Menyebut untuk berhenti merokok adalah amat mudah tetapi untuk melaksanakannya adalah amat susah sekali. Perokok sudah pun tahu kesan buruk dari tabiat merokok dari segi kemudaratan terhadap kesihatan tetapi tidak mengambil peduli tentangnya.
Sebenarnya perokok mampu berhenti merokok, tak percaya? tengok sekarang anda berpuasa tetapi anda boleh sahaja untuk tidak merokok. Semuanya bermula dari niat, jika niat anda berpuasa maka anda akan menahan diri dari lapar serta dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Begitu juga dengan niat untuk berhenti merokok, jika anda bermula dengan niat nescaya anda dapat berhenti merokok dengan melakukan tips-tips yang diberikan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenyataan Mufti Wilayah Perseketuan mengenai rokok
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui kenyataan yang dipetik dalam laman sesawang mufti wilayah persekutuan iaitu sesungguhnya isu merokok adalah isu yang dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi sebenarnya besar kesan terhadap individu yang terbabit. Perlu dinyatakan di sini banyak akibat yang mudarat dan tidak baik berlaku kepada perokok dan orang sekelilingnya. Antaranya pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun di peringkat negara di billion dollar pada peringkat dunia. Begitu juga dengan kematian kadarnya seperti 2014 menunjukkan hampir 6 juta kepada perokok dan juga yang berada di sekelilingnya kerana terkesan akibat asap rokok. Angka tersebut bertambah dari setahun ke setahun.
Sekali lagi suka saya pertegaskan bahawa pendapat yang paling kuat dan rajih bahawa merokok hukumnya haram. Saya nukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mengumpul sejumlah tokoh ulama’ dalam kitabnya Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah 1/693-710[2] antaranya:
Ulama Mesir: Syeikhul Islam Ahmad al-Sanhuri al-Buhuti al-Hanbali dan Syeikhul Malikiyyah Ibrahim al-Laqqani.
Ulama Maghribi: Syeikh Abu Ghaith al-Qasyasyi al-Maliki
Ulama Syam: Syeikh Najmuddin bin Badruddin bin Mufassir al-Qur’an al-Arabi al-Ghazzi al-Amiri al-Syafie
Ulama Yaman: Syeikh Ibrahim bin Jam’an dan muridnya Syeikh Abu Bakar bin Ahdal
Ulama al-Haramain: al-Muhaqqiq Abdul Malik al-Ishami dan muridnya Muhammad bin Allamah dan Sayyid Umar al-Basri
Ulama Turki: Syeikh al-A’zham Muhammad al-Khawajah, Syeikh Isa al-Sahwah al-Hanafi, Syeikh Makki bin Faruh al-Makki dan Sayyid Sa’d al-Balkhi al-Madani.
Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan yang bersungguh-sungguh melaksanakan Kempen Anti-Merokok dengan pelbagai cara telah diusahakan. Justeru, amatlah penting semua pihak menggerakkan program anti-merokok di peringkat sekolah rendah lagi sehingga ke pada orang dewasa. Alangkah baiknya kita hidup dalam tahap kesihatan yang terbaik dan selamat daripada pembaziran yang mungkin boleh dimanfaatkan harta tersebut untuk pembangunan ummah. Semoga kita semua diberi kefahaman yang mendalam untuk mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti merokok.
Tips untuk berhenti merokok di bulan puasa
Bulan puasa merupakan bulan yang sangat istimewa khususnya bagi umat Islam di seluruh dunia. Selama sebulan penuh kita akan menempuhi Ramadhan dengan tidak makan dan minum termasuk juga tidak merokok sejak sahur sehingga waktu berbuka. Bulan Ramadhan merupakan momentum atau waktu yang sangat tepat untuk memasang niat berhenti merokok. Antara tips untuk berhenti merokok di bulan Ramadhan yang kami ingin kongsikan adalah,
Niat
Niat untuk berhenti merokok selama bulan Ramadhan diyakini dapat membantu mempertingkatkan usaha dengan lebih berbanding pada waktu yang lain. Ini kerana anda tidak boleh merokok di waktu puasa dan terdapat keberkatan di bulan Ramadhan jika anda berniat dengan perkara yang baik.
Yakin dan sentiasa positif
Yakinkan diri anda dengan berhenti merokok adalah merupakan perkara yang sangat positif. Apabila seseorang berhenti merokok akan ada kebaikkan kepada diri sendiri, keluarga serta orang yang berada di sekitar anda. Yakinkan diri anda bahawa anda memang boleh untuk berhenti merokok. Bermula dengan berhenti membeli akhirnya anda akan berhenti merokok.
Banyakkan beramal
Pastikan selepas waktu berbuka puasa dan ketika sahur, jangan sesekali keluar merokok. Apa yang anda perlu lakukan terus mengambil wuduk dan melakukan solat. Pergi ke masjid lakukan solat tarawikh secara berjemaah. Banyakkan melakukan amalan seperti membaca Al Quran dan berzikir. Berdoa supaya anda dapat berhenti daripada tabiat merokok.
Sokongan moral
Sampaikan niat anda yang suci murni secara lisan kepada orang-orang yang terdekat seperti ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak merokok, sampaikan komitmen bahawa anda ingin berhenti merokok. Mintalah dorongan dan juga perlu sedikit ancaman dari mereka jika anda ingin merokok lagi. Kalau yang lebih ekstrim suruh mereka menampar anda jika anda merokok! Mereka pasti akan menyokong anda sehingga anda berhenti dari melakukan tabiat buruk itu.
Bina komuniti
Wujudkan satu komuniti berhenti merokok di antara perokok dan bekas perokok di sekitar kawasan anda. Ajak mereka supaya untuk bersatu padu dan memberi 100% komitmen untuk berhenti merokok selamanya. Cerita pengalaman dan tukarkan pendapat masing-masing mengenai kaedah yang berkesan yang telah terhasil dalam proses untuk berhenti merokok. Posisikan diri anda untuk menjadi pendorong dan juga pemangkin semangat untuk setiap ahli komuniti.
Mengalih perhatian
Jika anda ingin merokok, alihkan perhantian anda dari keinginan tersebut. Cuba untuk memikirkan apa kesan buruk yang akan berlaku pada diri anda jika terus merokok. Buat aktiviti-aktviti yang lain seperti bertadarus, mendengar kuliah agama, membaca al Quran dan membuat amal ibadat yang lain.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan