Oleh pada 24 Jul 2018 kategori

4 blok konflik syria

Peperangan di Syria adalah sangat huru hara. Selepas 6 tahun, konflik tersebut terbahagi antara 4 blok, setiap blok dengan sokongan kuasa luar masing-masing. Kesemua kuasa luar ini langsung tidak bersetuju antara satu sama lain dalam hal untuk siapa mereka berperang, dan dengan siapa yang mereka tentang. Kini, penggunaan senjata kimia ke atas orang awam telah memprovokasi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menyerang Presiden Syria, Bashar al-Assad. 

Ini adalah perkembangan besar, kerana sehingga kini, AS hanya fokus untuk memerangi ISIS. Untuk memahami dengan lebih mendalam tentang pelbagai campur tangan luar dan barisan pertempuran di Syria hari ini, serta bagaimana ianya berlaku, adalah penting untuk kita memahami bagaimana konflik ini sebenarnya bermula. 

Bermula Konflik Peperangan di Syria Pada Tahun 2011

bantahan terhadap pemerintahan rejim assad

Tembakan pertama dalam konflik perang Syria berlaku pada Mac 2011, oleh diktator Syria Bashar al-Assad terhadap penunjuk perasaan dalam demonstrasi aman Arab Spring (Revolusi Arab atau Kebangkitan Arab). Pada Julai tahun sama, penunjuk perasaan mula bertindak balas dengan tembakan, dan terdapat juga dalam kalangan tentera Syria yang keluar daripada kerajaan untuk menyertai orang awam. 

Para tentera bersama orang awam yang memberontak menentang kerajaan Assad menggelar diri mereka sebagai Free Syrian Army (FSA), dan pemberontakan tersebut mencetuskan sebuah perang saudara. Ekstremis dari wilayah berhampiran dan dari seluruh dunia mula mengembara ke Syria bagi menyertai FSA. Assad sebenarnya menggalakkan hal ini berlaku, dengan membebaskan tahanan jihadis bagi mempengaruhi FSA dengan ekstremisme, menyukarkan lagi usaha kuasa luar untuk menyokong FSA. 

Pada Januari 2012, Al-Qaeda menubuhkan sebuah pasukan baharu di Syria, iaitu Jabhat al-Nusra. Sekitar masa yang sama, kumpulan Kurdish Syria, yang telah lama cuba mendapatkan autonomi pemerintahan, telah melakukan serangan bersenjata di utara negara tersebut. Musim panas tahun tersebut adalah waktu di mana Syria menjadi medan pertempuran perang proksi (perang yang menggunakan boneka).

Campur Tangan Iran Yang Menyokong Rejim Assad

hezbollah iran bersama assad

Iran, sekutu paling kuat Assad, telah campur tangan bagi pihaknya. Sehingga hujung tahun 2012, Iran mula menghantar penerbangan kargo harian bersama tentera mereka di darat. Dalam masa yang sama, negara-negara Arab yang kaya di teluk itu, termasuklah Arab Saudi bersama Turki mula menghantar sokongan kewangan dan senjata kepada FSA, dengan motif untuk melawan pengaruh Iran. 

Iran sebaliknya meningkatkan lagi sokongannya terhadap Assad, dengan menghantar Hezbollah (militan Lubnan yang disokong Iran) ke Syria pada pertengahan tahun 2012 bagi berperang bersama Assad. Sebagai respons terhadap tindakan tersebut, Arab Saudi bertindak balas dengan menghantar lebih banyak wang dan senjata kepada FSA, kali ini melalui Jordan yang turut memerangi Assad. 

Adakah Perang Syria Antara Sunni dan Syiah?

syiah lawan sunni syria

Jawapannya, 50-50, yakni sebahagian daripadanya. Sehingga tahun 2013, Timur Tengah terbahagi antara sebahagian besar kuasa Sunni (Ahli Sunnah Waljamaah), yang secara umumnya menyokong FSA, dan kuasa Syiah, yang menyokong Assad. April tahun sama, pentadbiran Barack Obama yang terkejut dengan kekejaman Assad dan jumlah kematian rakyat Syria yang semakin meningkat, telah menandatangani sebuah arahan rahsia yang memberi kuasa kepada CIA untuk melatih dan melengkapkan FSA dengan senjata. Namun program itu terhenti di tengah jalan. 

Dalam masa yang sama, AS secara rahsia menggesa negara-negara Arab untuk berhenti membiayai ekstremis, namun permintaan mereka secara asasnya diabaikan. Pada Ogos 2013, rejim Assad menggunakan senjata kimia, memprovokasi kecaman daripada seluruh dunia. Kerajaan AS mengancam untuk menyerang Syria sekiranya Assad terus menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya. 

Russia yang menyokong Assad mencadangkan supaya kerajaan Syria yang diperintahnya untuk menyerahkan penguasaan senjata kimianya kepada komuniti antarabangsa bagi tujuan penghapusan, bagi mengelakkan serangan ketenteraan udara oleh AS. Segala yang berlaku di Syria mempamerkan penglibatan dan pertelingkahan kuasa-kuasa besar, dengan Russia menyokong Assad dan AS menentang keduanya.  

