Oleh pada 16 May 2021 kategori

Aspen yang terletak di Colorado, Amerika Syarikat, merupakan sebuah bandar yang indah, mewah dan menyeronokkan.

Namun, bandar itu menjadi gempar pada tahun 1976 apabila seorang penyanyi, Claudine Longet, ditangkap kerana menembak mati kekasihnya yang juga seorang atlet Olimpik bernama Vladimir Sabich atau lebih dikenali dengan julukan "Spider".

Claudine Longet 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sabich adalah seorang atlet kaya, disukai ramai dan sedang berada di puncak karier sukan ski yang diceburinya. Manakala Longet pula seorang janda dengan populariti yang semakin malap. Khabar angin tersebar bahawa Sabich merancang untuk meninggalkan kekasihnya itu.

Pada malam kejadian, Claudine Longet yang kelihatan tidak terurus menjelaskan kepada polis bahawa tembakan yang menyebabkan kekasihnya terbunuh merupakan satu kemalangan.

Tragedi itu menjadi tajuk hangat berita kerana ramai yang tidak percaya dakwaan Longet bahawa tembakan yang membunuh "Spider" itu adalah tidak disengajakan. Malah, perbicaraan kesnya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Kehidupan mewah Claudine Longet

Dilahirkan pada 20 Januari 1942 di Paris, France, Claudine Georgette Longet berimpian untuk menjadi terkenal sejak kecil lagi. Dia mula menjadi penari pentas pada usia 17 tahun sebelum pemilik kelab malam Lou Walters memberikannya peluang untuk pergi lebih jauh.

Longet kemudian menjadi penari di Tropicana Hotel & Resort di Las Vegas pada 1961. Dia kemudian berkenalan dengan Andy Williams, lelaki yang pernah membantunya ketika keretanya rosak. Tidak lama selepas itu, mereka berkahwin pada 15 Disember 1961 di Los Angeles.

claudine longet andy williams

Longet bersama Andy Williams dan tiga orang anak mereka

Williams sebenarnya adalah seorang penyanyi yang sangat popular dan mempunyai rancangan televisyen sendiri, The Andy Williams Show. Longet kemudian menjadi artis rakaman sendiri dan muncul di rancangan milik suaminya. 

Setahun selepas melahirkan anak ketiga, Longet dan Williams bercerai pada tahun 1970. 

Pada tahun 1972, Longet bertemu dengan lelaki kacukan Croatia-Amerika bernama Vladimir "Spider" Sabich yang merupakan salah seorang ahli pasukan ski Amerika Syarikat.

Longet terpukau dengan Sabich yang mempunyai karisma seperti seorang bintang filem itu. Tidak lama kemudian, mereka menjadi pasangan kekasih. Longet akhirnya berpindah ke Aspen setelah memenangi pampasan penceraian daripada bekas suaminya bernilai jutaan ringgit.

Namun, semuanya akan berubah tidak lama selepas itu.

Pembunuhan Vladimir Sabich

Ketika itu, Aspen dibanjiri dengan dadah terutamanya kokain. Kerana kemahsyuran dan karismanya, Sabich mendapat banyak jemputan untuk menghadiri pesta yang diadakan oleh selebriti dan orang ternama.

claudine bersama spider sabich

Longet bersama Spider Sabich

Mengikut sumber terdekat, Longet pernah melarang Sabich menghadiri satu pesta "Payudara Terbaik" bahkan melemparkan cawan mengenai kepala Sabich kerana cemburu.

Kemahsyuran Sabich dan kejatuhan populariti Longet membuatkan sifat cemburu penyanyi itu semakin teruk sehingga akhirnya menjadi punca tragedi yang berlaku pada 21 Mac 1976.

Pada hari itu, Sabich pulang ke rumah setelah bermain ski dan membuka pakaiannya untuk mandi. Ketika itu jugalah kekasihnya Longet masuk dengan memegang sepucuk pistol dan melepaskan satu tembakan di perut atlet itu.

Longet menghubungi ambulans dan pegawai polis bernama William Baldrige tiba lalu mendapati Sabich terbaring dan hampir mati. Dia dinyatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Penyanyi itu mendakwa dia tidak sengaja menembak Sabich ketika teman lelakinya itu sedang mengajar cara menggunakan pistol . Namun, keterangan Longet kelihatan meragukan pihak berkuasa.

