jambang 359

Bagi kebanyakan orang lelaki, memiliki jambang adalah pilihan. Ianya hanya dianggap sebagai fesyen atau pilihan imej sendiri. Namun, terdapat juga lelaki yang sememangnya tidak akan memiliki jambang disebabkan oleh faktor genetik.

Sementara itu, sesetengah golongan yang gembar berjambang pula mengatakan jambang menjadikan diri mereka kelihatan matang dan lebih menarik perhatian. Malah, kami juga pernah menulis artikel 7 kelebihan memiliki jambang daripada sudut sains.

Walau bagaimanapun, satu ketika dahulu atau lebih tepat lagi pada abad ke 18, orang lelaki Russia yang ingin memiliki jambang dikehendaki membayar satu jenis cukai kepada kerajaan. Ianya digelar cukai jambang.

Apakah yang akan terjadi sekiranya mereka memiliki jambang tetapi enggan membayar cukai tambahan ini? Pihak polis akan mencukurkan jambang tersebut. Benar, inilah yang pernah berlaku di Russia suatu ketika dahulu.

Pemberian token kepada pembayar cukai

token cukai jambang russia

Token cukai yang membuktikan individu tersebut sudah membayar cukai

Bagi orang lelaki yang ingin memiliki jambang, mereka dikehendaki membayar sejumlah bayaran yang dikenali sebagai cukai jambang. Bagi membezakan mereka yang sudah membayar cukai dan tidak membayar cukai, setiap pembayar "cukai jambang" akan diberikan sejenis token.

Token ini berupa sekeping duit syiling yang diperbuat daripada tembaga. Namun, bagi golongan yang lebih kaya, mereka mempunyai pilihan untuk membayar cukai yang lebih tinggi dan akan diberikan token berupa sekeping duit syiling yang diperbuat daripada perak.

Token berbentuk duit syiling ini juga digelar "beard kopek" dan mengikut kajian, pertama kali dihasilkan pada tahun 1699. Tulisan yang bermaksud "Wang sudah dibayar" dalam bahasa Russia dapat dilihat dengan jelas pada token ini disamping ukiran jambang dan misai padanya.

Asal-usul Cukai Jambang

peter the great 977

Mengikut sejarah, cukai unik ini dipercayai diperkenalkan oleh Peter The Great. Beliau dikatakan telah mendapat inspirasi untuk memperkenalkan cukai pelik ini ketika merantau ke Eropah antara tahun 1697 dan 1698.

Kerana enggan identiti sebenarnya diketahui orang Eropah, beliau telah menggunakan nama samaran “Sergeant Pyotr Mikhailov”. Di Eropah, beliau telah meluangkan masa sekitar 4 bulan bekerja di kawasan limbungan kapal bersama Syarikat India Timur Belanda bagi mempelajari cara pembuatan kapal yang sebenar.

Selepas 4 bulan, beliau menyambung pula perjalanannya ke Great Britain dimana beliau terus mempelajari dan meningkatkan kemahiran dalam teknik-teknik pembuatan kapal dengan bekerja pula di kawasan limbungan kapal di Deptford.

Peter The Great merupakan seorang yang rajin dan gemar menerokai perkara-perkara baru. Selain bekerja dengan syarikat perkapalan untuk mempelajari teknik-teknik pembuatan kapal, beliau juga gembar melakukan lawatan ke muzium, sekolah, kilang, bangunan Parlimen dan sebagainya.

Daripada lawatan-lawatan ke tempat inilah, beliau telah mempelajari banyak perkara mengenai orang British antaranya mengenai budaya, politik, ekonomi, sejarah dan cukai. Benar, beliau mendapat idea untuk memperkenalkan cukai untuk memiliki jambang ini daripada orang British.

Individu pertama yang dipercayai memperkenalkan cukai bagi memiliki jambang ini adalah King Henry VII. Beliau memperkenalkan cukai ini sekitar tahun 1535, lama sebelum Peter the Great memperkenalkan cukai yang sama.

Pengenalan cukai oleh King Henry VII ini dikatakan kerana beliau sendiri tidak gemarkan rakyatnya mempunyai jambang yang panjang. King Henry VII dipercayai turut memiliki jambang tetapi ianya dipotong pendek dan kemas. 

Cukai jambang sebagai simbol kekayaan

cukai jambang 459

Ketika era pemerintahan King Henry VII, jumlah bayaran cukai yang dikenakan kepada setiap individu yang ingin mempunyai jambang adalah berlainan. Ianya bukan ditentukan oleh panjang jambang individu tersebut sebaliknya kedudukan sosialnya dalam masyarakat. 

Oleh itu, semakin tinggi pangkat atau kedudukan seseorang individu tersebut dalam masyarakat, maka makin tinggilah bayaran cukai yang perlu dibayar kepada mereka. Pengenalan cukai ini juga secara tidak langsung menjadi simbol kekayaan individu dimana hanya yang mampu membayar cukai ini sahaja yang boleh memiliki jambang.

Cukai jambang ini pernah dihentikan di British tetapi kemudian diperkenalkan kembali oleh anak perempuan King Henry VII, Queen Elizabeth I. Queen Elizabeth I telah memperkenalkan kembali cukai ini dengan membenarkan setiap lelaki memiliki jambang selama 2 minggu. Selepas daripada tempoh ini, mereka perlu membayar cukai atau dipaksa mencukur jambang mereka.

Oleh itu, apabila Peter mengetahui akan sejarah cukai jambang ini, beliau amat tertarik dengannya dan mengambil keputusan untuk memperkenalkan perkara yang sama terhadap orang Russia. Beliau dapati inilah cara yang unik dan pelik bagaimana untuk memaksa orang ramai membayar duit kepada pihak pemerintah.

Sudah tentu cukai seperti ini akan mendapat tentangan banyak pihak. Terdapat juga golongan yang enggan membayar cukai ini. Walau bagaimanapun, sekiranya ditangkap, jambang mereka akan dicukur secara paksa dihadapan orang ramai. Pengutipan cukai jambang ini walau bagaimanapun telah dihentikan pada tahun 1772.

Kredit:

  1. Russia Beyond
  2. Smithsonian Mag
  3. Atlas Obscura


Hakcipta iluminasi.com (2017)