(Katherina Reitz Brow)

Pada pagi 21 Mei 1980, Katherina Reitz Brow ditemui mati di rumahnya di Massachusetts, Amerika Syarikat. Mayatnya ditemui pada jam 10.45 pagi, dengan kesan darah di seluruh kawasan rumah.

Katherina didapati ditikam lebih dari 30 kali dan almarinya digeledah. 

Beg tangannya, beberapa barang kemas dan sampul surat di mana dia menyimpan wang tunai semuanya hilang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Individu terakhir yang melihat Katherina hidup adalah suaminya, yang meninggalkan rumah mereka pada jam 7 pagi.

Penyiasatan dan perbicaraan Kenny Waters

kenny waters ditahan polis

Penyiasatan dilakukan dengan segera dan para penyiasat menemui rambut, darah dan cap jari di rumah tersebut yang dianggap milik si penjenayah.

Malah, mereka juga menemui senjata yang dikatakan digunakan untuk membunuh Katherina iaitu sebilah pisau yang berlumuran darah yang dibuang ke dalam bakul sampah. 

Cap jari juga berjaya diperoleh dari pembakar roti dan satu tin bir.

Pada awal penyiasatan, pihak polis menyoal siasat Kenny Waters. Dia tinggal bersama-sama teman wanitanya, Brenda Marsh, berdekatan dengan rumah Katherina.

Kenny bekerja di sebuah restoran di Ayer, Massachusetts, di mana Katherina merupakan pelanggan tetap. Dikatakan bahawa para pekerja di restoran tersebut tahu bahawa Katherina menyimpan sejumlah wang tunai yang banyak di rumahnya.

Setelah diberkas, Kenny disiasat oleh pihak polis dan memberikan alibi yang kukuh bahawa dia bekerja sehingga jam 8.30 pagi pada hari Katherina dibunuh. Malah, Kenny memberitahu bahawa dia dihantar pulang ke rumah oleh seorang rakan sekerja.

Kenny kemudiannya menukar pakaian dan hadir di mahkamah Ayer pada jam 9 pagi bersama peguamnya. Kenny memberitahu bahawa dia meninggalkan mahkamah tersebut pada jam 11 pagi untuk kembali ke restoranvberada di situ sehingga jam 12.30 tengah hari.

Ini bermakna Kenny mempunyai alibi kukuh dari jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari, di mana mayat Katherina ditemui pada jam 10.45 pagi.

kenny waters dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dilakukannya

Pihak polis memeriksa pakaian dan badannya, dan tidak menemui sebarang kesan darah atau luka. Cap jari Kenny diambil dan dia disoal siasat lagi namun tidak didakwa.

Kes tersebut tidak dapat diselesaikan untuk tempoh lebih dari 2 tahun.

Pada Oktober 1982, seorang lelaki bernama Robert Osborne, yang tinggal bersama-sama Brenda Marsh (ketika ini bekas teman wanita Kenny), hadir ke Balai Polis Ayer dan dikatakan menawarkan untuk memberikan maklumat mengenai pembunuhan itu.

Sebagai balasan kepada maklumat tersebut, Robert mahukan wang tunai.

Robert berkata Brenda memberitahunya bahawa Kenny mengaku padanya bahawa dia adalah pembunuh Katherina. Namun, tidak diketahui sama ada Robert diberikan bayaran untuk maklumat yang diberikan.

Pihak polis kemudiannya menyoal siasast Brenda dan dikatakan mengugut untuk mendakwanya terlibat dalam pembunuhan tersebut. Malah, jika Brenda tidak menyokong dakwaan yang dibuat oleh Robert, anak-anaknya akan diambil darinya.

Pada mulanya Brenda enggan dengan mengatakan bahawa kenyataan yang diberikan oleh Robert adalah tidak benar.

kenny waters

Walau bagaimanapun, Brenda akhirnya bersetuju untuk bekerjasama dan memberitahu polis bahawa Kenny pulang ke rumah pada pagi kejadian dengan kesan cakaran di wajahnya.

Roseanna Perry, seorang lagi bekas teman wanita Kenny, juga pada mulanya memberitahu polis bahawa dia mempunyai maklumat tentang pembunuhan tersebut.

Namun selepas lebih daripada tiga jam disoal siasat dan diugut untuk ditahan, Roseanna memberitahu bahawa Kenny berkata sesuatu tentang menikam seorang wanita dan mencuri wang serta barang kemasnya.

Berdasarkan kenyataan ini, Kenny didakwa kerana membunuh Katherina dan perbicaraannya bermula pada Mei 1983.

