farid kamil tak mengaku bersalah buat laporan palsu

Kredit foto: BH Plus

Aktor dan sutradara Datuk Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan membuat laporan polis palsu kononnya tiga rakan artis telah meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Begitupun, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, bintang Tombiruo itu didakwa mereka keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur pukul 5.54 petang pada 31 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tiga tahun dan denda.

Majistret Salamiah Salleh membenarkan beliau diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei ini untuk tarikh serahan dokumen.


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)