Oleh pada 04 Oct 2022 kategori

Dalam filem dan drama, adegan cemas keluarga berdepan kehilangan ahli keluarga mereka, sering dipaparkan diminta menunggu selama 24 jam sebelum kes itu boleh dilaporkan.

Tempoh menunggu ini dikatakan perlu bagi memastikan laporan kes orang hilang benar-benar melibatkan kehilangan orang serta tidak mengganggu kerja polis.

Ramai di antara kita kami percaya turut sama berpandangan serupa dalam isu ini. Jika ada ahli keluarga kita hilang, tunggu 24 jam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mana tahu mereka balik semula. Manalah tahu dia sebenarnya merajuk dan perlu masa bertenang. Manalah tahu semuanya hanya salah sangka kita. 

Apa pula realitinya? Benarkah kita perlu menunggu 24 jam atau semua ini hanyalah sangkaan tanpa asas kita?

Mitos popular masyarakat yang perlu dihapuskan

24 jam laporan orang hilang mitos

Kita terus jawab soalan utama artikel ini terlebih dahululah ya.

Tidak. Anda tidak perlu menunggu 24 jam sebelum anda boleh melaporkan berlaku kehilangan ahli keluarga atau kenalan anda.

Ini semua hanyalah mitos yang sering disebar banyak masyarakat tanpa ada asasnya. Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan selama 24 jam, 48 jam atau 72 jam dalam keadaan gementar, gelabah dan gemuruh sebelum ke balai polis.

Sekiranya anda sudah melakukan carian orang yang dirasakan hilang, cuba menghubungi tapi gagal dan anda beranggapan ada sesuatu yang aneh, buruk atau berbeza telah menimpa orang yang anda telah cari, anda boleh terus hubungi balai polis.

Situasi ini terpakai kepada mana-mana individu, tanpa mengira usia, jantina atau statusnya.Tak semestinya bila melibatkan kehilangan kanak-kanak semata-mata.

Apa yang penting, hadir ke balai polis dengan maklumat yang lengkap untuk memudahkan siasatan dan carian segera dapat berjalan.

Apa maklumat yang perlu ada bagi membantu polis? 

pencarian orang hilang

Sebelum ke balai polis, cetak gambar terbaru individu dikhuatiri hilang yang menampakkan bahagian wajah dengan jelas.

Gambar yang menampakkan keseluruhan wajah dari bahagian bahu dan ke atas dikatakan sangat membantu.

Senaraikan semua informasi yang dirasakan perlu bagi memudahkan proses mengenalpasti individu hilang itu. Antara maklumat yang akan banyak membantu antaranya adalah:

  1. Nama
  2. Umur dan tempat lahir
  3. Berat dan tinggi
  4. Apa-apa tanda pada tubuh yang memudahkan pencarian seperti tanda lahir atau parut
  5. Jenis dan warna pakaian terakhir dipakai individu itu
  6. Di mana lokasi terakhir mereka dilihat berada 
  7. Dengan siapa mereka dilihat berada bersama kali terakhir
  8. Alamat tempat belajar atau bekerja jika berkenaan
  9. Alamat kediaman jika tinggal berasingan
  10. Semua nombor panggilan yang dirasakan boleh membantu

Dalam situasi ini, kami yakin perasaan hati mereka yang terlibat memang cukup sukar diduga.

Bagi ibu bapa yang pernah kehilangan anak sekejap pun dah rasa menggelabah gila. Jika kita duduk dalam situasi sebegini berkali gandalah gelabahnya.

Apa yang penting, mereka yang mencari perlu bertenang, jaga diri dan kesihatan anda. Teruskan usaha anda mencari dan dapatkan bantuan ahli keluarga lain jika perlu. 

Jangan biarkan diri anda sendirian dalam situasi sebegini, kerana memang boleh gila jadinya kita.

