Kredit foto: New Straits Times

Aktor dan pengarah, Datuk Farid Kamil mendedahkan dirinya kini sedang berada di titik paling bawah dalam kehidupan.

Apa yang lebih mengecewakan apabila mengenangkan kontroversi dadah yang mengaitkan namanya itu berlaku ketika dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

"Bila berlaku kejadian ini, tiba-tiba saja dunia saya bertukar dan saya terkilan apabila keluar berita-berita seumpama itu.

"Saya ralat kerana ia berlaku sekarang ketika saya dah mempunyai keluarga dan anak-anak.

"Saya seboleh-bolehnya nak menjadi ketua keluarga dan bapa yang terbaik," katanya di sidang media khas yang berlangsung di The Loft Event Space, Setia Alam pada Rabu.

Pelakon yang mencecah usia 37 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai isteri, aktres Datin Diana Danielle yang sangat memahami apa yang sedang dilaluinya.  

farid kamil sekeluarga perlu berhati hati

Kredit foto: Instagram Farid Kamil 

"Isteri saya sangat memberi sokongan. Dia faham secara keseluruhan apa yang berlaku cuma penerimaan anak-anak sedikit sukar.

"Anak-anak notis ketiadaan saya dan ia membuatkan saya sukar untuk menjelaskannya," katanya.

Sementara itu, bintang Tombiruo itu menepis dakwaan mengatakan isu rumah tangganya menjadi punca awal segala permasalahan yang timbul.

"Kejadian ini tak langsung berkait dengan masalah rumah tangga.

"Lagipun, isteri dan keluarga saya sentiasa berada dengan saya.

"Cuma, buat masa ini kami satu keluarga sangat berhati-hati kerana tak tahu secara jelas siapa musuh kita," katanya.

Dalam masa sama, Farid akui kehidupannya kebelakangan ini berasa lebih tenang dengan sokongan keluarga di sisi.

"Apa yang saya lalui dalam tempoh sebulan ini, sangat tenang. Keluarga pula bagi sokongan dan cari punca kejadian sebenar serta beri dorongan, jadi saya jalani kehidupan seperti biasa.

"Cuma ini pengalaman pertama saya, jadi saya kena lalui dengan tabah," katanya.

Lanjutan itu, Farid berharap kenyataan yang dikeluarkannya ini akan menjernihkan nama, sekaligus mengubah pandangan masyarakat terhadap dirinya sejak beberapa dakwaan buruk yang tersebar sebelum ini.

"Saya harap dengan penjelasan yang dibuat ini dapat membersihkan nama seterusnya memberi cerminan lain pada diri saya.

"Saya mengharapkan agar keadilan akan terbukti dan semuanya baik-baik belaka. Saya bertawakal dan yakin negara kita masih selamat. Cuma sekarang saya akan lebih berhati-hati lagi," katanya.

Terdahulu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 16 Januari lalu.

Begitupun, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja yang dibacakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 25 Januari lalu.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)