Oleh pada 08 Nov 2017 kategori

Betapa beruntungnya kita mudah hendak berpindah ke mana-mana bandar di dalam Malaysia. Andai kata misalnya anda dilahirkan di sebuah bandar bernama Durian Burung di utara tanah air dan anda mendapat peluang pekerjaan atau tawaran pengajian di Johor, anda boleh dengan mudahnya berangkat ke situ tanpa perlu memohon sebarang dokumen khas ataupun pasport. Namun, tidak semua masyarakat dalam dunia ini mempunyai kelebihan yang sama.

Di tanah besar China misalnya, sekiranya anda dilahirkan di Guangxi dan anda ingin berhijrah ke Shanghai atas sebab peluang pekerjaan, anda memerlukan sebuah pasport dalaman yang dikenali sebagai Hukou. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah itu Hukou?

Dalam bahasa ringkasnya, sistem Hukou ini merupakan pasport dalaman yang diwajibkan bagi setiap rakyat China sekiranya mereka ingin berhijrah ke bandar lain.

Pada asalnya, sistem Hukou ini ditubuhkan pada tahun 1958 untuk memastikan kestabilan sosial, ekonomi dan politik negara China. Pada awal penubuhan Republik Rakyat China, ekonomi negara tersebut banyak bergantung kepada sektor pertanian. Jadi, untuk memajukan sektor perindustrian, kerajaan China telah mengambil keputusan untuk mencontohi kerajaan negara jiran mereka, Soviet, dengan memberi lebih tumpuan kepada industri berat. 

Demi mencapai matlamat mereka, harga produk pertanian menjadi sangat murah, tetapi sebaliknya harga produk industri berat pula menjadi sangat mahal. Untuk memastikan keseimbangan antara kedua-dua sektor ini, kerajaan China telah mengehadkan pertukaran sumber, penghijrahan manusia dan tenaga kerja antara sektor pertanian ke sektor industri, serta antara bandar dan luar bandar. 

Jadi secara umumnya, sistem Hukou mewajibkan mereka yang lahir di sesuatu negeri untuk tinggal dan bekerja mengikut bidang perusahaan negeri tersebut.

Sekiranya mereka berkeras untuk pergi juga ke Beijing misalnya, tanpa Hukou, mereka tidak boleh bekerja, mendapat bantuan atau khidmat kerajaan, tidak boleh sambung pengajian, tidak boleh memanfaatkan perkhidmatan kesihatan dan sebagainya. Dalam bahasa mudah, tanpa Hukou, mereka dianggap sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin) di Beijing.

Kesan Hukou yang berjaya mencuri perhatian media antarabangsa. 

Nampak seperti mudah, namun Hukou merupakan dokumen yang sangat sukar untuk dipohon terutama sekali bagi mereka yang ingin berhijrah daripada luar bandar ke bandar. Setiap tahun, kuota dan syarat untuk memohon Hukou diperketatkan.

Banyak kesan buruk Hukou yang telah berjaya mencuri perhatian dunia, antaranya ialah kebuluran dan kemiskinan di luar bandar. Namun, logiknya, seiring dengan peredaran waktu, semestinya kesan negatif sistem ini berjaya ditangani, bukan? 

kanak kanak kelaparan

Tetapi, hasil soal selidik pada tahun 2016 benar-benar mengejutkan dunia apabila direkodkan seramai 61 juta kanak-kanak dibiarkan membesar tanpa ibu bapa di China. Kebanyakannya bukanlah anak hasil perhubungan luar nikah atau anak yatim kematian ibu bapa. Apabila disoal, ternyata mereka mempunyai sekurang-kurangnya sepasang ibu bapa dan juga ahli keluarga yang lain. Jadi, sebab apakah yang menyebabkan mereka ditinggalkan keseorangan? Jawapannya ialah sistem Hukou.

Disebabkan sistem Hukou yang mewujudkan jurang besar antara bandar dan luar bandar, majoriti rakyat China yang tinggal di kawasan perkampungan hidup dalam keadaan miskin dan sukar untuk mendapat akses kepada pelbagai kemudahan. Oleh itu, salah satu cara untuk mengubah nasib keluarga adalah dengan berhijrah ke bandar besar untuk bekerja. Namun perbelanjaan untuk pindah memerlukan belanja yang besar dan permohonan Hukou juga rumit dan sukar. Jadi, jalan mudah adalah dengan meninggalkan terus anak-anak di kampung bersama datuk dan nenek ataupun bersendirian.

kanak kanak terbiar

Kebanyakan kanak-kanak yang ditinggalkan hanya bertemu dengan ibu bapa mereka setahun sekali sahaja pada perayaan Tahun Baru Cina. Tetapi yang lebih menyedihkan, ada segelintir anak yang langsung tak pernah bertemu ibu bapa bahkan lebih menyedihkan tidak mengenali langsung siapa ibu bapa mereka. Bagi yang bernasib baik, datuk, nenek ataupun saudara mara yang lain sanggup menjaga mereka. Namun, sebilangan besar mereka diselisih oleh kaum keluarga sendiri atas faktor kemiskinan dan bebanan hidup. 

Pelbagai inisiatif telah dibuat, antaranya dengan menubuhkan rumah anak yatim atau rumah perlindungan khas dan sesi kaunseling untuk membantu anak-anak bernasib malang ini.

kanak kanak dirumah anak yatim

Hakikatnya, keperitan hidup juga memaksa anak-anak ini untuk berhenti sekolah atau tidak bersekolah langsung. Mereka juga terpaksa bekerja dan menjaga datuk atau nenek mereka yang semakin dimamah usia.

kanak kanak bermain sambil menolong orang buat kerja

Kesimpulan

Sememangnya setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mencapai kemajuan. Pada generasi terdahulu, sistem Hukou merupakan cara terbaik bagi memulih keadaan ekonomi mereka. Namun, hari ini sistem Hukou telah membuktikan kepada dunia bahawa disebalik kemajuan dan kemakmuran yang mereka kecapi hari ini, ada pihak yang terpaksa menanggung kesan buruk dan trauma sepanjang hayat mereka. Mungkin pada pandangan kita, semuanya nampak buruk dan negatif tetapi mungkin bagi mereka, hujan emas di negara orang, lebih baik hujan batu di negera sendiri.

Sumber:

  1. ThoughtCo
  2. Aljazeera
  3. Dailymail



Hakcipta iluminasi.com (2017)