AS Menghantar CIA Untuk Melatih Free Syrian Army (FSA)

free syrian army mendapat sokongan rakyat syria

Hanya beberapa minggu kemudian, wakil pertama CIA daripada AS tiba di Syria untuk melatih FSA. AS kini sudah menjadi sebahagian daripada peperangan di Syria. Pada Februari 2014, sesuatu berlaku yang akhirnya mengubah situasi peperangan di sana. Sebuah kumpulan sekutu Al-Qaeda yang bertapak di Iraq, telah berpecah daripada kumpulan militan tersebut kerana disebabkan konflik dalaman. Kumpulan tersebut menggelarkan diri mereka sebagai Islamic State of Iraq and Syria, atau ISIS, dan mereka menjadi musuh Al-Qaeda. 

ISIS kebanyakan memerangi bukan sahaja Assad, malah pemberontak lain dan juga tentera Kurdish, di samping membentuk sebuah wilayah pemerintahan baharu yang digelar sebagai Caliphate (Khalifah). Musim panas 2014, mereka berarak merentasi Iraq dan menawan wilayah-wilayah baharu. Pada September tahun sama, setahun selepas AS hampir mengebom Assad, AS mula mengebom ISIS. 

Peranan Turki Dalam Konflik Syria

peranan turki dalam konflik syria

Julai sebelumnya, Pentagon (AS) telah melancarkan program mereka sendiri untuk melatih pemberontak, kali ini lebih khusus untuk melatih mereka yang menentang ISIS, bukan Assad (seperti FSA). Program tersebut menunjukkan bahawa AS kini lebih menentang ISIS berbanding Assad. Pada Ogos 2015, Turki mula mengebom kumpulan militan Kurdish di Iraq dan di Turki, walaupun militan Kurdish ini berperang menentang ISIS di Syria, dan Turki tidak bertindak mengebom ISIS. 

Hal ini membawa masalah yang lebih besar kepada konflik Syria, AS melihat ISIS sebagai musuh utamanya, namun sekutu AS seperti Turki dan beberapa negara Timur Tengah lain turut mempunyai keutamaan mereka sendiri. Ini menghasilkan beberapa pakatan yang tidak jelas serta mengelirukan. Sebulan kemudian, pada September 2015, Russia turut campur tangan bagi pihak Assad, dengan menghantar sejumlah jet pejuang ke pangkalan ketenteraan mereka di Syria. 

Campur Tangan Rusia Dalam Konflik Syria

russia penyokong kuat assad

Rusia berkata bahawa mereka di sana bertujuan untuk menentang ISIS, namun realitinya mereka di sana mengebom pemberontak yang menentang Assad, termasuk yang didokong oleh AS. Tahun 2016, Donald Trump berjaya menguasai White House, di mana beliau bersumpah untuk tidak terlibat dengan konflik di Syria, memberi isyarat bahawa Assad seharusnya dibiarkan berkuasa. 

Pada penghujung tahun 2016, dengan bantuan ketenteraan udara Rusia dan militan tajaan Iran, Assad berjaya merampas kembali ibu kota Syria, satu-satunya kubu kuat tentera FSA di kawasan bandar. Pada awal April 2017, Assad sekali lagi menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya sendiri, mengakibatkan kematian sebanyak 85 orang awam, termasuklah 20 orang kanak-kanak. 

Konflik di Syria Semakin Meruncing

trump dan konflik di syria

Di AS, Trump berkata polisi luar mereka terhadap Syria dan Assad kini telah berubah serta-merta berikutan serangan tersebut. Beliau berjanji untuk bertindak balas, dan dalam masa beberapa hari, White House melancarkan berdozen peluru berpandu tomahawk terhadap pangkalan ketenteraan udara Syria. Ini adalah kali pertama AS secara terus menyerang rejim kejam Assad. 

Serangan tersebut merumitkan lagi situasi konflik Syria sedia ada, yang telah melibatkan pelbagai dimensi perang saudara dengan blok kuasa luar. Buat masa ini, Syria dalam kemusnahan. Walaupun Assad berjaya menawan semula beberapa wilayah, FSA akan terus memberontak dan menentang kekejaman rejim tersebut. Dan dengan blok kuasa luar membiayai kumpulan sokongan masing-masing, adalah amat jelas bahawa pengakhiran kepada peperangan ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat. 

Kesimpulan

syria merana

RIngkasnya, konflik di Syria melibatkan beberapa pihak utama, antaranya rejim Assad, FSA (penentang Assad), ISIS, militan Kurdish, Hezbollah, Rusia, Iran AS, Arab Saudi, Jordan, Turki, dan lain-lain penentang Assad. Semua yang terlibat ini boleh dibahagikan kepada 4 blok masing-masing. 

Konflik di Syria sebenarnya mempunyai banyak dimensi. AS dan ISIS menentang Assad, dalam masa yang sama AS sendiri juga menentang ISIS. Jadi berlaku pertindihan di sini, di mana, konsep 'musuh kepada musuh aku adalah kawan aku' tidak boleh diguna pakai lagi.  Begitu juga FSA, ISIS dan militan Kurdish, mereka menentang Assad, dalam masa yang berperang antara satu sama lain. 

Konflik di Syria menjadi terlalu rumit kerana melibatkan politik kuasa-kuasa besar, dan isu-isu agama yang sangat sensitif. Yang menjadi mangsanya, rakyat Syria. Penulis mendoakan semoga rakyat Syria yang ditindas akan dibela sebaik-baiknya, jika tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak. 

kanak kanak syria merana 692

Sumber:

  1. aljazeera.com
  2. britannica.com
  3. theatlantic.com

tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)