Oleh pada 02 May 2017 kategori

khairul zahrin chixx roxx

Pernah bekerja sebagai tukang sapu sampah dan pengawal keselamatan

Khairul Zahrin atau lebih mesra dipanggil 'Chixx Roxx' merupakan anak muda yang baru berusia 26 tahun tinggal di Sungai Petani, Kedah. Kisah beliau sangat sesuai dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada setiap belia agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita walaupun pernah gagal berkali-kali dan tidak ada sebarang kelayakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 2012 Khairul Zahrin bermula sebagai tukang sapu di sebuah syarikat pembersihan swasta, beliau akan mula rutin harian selepas subuh untuk menyapu setiap jalan besar sekitar bandar Alor Setar. beliau sedikit tidak malu dengan kerjayanya pada waktu itu kerana beliau sedar bahawa itu sahaja beliau mampu lakukan kerana tidak mempunyai sebarang sijil pengajian peringkat tertinggi malahan sijil SPM pun tiada.

Setelah Khairul Zahrin menerima banyak pengalaman dalam sektor pembersihan, pada tahun 2013 beliau cuba beralih arah dengan berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank. Kerja sebagai pengawal keselamatan bank adalah sangat berisiko tetapi dengan keazaman dan ilitizam yang kuat beliau tetap meneruskan kerja murni tersebut. Di usia yang begitu muda beliau tidak malu untuk memilih sebarang perkerjaan malah beliau gembira dengan setiap kerjaya yang dilakukannya.

chixx roxx ceria berkerja sebagai pengawal keselamatan

Percubaan untuk berniaga kali pertama menemui kegagalan

Khairul Zahrin mula berfikir adakah beliau akan berkerja begini sehingga pencen. Setelah berfikir sedalam-dalamnya beliau mula menetapkan matlamat untuk berjaya sebelum berusia 30an. Di situ bermula kisah kebangkitan anak muda yang ingin berbakti membantu keluarga serta masyarakat. beliau bermula pada tahun 2014 dengan menjual kek coklat dan diletakkan di kedai-kedai sekitar Sungai Petani, namun apa yang menghampakan kek coklat yang diletakkan dikedai hanya sedikit jumlah jualannya iaitu sebanyak 2 bekas sahaja.

Semangat beliau mula padam kerana jualan kek coklat yang di usahakannya itu tidak memberangsangkan. beliau mula berfikir perniagaan baru dan terus tidak mengendahkan tentang stok-stok kek coklat yang diletakkan sekitar kedai berdekatan. Ketika itu, Khairul Zahrin sudah mempunyai dua anak yang masih kecil untuk disara dan pernah juga beliau mengisi minyak kereta menggunakan duit syiling sebanyak RM10 kerana tidak mempunyai wang yang cukup. Ketika itu beliau sendiri rasa tertekan dan terseksa dengan kesempitan hidup.

Apa yang saya berjaya kecapi sekarang ini, bagi saya mustahil akan berlaku jika bukan kerana support dari mak dan arwah abah yang saya kasihi dan isteri saya yang tercinta.
Masa saya jatuh tersungkur, mak abah saya lah yang belikan makanan untuk saya makan.
Masa saya tersungkur, bini sayalah yang selalu gosok belakang saya dan pujuk. Bahu dialah tempat saya jadikan tadahan air mata.

bisnes kek coklat khairul zahrin

Keuntungan perniagaan mula diraih

Walaupun merasa sedih dengan hasil jualan kek coklatnya, namun beliau tidak berputus asa begitu sahaja. Dengan semangat yang baru beliau mula berniaga nasi kerabu yang disediakan oleh isterinya. Isterinya mahir memasak nasi kerabu dan oleh sebab itulah beliau cuba untuk menjual nasi kerabu pula. Pada peringkat permulaan, beliau cuma menghasilkan nasi kerabu dari rumah dan jika ada pesanan dari pelanggan, barulah beliau menghantarnya. Setiap pagi  juga beliau akan memasarkan nasi kerabu tersebut di kantin pejabat-pejabat sekitar Alor Setar. Dalam sehari, beliau akan cuba untuk mengedar nasi kerabu tersebut lebih kurang 80 bungkus. Namun ada ketikanya, hanya 10 ke 20 bungkus sahaja yang terjual.