Perbezaan status kes orang hilang

kes orang hilang tempoh menunggu

Walaupun kehilangan mana-mana individu layak dikatakan kritikal, pihak berkuasa akan mendefinisikan kes kehilangan ini kepada dua kategori berbeza; kritikal dan tidak kritikal. 

Kes kehilangan kritikal merangkumi individu yang berusia muda dibawah usia 15 tahun atau 18 tahun mengikut negara, individu di atas 60 tahun dan individu yang mengalami kurang upaya mental atau sakit kritikal.

Semua kumpulan ini dikhuatiri berada dalam keadaan sangat bahaya sekiranya hilang kerana mampu berhadapan situasi hidup atau mati.

Sementara kes kehilangan tidak kritikal adalah kes yang melibatkan individu tidak disebutkan di atas.

Di negara kita daripada tahun 2017 sehinggalah penghujung tahun 2021, seramai 10,545 kes orang hilang telah dilaporkan kepada PDRM.

6,074 daripada mereka melibatkan individu 18 tahun ke atas selebihnya bawah usia yang dinyatakan.

Angkanya nampak menakutkan namun majoritinya sudah ditemui, dengan hanya 1,203 kes individu hilang berusia 18 tahun ke atas dan 72 bawah usia 18 tahun dikategorikan kes mereka masih berjalan.

Statistik ini banyak dibantu kejayaan program seperti sistem penyebar NUR Alert yang mampu mengedarkan makluman secara pantas dan lengkap, hasil kerjasama pihak berkuasa dengan platform sebaran maklumat seperti Facebook.

Majoriti kes laporan orang hilang yang diterima selepas siasatan diselesaikan, mendapati punca berlakunya 'kehilangan' adalah akibat masalah keluarga, perselisihan faham, lari dari pengutip hutang, memang mahu menghilangkan diri atau diganggu kemurungan sehingga lari dari rumah.

Dari mana datangnya mitos 'perlu menunggu 24 jam'? 

kes orang hilang tempoh menunggu 24 jam

Biarpun kami menyatakan bahawa tempoh menunggu 24 jam yang sering kita sebutkan adalah mitos, realitinya ada sebab tanggapan begitu popular. 

Ini disebabkan beberapa dekad terlalu banyak kejadian orang hilang khususnya di Amerika Syarikat, apabila disiasat mendapati orang yang didakwa hilang memang sengaja memilih untuk menghilangkan diri.

Jadi pihak polis di setiap negeri di sana dibenarkan mewartakan protokol bagi memperkenalkan tempoh menunggu.

Tempoh menunggu ini pula dibuat bergantung kepada tahap kemudahan akses perjalanan keluar masuk setiap negeri, untuk mengelakkan banyak masa polis terbuang mencari orang yang keesokannya selamba muncul kembali.

Ada negeri memilih untuk meletakkan tempoh menunggu bagi orang hilang dewasa pada tahap 24 jam, ada yang 48 jam dan ada juga 72 jam di kawasan yang jaringan laluannya mungkin sukar.

Bagaimanapun, sejak dulu tidak ada tempoh menunggu diamalkan dalam kes kategori orang hilang kritikal. Apa yang kita perlu tahu - sistem ini tidak lagi diamalkan sekarang.

Berpunca daripada pihak media gemar memaparkan tempoh menunggu kes culik atau orang hilang bagi menambah rencah dramatik cerita, akhirnya ramai mempunyai tanggapan dalam kes orang hilang, pengadu perlu menunggu sebelum laporannya layak diterima.

Satu pendapat berbeza ada menyebut mitos menunggu 24 jam ini sengaja disebarkan sindiket penculikan dan pemerdagangan manusia agar mereka mempunyai masa yang cukup menyelesaikan kerja, sebelum pihak polis dapat mengesyaki apa-apa.

Betul atau tidak, tak tahulah. Jika benar, menakutkan juga ya?

Rujukan

Report missing persons earlier

Portal PDRM Orang Hilang




Hakcipta iluminasi.com (2017)