Secara purata, kira-kira 2 bilion tan sampah-sarap akan berakhir di pusat pelupusan sampah di seluruh dunia. Ini merupakan satu jumlah yang banyak dan sekiranya sampah-sarap ini disusun, ia mampu mengelilingi bumi sebanyak 24 kali. Apakah tiada solusi bagi mengurangkan jumlah sampah-sarap ini?

Di Malaysia, program kitar semula masih kurang dan majoriti sampah sarap ini akan berakhir di pusat pelupusan sampah. Ini merupakan satu pembaziran kerana kos pelupusan sampah yang tinggi. Malah, ianya merupakan satu kerugian kerana sebenarnya sampah-sarap jika diuruskan dengan bijak boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak kebelakangan ini, ramai pihak terutamanya negara-negara di Eropah memuji usaha Sweden dalam menangani masalah sampah sarap ini. Malah, statistik juga menunjukkan kurang 1% daripada sampah di Sweden yang dihantar ke pusat pelupusan sampah. Apakah rahsianya?

Program kitar semula di Sweden

kitar semula sweden

Di Sweden, program kitar semulanya sangat efisyen. Maka, tidak hairanlah kira-kira separuh daripada sampah-sarapnya berjaya dikitar semula. Bagi memastikan program ini berjaya, setiap penduduk hendaklah mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula seperti kertas, kaca, besi dan lain-lain daripada sampah yang tidak boleh dikitar semula. Selain itu, sisa-sisa makanan juga diasingkan dan dikompos untuk menghasilkan baja atau biogas.

Bagi memudahkan penduduk mengitar semula barang, banyak pusat pengumpulan kitar semula juga diwujudkan bagi memudahkan penduduk menghantar barangan yang boleh dikitar semula. Di pusat pengumpulan sampah juga, mesin-mesin khas yang canggih digunakan dan berupaya mengasingkan sampah berdasarkan jenisnya seperti kertas, besi, plastik dan lain-lain.

selepas proses penyaringan sampah yang boleh dikitar semula, sampah-sampah yang tidak boleh dikitar semula akan diangkut ke kilang pemprosesan WTE. Selain itu, sampah-sampah yang tidak boleh dikitar semula semula seperti barangan elektronik, televisyen terpakai, mentol lampu, bateri dan seumpama dengannya yang tidak boleh dilupuskan begitu sahaja kerana kandungan kimia yang ada padanya juga akan diuruskan dengan sebaiknya.

Di Malaysia, program kitar semula masih tidak begitu efisyen dan boleh dikatakan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kewujudan tong sampah pelbagai warna bagi memudahkan pengasingan sampah juga tersangat kurang. Malah, hanya beberapa sahaja kawasan perumahan yang mewajibkan pengasingan semula sampah-sarap yang dikutip oleh lori sampah setiap minggu.

Program WTE (Waste To Energy)

tenaga elektrik daripada sampah 514

Jika 50% sampah dikitar semula di Sweden, apakah pula yang dilakukan terhadap sampah sarap yang tidak boleh dikitar semula? Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, sampah-sarap ini akan dihantar terus ke pusat pelupusan sampah. Menariknya di Sweden, mereka membakar sampah-sarap ini untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Melalui program yang dikenali sebagai Waste To Energy (WTE) ini, sampah-sarap yang tidak boleh dikitar semula ini akan dihantar ke kilang khas yang memprosesnya untuk menghasilkan tenaga baru. Sampah-sarap ini akan dibakar di insinerator dan penggunaan sampah-sarap ini sebagai bahan bakar utama sebenarnya menguntungkan kerana ianya sangat murah.

Apabila sampah ini dibakar di insinerator, ianya akan menghasilkan wap yang akan menggerakan turbin penjana elektrik, seterusnya menghasilkan tenaga elektrik. Tenaga elektrik yang dijana oleh kilang-kilang WTE ini dikatakan mampu membekalkan 950,000 rumah tenaga haba dan 260,000 rumah dengan tenaga elektrik.

Selepas proses ini, barang-barang yang tidak dapat dilupuskan melalui proses ini seperti besi kemudiannya akan diasingkan dan dikitar semula. Porselin dan jubin pula akan dihancurkan dan digunakan semula sebagai bahan asas untuk membuat jalan raya.

pembakaran sampah insinerator

Dari tahun ke tahun, Sweden sentiasa menambah baik sistem pembakaran sampah bagi penghasilan tenaga ini. Malah akibat kekurangan sumber sampah-sarap di sana, mereka terpaksa pula mengimport sampah daripada negara luar. Mungkin kedengaran pelik apabila sesebuah negara mengimport sampah dari negara lain tetapi itulah realitinya.

Pada tahun 2014 sahaja, Sweden telah mengimport 2.3 juta tan sampah daripada luar negara antaranya daripada UK, Ireland, Itali dan Norway. Menariknya, penjualan sampah kepada Sweden ini sebenarnya mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua negara. Negara-negara ini mengeksport sampah sarap ke Sweden kerana kos penghantaran sampah sarap ke Sweden jauh lebih murah daripada pembayaran cukai untuk melupuskan sampah di pusat pengumpulan sampah.

Penjualan sampah ke Sweden ini juga sebenarnya sangat menguntungkan. Secara purata, setiap tan sampah dijual pada harga sekitar $43. Oleh itu, bagi sampah sebanyak 2.3 juta tan, ianya akan menjana pendapatan hampir $100 juta kepada negara-negara ini.

Kontroversi terhadap program WTE Sweden

insinerator 420

Walau bagaimanapun, bukan semua pihak bersetuju 100% dengan cara Sweden menguruskan sampah mereka. Bagi pencinta alam sekitar, proses pembakaran sampah sarap di insinerator ini dikhuatiri mencemarkan udara dengan pelepasan bahan tercemar seperti bahan logam berat ke udara.

Bagi memastikan perkara ini diatasi, sistem pembakaran insinerator sentiasa ditambah baik bagi memastikannya dapat melakukan pembakaran dengan lebih efisyen. Topik pembakaran sampah untuk menghasilkan tenaga mungkin tidak begitu kontroversi di Sweden tetapi di negara lain seperti Amerika Syarikat, ianya sentiasa menimbulkan perdebatan dan penentangan terutamanya daripada golongan pejuang alam sekitar.

Kredit:

  1. The Independent
  2. The Verge
  3. Energy News Network
  4. Huffington Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)