Oleh pada 28 Sep 2018 kategori

Pemerintah kerajaan Mongol purba yang sangat terkenal iaitu Genghis Khan dikatakan telah 'membapakan' ramai anak melalui wanita yang berbeza-beza. Sebuah kajian menunjukkan bahawa terdapat sehingga 10 orang individu dalam sejarah Asia yang setanding Khan dalam aktiviti sedemikian. Namun, lain-lain saingan Khan itu tidak diketahui nama mereka. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keputusan Kajian Genetik Berkaitan Keturunan Genghis Khan

kajian genetik keturunan genghis khan

Sebuah kajian pada tahun 2003 mendapati bahawa sehingga 16 juta orang lelaki, bersamaan dengan 0.5 peratus populasi dunia daripada jantina tersebut, membawa genetik Genghis Khan, yakni daripada keturunannya. Lebih mengejutkan, sehingga 8 peratus lelaki yang tinggal di kawasan yang dikatakan terletaknya empayar Mongol itu mempunyai kromosom Y daripada Khan. Garis keturunannya itu berbalik sekitar 1,000 tahun lalu. 

Hanya jantina lelaki sahaja yang menjadi sebahagian daripada kajian tersebut kerana kebergantungan kromosom Y bagi tujuan analisis keturunan. Dalam kata lain, jantina keturunan (bayi) ditentukan oleh sperma yang dibawa oleh lelaki, sama ada kromosom X atay Y. Sekiranya kromosom X daripada sperma bergabung dengan kromosom X daripada si ibu, maka bayi yang lahir adalah perempuan, dan lelaki sekiranya kromosom Y daripada sperma. 

di sebalik legasi genetik keturunan genghis khan yang merentasi benua 171

Empayar Mongol ketika kemuncak pemerintahannya berjaya menguasai kawasan taklukan yang sangat luas, daripada China hinggalah ke Iran, dan sebahagian daripada Rusia hingga ke Eropah. Hanya empayar British sahaja yang berjaya menandingi empayar Mongol. 

Penemuan genetik melalui kajian tersebut dilihat oleh para penyelidik sebagai bukti akan pengaruh seseorang yang mempunyai ramai zuriat terhadap sesebuah spesis, dalam hal ini, manusia. Penemuan ini dikategorikan oleh para akademik sebagai pemilihan semulajadi berasaskan jantina.

Latar Belakang Ringkas Genghis Khan

latar belakang genghis khan

Genghis Khan dilahirkan pada tahun 1162 di lokasi yang kini dikenali sebagai Mongolia. Khan pertama kali berkahwin pada usia 16 tahun, namun sepanjang hidupnya, Khan mempunyai ramai isteri dan perempuan simpanan. Bersama isterinya yang pertama, mereka dikurniakan seramai 4 orang anak lelaki, yang kemudiannya menjadi waris kepada dinasti yang diasaskannya. 

Di bawah pemerintahan Genghis Khan, tentera Mongol secara agresif berjaya meluaskan wilayah taklukan di Asia. Dengan tentera yang begitu ramai, empayar Mongol menemui kejayaan di bawah pimpinan Khan. Beberapa pendapat mengaitkan kejayaan tersebut dengan pergerakan pantas tentera berkuda di medan tempur. 

Taktik peperangan yang diamalkan oleh Genghis Khan dan tenteranya adalah sangat kejam. Setiap kali mereka berjaya menguasai sesebuah bandar, sebahagian besar populasi penduduk di dalamnya, sama ada manusia mahupun haiwan, akan dibunuh. 

Mereka yang berjaya melepaskan diri daripada pembunuhan tersebut akan diburu, dan kaum wanita pula dirogol. Sesetengah daripada mereka juga akan digunakan sebagai perisai manusia di hadapan tentera Mongol ketika serangan seterusnya daripada musuh.  

tentera mongul di bawah genghis khan

Antara langkah awal lain yang dilakukan oleh Khan apabila menguasai sesebuah kawasan baru, adalah memilih para wanita untuk dijadikan sebagai gundik. Beberapa sumber menganggarkan bahawa Khan telah menghamilkan lebih daripada 1,000 orang wanita berbeza.

