Oleh pada 14 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida & Facebook Sinar FM

Biarpun Elyana menafikan dia mengamalkan minuman kesihatan Pamoga dalam pengakuan di video Instagram Secara Langsung baru-baru ini, pengasas kosmetik Datuk Seri Vida tidak menganggap ia memberi kesan kepada pemasaran produknya.

Enggan dianggap memaksa Elyana mempromosikan produk itu, Vida menegaskan dia hanya meminta jawapan jujur daripada penyanyi berkenaan.

“Jangan mudah menilai sesuatu benda. Kalau tak elok, takkan produk itu dah 10 tahun saya berniaga. Jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Tapi ramai yang memahami dan memberi kata-kata semangat buat saya terutamanya para artis. Program itu kan saya taja, bukan saya bias kepada sesiapa. Saya tanya pada Elyana yang sakit kanser, minum ke tak minum. Semua orang saya tanya, Tok Ram pun saya tanya,” kata Vida dalam laporan portal Media Hiburan.

Tambah Vida, dia juga tidak mengambil hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Elyana tentang produknya.

Malah Vida turut memohon maaf sekiranya ada kata-kata beliau sebelum ini yang mengguris hati wanita muda itu.

jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga datuk seri vida 2

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida

“Jika dia tak minum produk saya pun tak mengapa. Saya faham keadaan Elyana dan mendoakan agar dia segera sembuh.

“Mungkin emosi Elyana tidak stabil. Saya tak pergunakan Elyana sebagai pengguna Pamoga. Saya akan tanya semua peserta, tak kira siapa," tegasnya.

Dalam masa sama, bukan niat jutawan kosmetik ini untuk menyindir Elyana ketika melontarkan soalan kepada Lan di konsert separuh akhir Gegar Vaganza 4 baru-baru ini.

“Saya hanya bertanya kepada Lan dan mahu maklum balas pengguna yang jujur mengenai produk saya. Itu sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, Elyana mengakui dia tidak pernah mengambil Pamoga kerana mendakwa ia mengandungi kandungan gula tinggi serta gamat yang tidak bersesuaian untuk pesakit kanser.

Malah menerusi Facebook Secara Langsung, dia meminta agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan selepas dia membuat pengumuman menghidap kanser limfoma tahap empat.

Sumber berita: Media Hiburan




Hakcipta iluminasi.com (2017)