Oleh pada 15 Dec 2017 kategori

Apabila seorang kanak-kanak diculik oleh orang yang tidak dikenali, kebanyakan kanak-kanak itu boleh dijumpai tidak lama kemudian.

Walau bagaimanapun, ada kes-kes terpencil di mana mangsa diculik selama beberapa bulan atau tahun, malah ada yang dibunuh dengan kejam. Di Amerika Syarikat, hanya 0.0003% sahaja situasi ini berlaku daripada 465,000 kes kehilangan kanak-kanak yang dilaporkan pada tahun 2016. Namun, ia masih menjadi mimpi ngeri bagi para ibu bapa.

Kami ingin berkongsi beberapa ciri umum penculik kanak-kanak agar semua ibu bapa boleh lebih berhati-hati dan sentiasa memerhatikan anak-anak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Penculikan jarang dibuat untuk tempoh yang panjang

Penculikan kanak-kanak yang dilakukan oleh orang tidak dikenali adalah sangat jarang terjadi. Majoriti kategori penculikan adalah didalangi oleh ahli keluarga sendiri. Bagi kes-kes penculikan oleh orang yang tidak dikenali, kebanyakan mangsa dilepaskan selepas beberapa ketika.

2. Kebanyakan penculik adalah lelaki

95% penculik yang tidak dikenali adalah kaum lelaki. Dalam 115 kes dengan tempoh penculikan panjang di Amerika Syarikat, 40% daripada kes itu berakhir dengan pembunuhan mangsa manakala 32% lagi mangsa mengalami kecederaan teruk.

Anggaran sekitar 10 kes penculikan yang dilakukan oleh wanita adalah berpunca daripada keinginan untuk mempunyai anak sendiri. Pada tahun 2002, New York Times pernah melaporkan kes seorang wanita yang menculik seorang bayi dan memberitahu teman lelakinya bahawa dia adalah bapa kepada bayi tersebut.

penculik kanak kanak oleh orang tidak dikenali pedofil kidnap

3. Kebanyakan penculik belum berkahwin

Kebanyakan penculik mencari tempat untuk melampiaskan nafsu kerana tidak mempunyai pasangan. 74% mangsa daripada kes penculikan oleh orang tidak dikenali adalah kanak-kanak perempuan dan kebiasaannya mereka hanya dikurung sementara sahaja. Mangsa penculikan seperti ini rata-rata mengalami penderaan seksual oleh si penculik.

4. Penculik kebanyakannya terasing daripada masyarakat

Penculik rambang ini sememangnya menginginkan sekutu jenayah dari kalangan wanita, namun agak payah untuk dimiliki kerana penculik tidak mempunyai kemahiran sosial yang hebat. Mereka tidak mampu untuk menarik atau menggoda sesiapa dan jarang memiliki bilangan rakan yang ramai. Disebabkan itulah mereka sering menyasarkan kanak-kanak kerana golongan ini lebih mudah didekati dan tidak mampu mempertahankan diri sendiri.

penculik budak van putih yang berjaya ditangkap

5. Jarang berinteraksi dengan kanak-kanak

Penculik amat berbeza dengan pedofil kerana mereka jarang berkomunikasi dengan kanak-kanak. Pedofil sebaliknya sering mendapatkan kepercayaan dengan berbuat baik dan cuba bersahabat terlebih dahulu dengan mangsa sebelum mengambil tindakan berbahaya.

Penculik pula lebih biasa dengan cara paksaan dan kekerasan, seperti menggunakan pistol atau pisau untuk mengugut kanak-kanak.

6. Penculik adalah mangsa penderaan seksual

Satu kajian yang dibuat oleh Dr. Robert A. Prentky mendapati 71% orang tidak dikenali yang menculik untuk kepuasan seksual pernah didera secara seksual semasa kecil. Pedofil yang memperkosa kanak-kanak pula hampir 100% kesemuanya berpengalaman didera secara seksual.

Peratus yang lebih rendah berbanding pedofil itu adalah disebabkan bukan semua kes penculikan bertujuan untuk serangan seksual. Ada kes-kes lain seperti mangsa menjadi tebusan ataupun 'ter'culik semasa mencuri kenderaan.

penculik kanak kanak oleh orang tidak dikenali pedofil kidnap 5

7. Penculik kebiasaannya bukan pedofil

Menurut Dr. Prentky, terma pedofil ini adalah sesuatu yang teknikal kerana ia menjurus kepada perasaan suka atau sayangkan kanak-kanak. Seseorang pedofil berasa takut sekiranya mengasari atau melakukan perbuatan yang boleh mencederakan mangsa. Penculik pula tidak kisah sama ada kanak-kanak itu mengalami kecederaan, mati dibunuh atau tidak.

Berlainan sedikit dengan kes penculikan dalam negara

Di Malaysia, menurut statistik PDRM, punca utama kehilangan kanak-kanak dari tahun 2011 hingga 2015 adalah kerana inginkan kebebasan (4,112 kes) dan mengikut kawan serta kekasih (4,069 kes). Kes 'penculikan' pula kebiasaannya adalah berpunca daripada ahli keluarga sendiri.

Namun, para ibu bapa masih perlu berhati-hati dengan penculikan rambang oleh orang yang tidak dikenali dan sentiasalah memantau gerak-geri anak anda serta orang sekeliling. 

Janganlah kita terlalu leka bermain telefon sehingga tak nampak kelibat anak. Menyesal tak sudah nanti.

Rujukan:

1. Missing Kids

2. Utusan Malaysia

3. Poynter

4. New York Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)