Oleh pada 19 Mar 2021 kategori

Nama Berke Khan mungkin kedengaran asing tetapi individu ini mempunyai jasa yang sangat besar dalam mempertahankan tamadun Islam daripada dimusnahkan musuh. Suatu ketika dahulu, dunia Islam menerima ancaman besar daripada Empayar Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan.

tentera mongol 668

Siapakah sebenarnya Berke Khan dan bagaimana dia menyelamatkan tamadun Islam? Berikut adalah kisah kehebatan lelaki ini.

Cucu penakluk terhebat

Pada tahun 1178 Masihi di kawasan pergunungan Mongolia, seorang budak lelaki berusia 16 tahun bernama Temujin berkahwin dengan seorang gadis berusia 17 tahun bernama Borte Hatun. Tidak lama selepas itu, Borte Hatun telah diculik oleh puak Mongolia lain yang bermusuhan dengan puaknya sejak sekian lama.

Borte Hatun telah dijadikan isteri seorang pahlawan dari puak yang menculiknya. Sebenarnya, bapa Temujin pada usia mudanya juga pernah menculik seorang wanita dari puak itu dan menjadikannya sebagai isteri yang kemudian menjadi ibu Temujin.

Setelah beberapa bulan menderita, Temujin berjaya menyelamatkan isterinya dari puak musuh dengan bantuan saudara kandungnya, Jamukha. Persengketaan dan pertempuran yang bakal berlaku antara puak inilah yang menjadikan Temujin sebagai seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Temujin kemudian dikenali dunia dengan nama Genghis Khan.

Tidak lama selepas itu, isteri Temujin melahirkan seorang bayi lelaki bernama Jochi. Borte Hatun yang kemudian menjadi Maharani Empayar Mongol juga melahirkan tiga lagi anak lelaki bernama Chagatai, Ogedei dan Tolui. Melalui anak-anaknya, pengaruh Empayah Mongol semakin tersebar ke seluruh dunia.

Asal-usul Berke Khan

Ketika Genghis Khan mencari bakal penggantinya, anak sulungnya iaitu Jochi Khan mempunyai ciri-ciri calon yang paling layak. Namun, adiknya Chagatai Khan meragui keturunan abangnya. Chagatai mendakwa Jochi mungkin bukan anak kandung Genghis kerana ibunya pernah diculik dan dipaksa menjadi isteri pihak musuh selama beberapa bulan. 

berke khan

Ilustrasi Berke Khan

Disebabkan itu, majlis tertinggi Empayar Mongol telah memilih Chagatai Khan sebagai pengganti. Diskriminasi terhadap Jochi semakin kompleks apabila Genghis Khan menyuruh anak sulungnya berkahwin dengan seorang puteri Muslim bernama Sultan Khatun dari Empayah Khoarezmiyah yang berjaya ditawan Mongol.

Melalui isterinya Sultan Khatun, Jochi mendapat tiga putera bernama Orda, Batu dan Berke. Walaupun dilatih sendiri oleh Genghis Khan, ketiga-tiga putera itu turut mengalami nasib sama seperti bapa mereka apabila dipulau oleh saudara-mara yang lain.

Mujurlah mereka dibesarkan dalam personaliti dan corak hidup berbeza melalui ibu mereka yang beragama Islam. Pada tahun 1252, Berke Khan yang berusia 40 tahun merupakan pemimpin Mongol pertama yang memeluk Islam.

Apabila Batu Khan meninggal dunia pada 1255, Berke mengambil alih tampuk pemerintahan abangnya dan menjadi Khan Besar bagi Gerombolan Emas (gabungan Gerombolan Putih milik Orda dan Gerombolan Biru milik Batu).

Hulagu Khan, sepupu dan musuh

Tolui yang merupakan putera keempat Genghis Khan mempunyai tiga anak lelaki bernama Mongke, Kublai dan Hulagu. Mongke menjadi Khan Besar (Great Khan) Kerajaan Mongol di Karakorum (Mongolia) sementara Kublai Khan menjadi Khan Besar Kerajaan Mongol di China dan Maharaja yang mengasaskan Dinasti Yuan.

hulagu khan

Ilustrasi Hulagu Khan

Mongke Khan telah mengarahkan adiknya Hulagu untuk memimpin tentera Mongol yang besar dalam kempen menghancurkan semua kuasa-kuasa Islam di Asia Barat termasuklah Iran, Iraq, Mesir, Syria, Mekah, Madinah, dan Baitulmuqaddis.

