Oleh pada 22 Jan 2022 kategori

Setuju atau tidak, anak patung Barbie dan Ken telah membentuk konsep kecantikan fizikal yang popular selama beberapa dekad terutamanya di Barat. Ini menyebabkan ada segelintir individu yang sanggup mengubah rupa dan fizikal mereka untuk kelihatan seperti anak patung itu.

Bahkan, ada yang sanggup bertindak lebih ekstrem untuk menjadi Barbie dan Ken dalam dunia sebenar. Dua orang individu yang dimaksudkan itu ialah Valeria Lukyanova dan Justin Jedlica.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kisah mengenai manusia anak patung Barbie dan Ken.

Barbie Manusia: Valeria Lukyanova

valeria lukyanova

Wanita yang digelar sebagai "Barbie Manusia" ini dilahirkan pada 23 Ogos 1985 di Tiraspol, Moldova. Valeria Lukyanova kini merupakan seorang model Ukraine yang menggunakan penampilannya untuk mempromosikan ideanya tentang kerohanian dan mistik.

Dari kebanyakan gambarnya, Valeria lebih kelihatan seperti anak patung berbanding manusia sebenar. Namun, dia mendakwa tidak pernah terfikir untuk kelihatan seperti Barbie pada mulanya. Sebaliknya, dia hanya mahu kelihatan cantik dan feminin.

Ramai yang berfikir bahawa wanita ini melakukan pelbagai pembedahan plastik untuk kelihatan seperti itu. Walau bagaimanapun, Valeria mendakwa hanya melakukan pembedahan pembesaran payudara sahaja.

valeria barbie

Valeria turut menyelar orang yang menyebarkan khabar angin bahawa dia telah membuang tulang rusuknya supaya pinggangnya kelihatan begitu kecil.

Pelbagai kenyataan kontroversi

Barbie Manusia ini juga sering menjadi bualan kerana pelbagai kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya. Valeria pernah berhasrat untuk menjadi seorang pengamal breathariansm iaitu kepercayaan manusia boleh hidup tanpa makan dan minum, hanya bergantung pada udara dan cahaya matahari.

Dia juga mendakwa dirinya sebenarnya adalah makhluk asing. Dalam satu dokumentari VICE, Valeria mendakwa bahawa dirinya adalah seorang raja yang terkenal dalam kehidupan lampaunya (mengikut kepercayaan kelahiran semula).

valeria lukyanova 2

Baru-baru ini, Valeria dikecam apabila membuat komen mengenai orang yang berbangsa campuran. Menurut Valeria, ramai wanita Rusia pada tahun 1950-an dan 1960-an kelihatan cantik tanpa sebarang pembedahan plastik.

Dia memberikan contoh perkahwinan campur antara wanita Rusia dan lelaki Armenia. Mereka mungkin akan mempunyai seorang anak perempuan yang comel tetapi jika dia mewarisi hidung bapanya, gadis itu mungkin tidak begitu cantik tanpa pembedahan plastik.

Valeria juga tidak bersetuju dengan pandangan wanita yang berfahaman feminisme dan mereka yang tidak mahu mempunyai anak.

Ken Manusia : Justin Jedlica

justin jedlica

Justin Jedlica berasal dari Poughkeepsie, New York, ini dilahirkan pada 11 Ogos 1980 mendapat julukan sebagai "Anak Patung Ken" dalam dunia nyata. Walaupun tidak berniat kelihatan seperti anak patung itu, Justin mengaku gelaran itu membanggakannya. 

Justin sebenarnya adalah seorang yang digelar sebagai "penggemar pembedahan plastik". Dia telah menjalani pelbagai pembedahan seperti pembedahan kosmetik di bahagian muka, implan dada, bisep, trisep, bahu dan banyak lagi.

Setakat ini, Justin dipercayai telah melalui hampir 1,000 prosedur kosmetik dan berbelanja sebanyak lebih RM 4 juta untuknya. Bahkan, Justin kelihatan tidak akan berhenti melakukannya.

justin jedlica pembedahan plastik

Justin percaya apa yang dilakukan pada tubuh dan wajahnya adalah salah satu bentuk seni dan transformasinya mempunyai makna yang lebih mendalam daripada apa yang disangkakan orang ramai.

Menjadi troll di atas talian

Justin tidak terkecuali daripada menjadi mangsa troll di atas talian dan media sosial kerana tindakan ekstremnya untuk memiliki penampilan seorang lelakinya "sempurna". 

Malah, Justin turut mendakwa bahawa dia tidak kisah jika dirinya dijadikan sebagai bahan kajian dalam pembedahan kosmetik. Jika dia pergi berjumpa pakar pembedahan kosmetik, dia tidak lagi mendapatkan pandangan sebaliknya terus melakukan pembedahan yang diingininya.

Hubungan Valeria dan Justin

Valeria Lukyanova dan Justin Jedlica pernah ditemukan pada Februari 2013 dalam satu rancangan televisyen tetapi hubungan sebenar mereka itu jauh berbeza seperti pasangan kekasih yang dipotretkan oleh anak patung Barbie dan Ken.

Valeria dan Justin langsung tidak menyukai antara satu sama lain dan pernah mengeluarkan kenyataan pedas sesama mereka.

barbie dan ken nyata

Justin pernah menyelar Valeria dengan mengatakan bahawa wanita itu menonjolkan dirinya seperti Barbie di dunia nyata tetapi hanyalah seseorang yang berpakaian dan mengenakan solekan seperti pondan.

Menurut Justin lagi, dia mengakui bahawa Valeria adalah seorang yang cantik tetapi tanpa bantuan solekan, rambut palsu dan korset, dia hanyalah wanita biasa.

Valeria turut membalas dengan mengatakan "Dia (Justin) tidak perlulah membuat komen sama ada saya tulen atau tidak. Saya tahu dia boleh dikatakan kacak tetapi semuanya nampak keterlaluan."




Hakcipta iluminasi.com (2017)