Pada zaman sekarang, menyewa sebuah rumah adalah agak mahal terutama bagi mereka yang tinggal di pusat bandar. Apa yang lebih memeningkan kepala lagi ialah apabila tuan rumah kerap menaikkan kadar sewa rumah itu setiap tahun. Alangkah bagus sekiranya kadar sewa rumah itu adalah tetap sama, tidak kira berapa lama kita tinggal di situ.

Inilah yang berlaku di sebuah kampung kecil bernama Fuggerei. Pada asalnya, Fuggerei dibina sebagai sebuah kompleks perumahan bagi golongan miskin. Setelah bertahun-tahun lamanya, lebih banyak rumah serta kemudahan yang ditambah di situ dan menjadikan Fuggerei sebagai perkampungan kecil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fuggerei dibina di tengah-tengah bandar Augsburg dan dikelilingi dengan tembok. Ia dibina pada tahun 1520 dan merupakan kompleks perumahan sosial yang tertua di dunia dan masih didiami sehingga hari ini. Selain itu, Fuggerei juga sangat cantik dan kaya dengan sejarah.

fuggerei pada waktu malam

Namun, apa yang lebih mengagumkan tentang perkampungan bersejarah ini ialah mereka yang tinggal di sini membayar sewa rumah yang sama seperti 500 tahun dahulu. Sewa tahunan bagi sebuah rumah di sini adalah 1 Rhein guilder pada tahun 1520, bersamaan dengan RM 4 pada hari ini.

Oleh kerana kompleks perumahan ini penuh dengan sejarah, tidak banyak perubahan yang dilakukan kecuali yang perlu sahaja. Antara perubahan yang diperlukan ialah seperti peruntukan bekalan elektrik dan air. Rata-rata unit rumah di sini bersaiz 500 hingga 700 kaki persegi.

Setiap pangsapuri dilengkapi dengan dapur, ruang tamu, bilik tidur dan bilik stor kecil. Setiap rumah di sini mempunyai pengetuk pintu yang tersendiri dengan pelbagai bentuk. Ini kerana, pada zaman belum lagi wujud lampu jalan, maka pengetuk pintu menjadi tanda pada waktu gelap dengan hanya menyentuh sahaja pintu rumah. Bagi pangsapuri di tingkat bawah, ia dilengkapi dengan taman dan susur manakala pangsapuri bahagian atas pula disertakan dengan loteng.

jakob fugger

Jakob Fugger

Kompleks perumahan Fuggerei ini dibina oleh Jakob Fugger atau lebih dikenali sebagai "Jakob si Kaya". Jakob Fugger adalah seorang pegawai bank yang kaya dan bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan Empayar Rom serta keluarga diraja Habsburg. Dia juga dikenali sebagai salah seorang pembiaya terkaya dalam sejarah dan meninggalkan lebih daripada tujuh tan emas untuk keluarganya sebagai wasiat.

Jakob Fugger tidak menjadi lalai dengan kekayaan yang dimilikinya dan ingin melakukan perbuatan baik untuk masyarakat. Perkara inilah yang menjadikannya untuk memulakan rancangan membina Fuggerei dengan deposit permulaan sebanyak 10,000 Rhein guilder. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan komuniti bagi golongan miskin sambil menggabungkan kegiatan keagamaan dengan kemudahan perumahan yang sangat murah.

Penduduk asal kompleks perumahan itu kebanyakannya terdiri daripada tukang ukir dan buruh. Sesetengah penduduk di sini pula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau menawarkan perkhidmatan mereka untuk bayaran atau pertukaran barang. Sebuah sekolah pendidikan Katolik telah ditubuhkan di kawasan perumahan ini.

tugu jakob fugger

Salah seorang penduduk paling terkenal di Fuggerei ialah moyang kepada Wolfgang Amadeus Mozart yang pernah mendiami salah sebuah rumah di sini dari tahun 1681 hingga 1694. Hari ini, terdapat plat batu yang didedikasikan untuk moyang pemuzik terkenal itu.

Seni bina asli bangunan di sini telah direka oleh Thomas Krebs, manakala Gereja St. Mark yang terdapat di sini dibina oleh Hans Holl pada tahun 1582. Banyak lagi rumah, air pancut dan kemudahan lain yang ditambah di sini sehinggalah pada tahun 1938. Malangnya, semasa Perang Dunia Kedua, sebahagian besar Fuggerei telah terjejas teruk.

Untuk keselamatan para penduduk di sini, sebuah kubu telah dibina di dalam kompleks itu. Hari ini, kubu itu telah ditukar menjadi sebuah muzium. Selepas perang tamat, dua blok bangunan telah dibina khas untuk para janda yang kehilangan atau kematian suami bagi meringankan beban mereka. Malah, kerosakan yang berlaku juga telah diperbaiki. Hari ini, Fuggerei terdiri daripada 67 buah rumah dan 147 Wohnungen (pangsapuri).

fuggerei

Walaupun kadar sewa rumah dan suasana di kampung itu kedengaran menarik, tetapi terdapat senarai menunggu selama empat tahun untuk berpindah ke Fuggerei. Selain itu juga, terdapat peraturan ketat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Fuggerei. Hanya mereka yang berusia 60 tahun ke atas, berfahaman Katolik dan mempunyai beberapa ciri lain tertentu sahaja yang boleh tinggal di sana. Bagi mereka yang terpilih untuk tinggal di Fuggerei, mereka berasa seperti telah memenangi loteri.

Penduduk di sini juga mesti mengambil bahagian dalam acara doa yang dilakukan sebanyak tiga kali sehari iaitu Lord's Prayer, Hail Mary dan Nicene Creed. Selain itu, pemohon juga perlulah terdiri daripada mereka yang pernah menetap di Augsburg selama dua tahun. Walaupun perumahan ini dibina untuk golongan miskin, mereka tidak akan dibenarkan tinggal di sini sekiranya mempunyai hutang.

Mereka yang tinggal di sini juga perlu berkhidmat kepada masyarakat dengan bekerja sebagai pengawal waktu malam, penjaga gereja atau tukang kebun. Fuggerei juga mempunyai had waktu yang ketat. Setiap hari, pintu masuk ke kompleks perumahan ini ditutup pada jam 10 malam. Bagi sesiapa yang ingin masuk selepas jam 10, bayaran sebanyak RM 4 perlulah dibayar kepada pengawal waktu malam.

muzium fuggerei

Setiap tahun, dianggarkan sebanyak 200,000 pengunjung telah datang melawat kampung bersejarah ini. Walaupun pengunjung dilarang untuk memasuki mana-mana unit rumah yang didiami penduduk, mereka boleh melawat muzium yang mempamerkan sebuah pangsapuri yang dijaga dengan sempurna dan menyediakan maklumat mendalam mengenai keluarga Fugger.

Pekej lawatan selama 45 minit itu disertakan dengan pelbagai terjemahan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Inggeris, Itali, Perancis, Rusia, Sepanyol, Czech, Romania, Greek, Hungary dan juga China. Setiap pengunjung perlu membayar kos sebanyak RM 16 untuk pakej lawatan ini.

Rujukan:

1. Atlas Obscura

2. The Culture Trip

3. German Culture




Hakcipta iluminasi.com (2017)