Bekas suami Longet, Andy Williams, bergegas ke sisinya untuk memberi sokongan tetapi bandar Aspen tidak menyebelahinya. Ramai yang tidak berpuas hati dan mengkritik kehadiran Longet ketika pengebumian Sabich di Placerville, California.

andy williams menemani bekas isterinya

Andy Williams menemani bekas isterinya sebelum perbicaraan

Pada 8 April 1976, Longet didakwa atas tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat ketika kembali ke Aspen.

Perbicaraan kontroversi

Sepanjang perbicaraannya, Longet kekal dengan dakwaan bahawa dia menembak Sabich secara tidak sengaja. Namun, rakan-rakan Sabich mengatakan bahawa atlet itu mahu berpisah dengan Longet dan penyanyi itu mengetahuinya.

Sabich mahu memutuskan hubungan kerana sudah terbiasa dengan kehidupan bujang dan itu mengganggu Longet dan anak-anaknya. Jika ini benar, maka Longet mempunyai motif.

Dikatakan bahawa Longet menulis tentang keretakan hubungannya bersama Sabich di dalam diarinya. Bahkan, pada malam kejadian, Longet turut menulis bahawa Sabich ingin menghadiri satu pesta bersendirian dan itu membuatkannya berasa curiga.

spider sabich

Spider Sabich

Seorang saksi pembelaan pula memberi keterangan bahawa mekanisme keselamatan pada pistol itu tidak berfungsi dan mekanisme pemicu pula lebih berminyak daripada tahap normal. Faktor-faktor ini mungkin menjadi penyebab tembakan berlaku dengan tidak sengaja.

Sementara itu, pihak pendakwaan pula tidak dapat membuat tuduhan yang kuat kerana beberapa kesalahan prosedur. Bahkan, diari dan senjata yang terlibat juga tidak dibawa ke dalam perbicaraan membantu lagi Longet untuk terlepas.

Polis pula telah mengambil darah dari Longet tanpa perintah mahkamah. Mahkamah Agung Colodaro telah memutuskan tindakan itu melanggar hak Longet sebelum perbicaraan dimulakan. Walaupun terdapat kesan kokain dalam tubuh Longet pada hari pembunuhan, ia tidak boleh dijadikan bukti pada hari perbicaraan.

Dengan hampir semua bukti tidak dapat digunakan, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada laporan autopsi yang menunjukkan bahawa Sabich sedang membongkok dan membelakangi Longet ketika pistol itu meletus.

berita claudine longet

Namun, pihak juri tidak sepenuhnya percaya. Ada juri yang mengatakan bahawa Longet bukanlah ancaman bagi masyarakat dan dia tidak seharusnya dipenjara. 

Selepas berlangsungnya perbicaraan selama empat hari, pihak juri mencapai kata sepakat bahawa Longet didapati bersalah kerana cuai sehingga menyebabkan kematian secara tidak sengaja.

Claudine Longet dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari di penjara pilihannya dan denda sebanyak USD 250.

Claudine Longet kini

Selepas perbicaraannya, Longet dan teman lelaki barunya yang juga peguam belanya, Ron Austin, bercuti di Mexico. Semenata itu, keluarga Sabich memfailkan saman sivil bernilai USD 780,000 terhadap Longet.

Perkara itu kemudian diselesaikan di luar mahkamah dan mengandungai klausa kerahsiaan yang menghalang Longet daripada menulis atau bercakap mengenai kejadian itu selama-lamanya.

Namun, ramai yang tidak percaya bahawa Longet tidak bersalah. Bekas teman wanita Sabich berkata dia keluar bersama Sabich tidak lama sebelum pembunuhan itu berlaku. Sabich mengadu bahawa dia sukar untuk meninggalkan Longet dan wanita itu seorang yang panas baran.

claudine longet bersama ron austin

Claudine Longet bersama peguamnya Ron Austin

Bagi pendakwa raya dan bekas peguam daerah, Frank Tucker, percaya bahawa Longet memang membunuh Sabich dengan niat tetapi kes itu dirosakkan oleh urusan polis yang tidak mengikut peraturan.

Setelah Ron Austin menceraikan isterinya, dia dan Longet berkahwin pada tahun 1985. Pasangan itu dipercayai masih lagi tinggal bersama di Red Mountain di Austin, tidak jauh dari tempat Vladimir Sabich dibunuh.




Hakcipta iluminasi.com (2017)