahkan sebab mengapa dia menjadi perisik untuk Kesatuan Soviet.

Menurut Hall, dia bimbang mengenai monopoli senjata atom Amerika selepas perang tamat. Dia berkongsi maklumat senjata atom kepada Soviet agar Amerika bukan satu-satunya negara yang memiliki senjata nuklear.

Hall juga tidak menolak kemungkinan munculnya kerajaan fasis di Amerika jika perkara itu tidak ditangani.




Hakcipta iluminasi.com (2017)