Oleh pada 05 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Fara Mendoza

Aktres Fara Mendoza mendakwa dirinya menjadi mangsa pukul kekasihnya pada bulan lalu selepas mendapat tahu lelaki itu sudah berkahwin.

Dedah pelakon berusia 27 tahun ini, peristiwa yang berlaku di Kuantan itu bermula apabila dia diminta lelaki berkenaan untuk datang ke lokasi kejadian.

"Selepas agak lama kami berhubungan, saya mendapat tahu dia sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Hati saya terluka dan mahu mengenakan dia (untuk membuktikan dirinya sudah berkahwin) bersama tiga wanita lain yang pernah ditipu individu sama.

"Tetapi, seorang daripada wanita terbabit membocorkan rahsia kami sehingga membuatkan dia bengang dan berkomplot dengan beberapa rakannya mengenakan saya pula. Kononnya, mereka mahu bertemu dengan saya untuk memulangkan jaket.

"Tiba-tiba, apabila saya berjumpa dengan mereka, kekasih saya muncul dan mengasari serta memukul saya sampai lebam tangan. Dia juga turut menampar saya," katanya yang dipetik daripada portal BH Online.

Enggan mendiamkan hal itu, Fara atau nama sebenarnya Norfaralinah Md Yunus membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada hujung bulan lepas, diikuti Balai Polis Dang Wangi, dua hari lalu.

Kata pelakon drama Suamiku Encik Sotong ini, sehingga kini seorang daripada mereka sudahpun direman, bagaimanapun teman lelakinya pula masih terlepas kerana berjaya melarikan diri.

"Saya harap orang yang menganiaya saya akan mendapat balasan yang setimpal. Tak sangka perkara ini boleh terjadi pada saya," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Fara juga melahirkan rasa terkejut apabila luahannya di laman Instagram menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak hingga ada yang menyangka dia dirogol.

"Eh, bukanlah! Bukan dirogol. Pandai-pandai saja mereka mengadakan cerita," jelasnya.

Dalam pada itu, portal BH Online memberitahu mereka telahpun menghubungi sekaligus mendapat pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh tentang laporan yang dibuat pelakon berkenaan.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)