Di Jepun, terdapat satu fenomena atau trend yang dianggap membimbangkan - semakin ramai kanak-kanak yang meluahkan keinginan mereka tidak lagi mahu ke sekolah. Fenomena ini juga dinamakan "futuko".

Kerana jumlah murid yang tidak mahu ke sekolah terus meningkat naik saban tahun, maka lebih ramai ingin mengetahui apakah punca perkara ini terjadi. Adakah ianya disebabkan sistem persekolahan di Jepun ataupun sebenarnya murid itu sendiri yang bermasalah?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apabila seseorang murid telah menyatakan bahawa mereka tidak lagi mahu ke sekolah, biasanya ibu bapa mempunyai 3 pilihan:

  1. Menghantar anak ke kaunseling dengan harapan ianya akan merubah anak mereka
  2. Mendidik anak di rumah (home school)
  3. Menghantar anak ke "free school"

Asal-usul perkataan futuko

sekolah rendah jepun

Menurut Kementerian Pendidikan Jepun, futuko adalah kanak-kanak yang tidak pergi ke sekolah melebihi 30 hari atas alasan yang bukan disebabkan oleh masalah kesihatan ataupun kewangan. Istilah ini juga pernah diinterpretasikan sebagai ketidakhadiran,  fobia dengan sekolah atau keengganan bersekolah.

Reaksi terhadap murid futuko juga telah berubah dalam tempoh satu dekad. Sehingga 1992, keengganan bersekolah (dipanggil tokokyohi yang bermaksud penentangan) dianggap sejenis penyakit mental. Walau bagaimanapun, pada tahun 1997, terminologi "futuko" yang lebih lembut yang bermaksud ketidakhadiran telah digunakan.

Pada 17 Oktober  2019, kerajaan mengumumkan bahawa ketidakhadiran di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah telah mencapai rekod tertinggi, dengan 164,528 kanak-kanak tidak hadir selama 30 hari atau lebih pada tahun 2018, meningkat daripada 144,031 pada tahun 2017.

Permulaan gerakan "free school" di Jepun

free school jepun

Gerakan "free school" di Jepun telah bermula sejak zaman 1980-an lagi sebagai respons kepada peningkatan kanak-kanak futuko ini. "Free school" merupakan sekolah alternatif kepada sekolah konvensional dan sekolah ini beropesi berdasarkan prinsip kebebasan dan individualiti.

Sekolah "free school" ini adalah alternatif yang diterima bagi pendidikan di sekolah biasa dan biasanya akan disertai dengan pendidikan di rumah (home school). Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut tidak akan diberikan apa-apa pengiktirafan yang membolehkan mereka menyambung ke pengajian yang lebih tinggi.

Bilangan pelajar yang menghadir "free school" atau alternatif berbanding sekolah biasa telah meningkat setiap tahun, dari 7.424 pada tahun 1992 kepada 20,346 pada tahun 2017.

Pelajar yang menghadiri "free school" ini tidak perlu memakai uniform seperti pelajar sekolah biasa dan mereka bebas membuat aktiviti mereka sendiri mengikut plan yang telah dipersetujui secara bersama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Pelajar yang mengikuti sekolah ini digalakkan untuk mengikut skil individu yang dimiliki dan minat yang ingin diceburi. Terdapat juga kemudahan bilik komputer untuk kelas bahasa Jepun dan matematik selain kemudahan perpustakaan yang dipenuhi buku dan manga (buku komik Jepun).

Suasana di sekolah ini adalah informal dan bebas, mereka umpama sebuah keluarga besar. Para pelajar akan meluangkan masa di ruang utama untuk bermain dan berborak. Tujuan utama konsep sekolah sebegini adalah bagi membentuk skil sosial para pelajar.

Fenomena yang membimbangkan

sekolah free school jepun

Berhenti sekolah mempunyai akibat jangka panjang dan terdapat risiko yang tinggi bahawa anak muda ini akan tercicir daripada masyarakat sepenuhnya dan mengasingkan diri mereka di dalam bilik mereka - sebuah fenomena yang dikenali sebagai hikikomori.

Apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah murid yang membunuh diri juga turut sama meningkat. Pada tahun 2018, bilangan bunuh diri pelajar sekolah adalah tertinggi dalam tempoh 30 tahun dengan 332 kes. Pada tahun 2016, peningkatan bilangan kes bunuh diri pelajar menyebabkan kerajaan Jepun meluluskan tindakan pencegahan bunuh diri dengan cadangan khusus untuk sekolah.

Apakah puncanya pelajar enggan ke sekolah?

buli di sekolah

Menurut kajian yang dilakukan oleh kementerian pendidikan, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan para pelajar tindak berminat atau enggan ke sekolah. Antara sebab utama adalah keadaan keluarga itu sendiri, masalah peribadi dengan rakan atau guru di sekolah dan kes buli.

Ada juga pelajar yang melaporkan mereka tidak mahu ke sekolah kerana mendakwa sukar mengikut syarat-syarat di sekolah yang dikatakan terlalu ketat. Sebagai contoh, keluar "tight" yang dipakai mestilah hitam, rambut tidak boleh diwarnakan, warna getah rambut mestilah yang ditetapkan sahaja dan sebagainya.

Banyak sekolah di Jepun mengawal setiap aspek pemakaian dan imej para pelajarnya. Sebagai contoh, memaksa pelajar berambut perang mewarnakan rambutnya kepada warna hitam, melarang pelajar memakai baju coat (walaupun ketika musim sejuk) dan sebagainya.

Syarat-syarat yang ketat ini diperkenalkan di sekolah pada tahun 1970-an dan 1980-an sebagai respon kepada masalah keganasan dan buli pada masa tersebut. Syarat-syarat ini dilonggarkan kembali pada tahun 1990-an tetapi kembali diperketatkan sejak kebelakangan ini.

Undang-undang atau syarat-syarat yang diperkenalkan oleh pihak sekolah ini juga dikenali sebagai "black school rules".

Kritikan terhadap "black school rules" di sekolah

peraturan sekolah jepun 485

Walaupun sistem "free school" dianggap sebagai alternatif terbaik buat masa ini kepada sekolah biasa, masalah dalaman dalam sistem pendidikan di Jepun pada masa kini tetap menjadi satu isu besar. Bagi Prof Uchida, seorang pakar pendidikan dari Nagoya University, tidak membangunkan kepelbagaian pelajar adalah melanggar hak asasi mereka - dan ramai pihak yang bersetuju dengannya.

Pada bulan Ogos, kempen "Black kosoku o nakuso!" [Hapuskan peraturan sekolah yang mengarut] telah mengemukakan petisyen dalam talian kepada kementerian pendidikan yang ditandatangani oleh lebih 60,000 orang meminta penyelidikan terhadap peraturan sekolah yang tidak munasabah.

Wilayah Osaka mengarahkan semua sekolah menengah untuk mengkaji semula peraturan mereka dan hasilnya kira-kira 40% sekolah membuat perubahan. Walau bagaimanapun, amat menyedihkan kerana Prof Uchida mengatakan bahawa Menteri Pendidikan dikatakan menganggap bahawa keengganan ke sekolah bukanlah sebuah anomili (ketidakbiasaan), sebaliknya adalah sebuah trend semata-mata.

Kredit:

  1. BBC News



Hakcipta iluminasi.com (2017)