Bayangkan betapa sedihnya perasaan Khairul Zahrin pada waktu itu, setiap nasi kerabu yang tak terjual pula, beliau hanya sedekahkan kepada pelajar-pelajar, orang susah dan juga jiran tetangga.

Sehinggalah tiba bulan Ramadhan 2015, Khairul Zahrin cuba berniaga biskut pelangi (rainbow cookies) pula. Alhamdulillah hasil jualan dari biskut pelangi tersebut, pendapatan beliau meningkat berlipat ganda. Dari sinilah Khairul Zahrin berjaya menambah wang simpanannya. Namun hasil pencapaian penjualan biskut pelangi ini juga bukan dicapai dengan mudah. Dari sinilah Khairul Zahrin banyak mendalami ilmu pemasaran dan berkenalan dengan ramai pakar pemasaran di Malaysia. Maka bermulalah kisah langkah kejayaan demi kejayaan oleh Khairul Zahrin.

khairul zahrin berniaga biskut raya

2015, Tahun 'struggle maut'

Tahun 2015, adalah tahun yang paling bermakna buat Khairul Zahrin, pada tahun inilah beliau mula terjebak dengan keusahawan dan berkenalan dengan usahawan-usahawan lain. Kerana tersedar bahawa ilmu pemasaran ini bukannya boleh diperolehi dengan mudah dan berseorangan, maka muncullah idea untuk menubuhkan "Group Support Like" iaitu sebuah platform untuk membantu para usahawan yang baru berkecimpung dalam perniagaan atas talian. 

Perniagaan penghantaran nasi kerabu terpaksa dihentikan kerana terlalu sibuk mengendalikan kelas pemasaran atas talian namun beliau bersyukur kerana platform yang di usahakan olehnya mendapat sambutan yang luar biasa. Dari situ beliau mula bangkit untuk membantu orang yang memerlukan khidmatnya melalui laman sosial seperti Facebook. Beliau membantu usahawan membina personal branding dengan beberapa pendekatan dan formula yang jarang dikongsi oleh orang lain.

kredit gambar saudara aswat izani ibrahim

2016, Pembukaan restoran nasi kerabu 'beratoq'

Beliau mula menyusun strategi perniagaan dan berbekalkan modal minima hasil dari upah mengajar dalam kelas pemasaran atas talian "Group Support Like" itu, beliau berjaya membuka sebuah Restoran Nasi Kerabu di Sungai Petani. Sehingga sekarang Khairul Zahrin masih menguruskan restoran dan kelas bisnes atas talian yang di usaha olehnya.

Bersempena dengan artikel ini, Khairul Zahrin ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan pesanan dan nasihat ringkas kepada anda semua pembaca. Antara pesanannya adalah :

  • Mulakan berkawan dengan orang yang lebih berjaya.
  • Bacalah Al-Quran. Sehari 2 mukasurat sudah memadai.
  • Bisnes bukan sesuatu yang mudah. Kadang di bawah kadang di atas. Jangan pernah berhenti untuk mencuba benda baru. Kita tak tahu di mana rezeki kita.
  • Jagalah hati ibu bapa. Kalau boleh tinggal bersama mereka kalau kita ini seorang anak lelaki.
  • Mulakan perniagaan dengan kos yang minimum. Kalau tak menjadi, anda tak menangis teruk sangat.
  • Jangan sertai MLM. Itu semua mengarut. Mana ada benda yang mudah untuk kita menjadi kaya dalam dunia ni. 
  • Jangan takut gagal banyak kali, kerana kita hamba Allah yang Maha Kaya.

pesanan khairul zahrin

Ikuti laman fb beliau : Khariul Zahrin




Hakcipta iluminasi.com (2017)