Namun begitu, tidak diketahui berapa ramai zuriat yang dimilikinya. Khan meninggal dunia pada tahun 1227, pada usia 65 tahun, kemungkinan disebabkan oleh sama ada keletihan melampau atau masalah pernafasan. 

Waris-waris kepada Genghis Khan juga bukan sebarangan, mereka sangat 'berkebolehan'. Salah seorang daripada anaknya telah dikatakan mempunyai 40 orang anak daripada isteri-isteri dan gundik-gundiknya, dan seberapa jumlah yang tidak diketahui dengan wanita-wanita lain. Kegiatan anak-anak Khan menghamilkan ramai wanita adalah antara salah satu sebab mengapa genetiknya mudah berkembang merentasi benua. 

Individu Lain Dalam Sejarah Yang Menjadi Bapa Kepada Jutaan Waris

giocangga pemerintah dinasti ming

Giocangga adalah seorang individu lain dalam sejarah yang menjalani kehidupan seperti Genghis Khan. Giocangga adalah seorang pemerintah ketika Dinasti Ming (1368–1644) di China. Keturunan berdasarkan genetik baginda dalam dunia moden hari ini dianggarkan sekitar 1.5 juta lelaki, kebanyakkannya di daerah di utara China. 

Seperti Khan, baginda juga mempunyai ramai orang isteri dan gundik. Legasi baginda dihidupkan melalui cucunya yang mengasaskan Dinasti Qing yang memerintah China antara tahun 1644 hinggalah 1912. 

Identiti lain-lain individu yang mempunyai ramai waris masih menjadi misteri. Mereka ini dipercayai berasal daripada beberapa buah kawasan antara Timur Tengah hingga ke Asia Tenggara, dan hidup lebih awal berbanding Khan dan Giocangga, antara tahun 2100 B.C. hingga 1100 A.D..

Keputusan Kajian Genetik Berkaitan Lain-Lain Individu Dalam Sejarah

kajian genetik keturunan individu dalam sejarah

Daripada 5,000 sampel lelaki yang diuji dalam kajian genetik ini, 37.8 peratus adalah kepunyaan salah seorang daripada lain-lain individu ini (selain daripada Khan dan Giocangga). Sekiranya kadar yang sama dikekalkan merentasi seluruh populasi di Asia, ini bermaksud kira-kira 830 juta lelaki memperolehi kromosom Y mereka daripada individu tersebut yang tidak diketahui identitinya.

Antara teori yang menyokong pembiakan secara besar-besaran ini adalah individu terbabit mungkin adalah seorang pemerintah sebuah kerajaan kecil di sepanjang laluan perdagangan yang dikenali sebagai Laluan Sutera (Silk Road). Bandar-bandar di laluan perdagangan ini adalah penting bagi tujuan perniagaan antara empayar dan kerajaan yang berbeza-beza.

Kejayaan reproduktif yang tinggi ini mungkin disebabkan status sosialnya yang lebih tinggi daripada orang kebanyakkan. Teknologi kereta berkuda juga memungkinkan perpindahan genetik ke suatu lokasi lain dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Satu-satunya cara untuk mengetahui identiti individu tersebut adalah dengan mencari makam-makan purba untuk diambil sampel DNA daripada sisa tubuh badannya bagi tujuan kenal pasti identiti. Namun hal ini agak mustahil untuk dicapai. Sedangkan makam Genghis Khan sendiripun belum ditemukan, apatah lagi untuk mencari makam individu yang hidup jauh lebih awal daripadanya. 

Sumber & Bacaan Tambahan:

  1. discovermagazine.com
  2. thevintagenews.com
  3. smithsonianmag.com
  4. scientificamerican.com
  5. sciencedaily.com
  6. bumpreveal.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)