Oleh pada 05 Jul 2018 kategori

Gambar sekadar hiasan semata-mata

Semua orang mampu berkata dia tidak korup tetapi yang kerap kali berlaku, seseorang itu jadi lupa diri apabila telah merasai nikmat kuasa. Dana yang ada serta kuasa untuk mengubah dasar demi keuntungan peribadi menjadi satu beban yang sangat sukar digalas, sehinggakan ramai yang tertewas dengan tarikannya.

Pemimpin-pemimpin dunia juga tak kurang lemahnya dalam menguliti faktor ke atas mereka, sehinggakan ramai juga yang tergelincir mula menyalah gunakan amanah orang ramai bagi tujuan peribadi. Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima orang pemimpin negara yang berdepan dengan tuduhan korupsi dan tewas sehingga menghadapi hukuman penjara.

1. Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Brazil

luiz inacio lula pemimpin negara brazil yang dipenjarakan

Luiz Inacio Lula da Silva merupakan seorang pemimpin yang cukup popular di kalangan masyarakat Brazil namun kariernya berakhir selepas didapati bersalah dalam dakwaan terlibat dengan operasi penyeludupan wang. ]

Luiz didakwa menerima suapan sebuah pangsapuri mewah daripada sebuah syarikat pembinaan. Kertas siasatan yang dibuka sejak April 2015 mendapati wujud banyak salah guna kuasa dilakukan beliau semasa memegang kuasa.

Operasi polis pada 4 Mac 2016 mendapati dokumen-dokumen menyokong dakwaan disimpan di rumahnya. Rekod-rekod dana yang diterima daripada syarikat pengeluar minyak Brazil Petrobras dalam memudahkan urusan kedua-duanya turut ditemui. Luiz didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5 juta dalam bentuk hartanah serta jenayah salah guna kuasa, mengakibatkan beliau dihukum penjara 12 tahun namun diikat jamin sambil menunggu rayuan.

Pada 5 April 2018, Mahkamah Tinggi Brazil memutuskan Luiz perlu terus menjalani hukuman selepas petisyennya ditolak. Luiz diperintahkan menyerah diri pada 6 April dan hanya muncul pada 7 haribulan April 2018. Selepas dipenjarakan, masyarakat Brazil penyokong beliau mula mengadakan rusuhan di jalanan serta melancarkan gerakan 'Pembebasan Lula' sebagai tanda protes kepada keputusan mahkamah. (rujukan)

2. Khaleda Zia, Perdana Menteri Bangladesh

khaleda zia pemimpin negara yang dipenjarakan

Khaleda Zia merupakan bekas Perdana Menteri Bangladesh yang berkhidmat selama dua penggal pada tahun 1991 sehingga 1996, sekali lagi pada 2001 hingga 2006.

Suaminya adalah Ziaur Rahman Zia, Presiden ketujuh Bangladesh yang telah ditembak mati pada 30 Mei 1981. Sempena mengingati jasa suami beliau, satu pertubuhan amal yang dinamakan Zia Charitable Trust ditubuhkan. Siapa sangka Khaleda akhirnya berdepan dengan tuduhan menyalahgunakan dana tersebut yang dikutip untuk anak-anak yatim ini.

Badan siasatan rasuah Bangladesh mula menyiasat kes ini sejak 2011 dengan empat orang suspek dinamakan termasuklah Khaleda, yang ketika itu bertindak selaku ketua pembangkang.

Hasil siasatan mendapati Khaleda, anaknya serta pembantunya menggunakan dana badan kebajikan itu sejumlah RM970 ribu bagi tujuan peribadi, semasa memegang kuasa pada penggal kedua beliau. Atas faktor kesihatan serta kedudukannya, Khaleda dikenakan hukuman lima tahun penjara pada 8 Februari 2018. Ketika ini beliau masih lagi cuba melakukan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan kepadanya. (rujukan)

3. Park Geun-hye, Presiden Korea Selatan

park geun hye pemimpin negara yang dipenjarakan

Perbicaraan bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye mendapat liputan meluas dari dalam dan luar negara. Bertindak memboikot perbicaraan dengan gagal menghadirkan diri, Geun-Hye turut sama bertindak menuduh semua dakwaan ke atasnya direka-reka untuk menjatuhkan beliau.

Geun-hye didapati bersalah menggunakan kedudukannya mengugut syarikat-syarikat besar di Korea Selatan seperti Samsung dan Lotte, supaya menjadi penyumbang utama kepada sebuah pertubuhan amal yang dikelolakan oleh rakan baiknya, Choi Soon-sil. Bukan setakat itu saja, Geun-hye turut sama memaksa syarikat-syarikat ini menandatangani kontrak kerjasama perniagaan dengan syarikat milik Soon-sil.

Soon-sil didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara 20 tahun. Geun-hye pula dijatuhkan daripada jawatannya pada Mac 2017 sebelum dibicarakan. Tamat perbicaraan, Geun-hye dikenakan hukuman penjara 24 tahun beserta denda berjumlah RM68 juta kesemuanya. (rujukan)

4. Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand

yingluck shinawatra pemimpin negara yang dipenjarakan

Mahkamah Tinggi Thailand mengambil keputusan secara sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berikutan kesalahannya memalsukan dokumen-dokumen sulit kerajaan dengan tujuan meraih keuntungan peribadi.

Dalam urusniaga melibatkan beras di antara kerajaan Thailand dengan sebuah syarikat dari China, Yingluck menggunakan kuasanya untuk melindungi menteri yang bertanggungjawab menguruskan urusniaga tersebut walaupun mengetahui berlakunya penyelewengan.

Ini mengakibatkan petani-petani di Thailand menanggung kerugian besar. Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman selepas melalui perbicaraan, Yingluck telah pun berjaya melarikan diri dipercayai ke Britain, sebelum sempat ditahan pihak berkuasa Thailand. (rujukan)

5. Donald Tsang, Ketua Eksekutif Hong Kong

donald tsang pemimpin negara yang dipenjarakan hk

Donald Tsang memegang jawatan Ketua Eksekutif kerajaan Hong Kong, diberikan tanggungjawab memimpin kerajaan daripada tahun 2005 hingga 2012.

Beliau didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Ketua Eksekutif dalam satu urusan pembelian hartanah melibatkan seorang ahli perniagaan, yang pada masa yang sama sedang memohon lesen penyiaran radio digital daripada pihak kerajaan Hong Kong.

Kelulusan lesen radio digital diberikan atas pengaruh Tsang dan Tsang diberikan ganjaran atas pertolongannya; sebuah unit kediaman bertaraf penthouse mewah di Shenzen.

Berdepan perbicaraan di mahkamah, Tsang disabitkan kesalahan melakukan jenayah korupsi, menjadi pegawai tertinggi kerajaan Hong Kong pertama dikenakan hukuman penjara 20 bulan, bermula pada Februari 2017. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)