Walaupun polis telah menggunakan cap jari untuk mengecualikan Kenny dan beberapa suspek lain semasa penyiasatan dilakukan, namun rekod ini tidak diberikan kepada pihak pendakwa.

Penganalisa forensik memberi keterangan bahawa tiga helai rambut ditemui di tempat kejadian, termasuklah sehelai dalam tangan mangsa dan sehelai lagi pada pisau tersebut, namun ketiga-tiganya tidak sepadan dengan mangsa atau Kenny.

Akhirnya, walaupun tidak dapat dibuktikan bersalah, Kenny disabitkan kesalahan pada 11 Mei 1983 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Penyiasatan selepas perbicaraan

kenny dan kakaknya betty

(Kenny dan kakaknya Betty Waters)

Kenny mengemukakan rayuannya beberapa kali di antara tahun 1983 dan 1999.

Walaupun Roseanna menarik balik pengakuannya tentang pengakuan bersalah oleh Kenny, namun rayuan Kenny untuk perbicaraan baharu tetap ditolak.

Selepas Kenny disabitkan kesalahan, kakaknya iaitu Betty Waters yang percaya bahawa adiknya tidak bersalah tidak dapat berdiam diri.

Betty yang tidak menamatkan sekolah menengah, berusaha melanjutkan pelajaran ke kolej dan menamatkan pengajian undang-undang pada tahun 1998, semata-mata untuk berusaha membebaskan adiknya.

Pada tahun 1999, Betty menemui bukti darah yang diambil dari tempat kejadian dan memperoleh perintah mahkamah untuk menyimpan bukti tersebut untuk ujian DNA.

Pada tahun 2000, Betty mula bekerja dengan Projek Innocence untuk kes ini.

Bersama-sama, mereka mencapai persetujuan dengan pejabat Peguam Daerah Middlesex untuk membenarkan makmal persendirian melakukan ujian DNA terhadap bukti tersebut.

Keputusan yang diperoleh mengecualikan Kenny dan suami Katherina, sekaligus membuktikan bahawa Kenny bukanlah pembunuh tersebut. 

kenny waters dibebaskan selepas dipenjarakan hampir 18 tahun

(Kenny diiringi kakaknya selepas dibebaskan)

Pada 13 Mac 2001, Makmal Jenayah Polis Negeri Massachusetts mengesahkan keputusan DNA tersebut dan sabitan terhadap Kenny ditarik balik dua hari kemudian.

Selepas hampir 18 tahun menjalani hukuman di penjara bagi jenayah yang tidak dilakukannya, Kenny akhirnya dibebaskan sementara pihak pendakwa mempertimbangkan sama ada akan cuba mendakwanya semula.

Pejabat Peguam Daerah Middlesex membuka satu penyiasatan baharu bagi kes ini untuk menentukan sama ada mahu mendakwa semula Kenny atau tidak.

Penyiasatan semula itu diketuai oleh pegawai polis negeri, yang mendapati bahawa laporan polis adalah tidak lengkap dan menghubungi para pegawai polis Ayer yang terlibat dalam penyiasatan asal.

Pada ketika ini dan untuk kali pertama, polis menyerahkan rekod lengkap kes itu termasuklah laporan polis yang mengesahkan jadual kerja Kenny adalah benar dan dokumen tentang bukti cap jari yang telah diambil sebelum perbicaraan.

Pada 15 Mac 2001, pejabat Peguam Daerah Middlesex menarik balik semua dakwaan ke atas Kenny dan pembebasannya menjadi rasmi.

Kehidupan Kenny Waters selepas dibebaskan

kenny dan betty waters

Malang sekali bagi Kenny, dia terlibat dalam satu kemalangan tragis pada 19 September 2001 dan terbunuh, hanya 6 bulan selepas dia dibebaskan daripada penjara.

Pada ketika itu, Kenny berusia 47 tahun.

Walaupun baru sahaja dibebaskan dan belum sempat menikmati kehidupan baru, namun menurut Betty ia adalah tempoh yang paling bernilai bagi adiknya.

"Kenny menikmati 6 bulan yang paling bahagia dalam hidupnya. Selepas bertahun-tahun dipenjara, dunia kelihatan seperti baharu untuknya," Betty Waters.

Sejak kematian Kenny, wakil-wakil harta pusakanya telah menyelesaikan tuntutan mahkamah sivil dengan bandar Ayer.

Kes ini menjadi inspirasi kepada filem tahun 2010 bertajuh "Conviction".

Rujukan:

1. The National Registry of Exoneration

2. Innocence Project

3. Brandeis

4. Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)