Oleh pada 29 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida & Instagram Aishah

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida berkata, dia tidak akan menuruti permintaan juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah untuk menggantikan rantai berlian yang dimenanginya kepada wang tunai atau barang kemas sama nilai.

Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sebaliknya, hanya membuat tawaran Lavida Coin sebagai pertukaran sekiranya penyanyi itu berminat.

"Saya takkan ganti dengan wang tunai mahupun barang kemas bernilai RM80,000.

"Saya hanya akan ganti dengan Lavida Coin... 'you take it or leave it'," katanya kepada Mstar Online.

Lagi pula, kata Vida, barang kemas tersebut sebenarnya tidak disenaraikan sebagai hadiah utama bagi juara, sebaliknya hanyalah sumbangan ikhlas beliau selaku penaja.

isu barang kemas palsu datuk vida mahu kejuaraan aishah di gv4 ditarik balik 2

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida

"Kenapa saya perlu bagi duit pula kat dia? Lagipun rantai itu saya bagi seikhlas hati.

"Kalau dia tak nak Lavida Coin bermakna dia orang paling rugi atas muka bumi ini," katanya.

Dalam masa sama, Vida mencadangkan agar pihak Astro menemukan mereka berdua untuk membersihkan maruahnya yang dikatakan telah tercalar.

"Saya nak pihak Astro jumpakan saya dengan Aishah sebab hadiah itu bukan ditawarkan kepada juara seperti yang diuar-uarkan.

"Saya bagi atas dasar ikhlas dan tiba-tiba dia buat begini pula. Saya mahu nama saya dibersihkan," katanya.

Vida juga meminta agar kejuaraaan Aishah ditarik balik kerana menyifatkan penyanyi Janji Manismu itu tidak layak berada di kedudukan yang dianugerahkan.

"Saya mahu kejuaraan dia ditarik balik... dia tak layak dapat nombor satu tapi nombor 10," katanya.

Sekali lagi, Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu menegaskan dakwaan Aishah yang mengatakan barangan kemas yang diterimanya itu palsu adalah tidak benar sama sekali.

"Buat apa saya nak minta maaf. Saya tak buat apa-apa salah. Lagipun rantai emas putih bertatahkan batu permata itu bukan palsu," katanya.

Terdahulu, Aishah menerusi luahan di laman Instagram mendakwa rantai leher yang dimenanginya dalam program GV4 setahun lalu, tidak mempunyai nilai sebagaimana yang digembar-gemburkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)