Menerusi kempen ini, satu perlima kekuatan tentera Mongol ditugaskan di bawah Hulagu. Ia merupakan salah satu gerombolan tentera terbesar (dianggarkan melebihi 100,000 tentera) dikumpulkan untuk berperang dalam sejarah Mongol.

Hulagu tiba di Transoksania (Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgystan dan Kazakhstan moden) pada 1255. Pada tahun 1256, Hulagu menyerang Gunung Alamut di Parsi yang merupakan pusat pangkalan Order of Assassins atau Hashashin.

Walaupun Hashashin terkenal dan digeruni banyak pihak, pahlawan Mongol lebih ditakuti sehingga Hashashin menyerah tanpa melawan. Hulagu menahan dan membunuh tawanannya tanpa belas kasihan. Hulagu Khan kemudian dilantik sebagai Ilkhan (pemerintah) yang pertama bagi Empayar Mongol di Parsi.

Kemusnahan tamadun Islam

Pada 29 Januari 1258, Hulagu menyerang Baghdad yang merupakan pusat kebudayaan Islam dan ibu kota Dinasti Abbasiyah. Perairan Sungai Tigris menjadi merah dengan darah umat Islam yang terkorban. Khalifah Al-Muta'sim Billah ditangkap dan dipaksa melihat rakyatnya serta tamadun Islam dihancurkan sebelum beliau dibunuh.

serangan baghdad

Tentera Hulagu Khan memusnahkan banyak buku dan risalah ilmuan Islam dari perubatan hinggalah astronomi. Mereka juga menghancurkan dan membakar masjid, istana, perpustakaan dan hospital yang menjadi lambang kemajuan umat Islam sejak sekian lama.

Setahun kemudian, Hulagu menyerang dan menakluk Syria di bawah penguasaan Dinasti Ayubiyyah dengan bantuan tentera Kristian Raja Armenia I. Mereka memusnahkan Aleppo sebelum menakluk pusat pemerintahan Ayubiyyah di Damsyik (Damascus).

Setelah kejatuhan Baghdad dan Damsyik, pusat pemerintahan Islam beralih ke Kaherah, Mesir, di bawah kekuasaan Kesultanan Mamluk. Hulagu Khan telah menyerang Palestin sebelum meneruskan kemaraannya ke Mesir dan seterusnya ke Mekah dan Madinah.

Mendengar berita ini, Berke Khan menjadi berang dan bersumpah:

Hulagu telah menjarah banyak bandar Islam. Dengan bantuan dari Allah swt, aku akan memanggil Hulagu untuk bertanggungjawab atas semua nyawa umat Islam yang menjadi mangsanya.

Hulagu pula terpaksa menangguhkan hasratnya dan pulang ke Mongolia bagi menyelesaikan isu pewaris takhta apabila abangnya, Mongke Khan mangkat. Dia hanya meninggalkan 20,000 orang tentera sahaja di Palestin bagi mempertahankan kedudukannya sementara waktu.

Peluang ini diambil Sultan Mamluk di Kaherah iaitu Sultan Saifuddin Muzaffar untuk menyerang dan mengalahkan tentera Mongol serta menguasai semula Syria dan Palestin.

Perang saudara pemimpin Mongol

Apabila abangnya Kublai Khan dilantik sebagai Khan Besar di Mongolia, Hulagu kembali ke jajahannya di Parsi dan ingin menuntut bela atas kekalahan tenteranya di Syria. Sebaliknya, Hulagu terpaksa menghadapi sepupunya, Berke Khan yang sudah bersatu dengan tentera Mamluk.

perang toluid

berke khan cucu muslim genghis khan

Watak Berke Khan dalam drama Ertugrul Netflix

Hulagu dibantu oleh Kublai Khan sementara Berke Khan pula dibantu oleh saudara Hulagu dan Kublai dari ibu yang lain bernama Ariq Boke. Pada 1263, Hulagu Khan mengalami kekalahan teruk dalam beberapa siri pertempuran di utara Kaukasus. Perang yang dikenali sebagai Perang Toluid ini merupakan perang saudara pertama dalam Empayar Mongol.

Akhirnya, Ariq Boke menyerah kalah kepada Kublai Khan. Selain Hulagu, Berke Khan juga mengalami kekalahan teruk dan kematian tentera yang banyak. Namun, Berke berjaya memusnahkan impian Hulagu untuk menawan negara-negara Islam di Timur Tengah.

Sumbangan Berke Khan dianggap amat besar bagi dunia Islam ketika itu. Tanpa tentangan Berke Khan, negara-negara Islam lain mungkin akan menerima nasib sama seperti Baghdad.



Hakcipta iluminasi.com (2017)