Oleh pada 19 Sep 2021 kategori

Dua minggu selepas Presiden John F. Kennedy ditembak mati pada November 1963, salah seorang rakan karibnya yang juga penyanyi legenda iaitu Frank Sinatra pula ditimpa musibah.

frank sinatra jr

Frank Sinatra dan anaknya, Frank Sinatra Jr.

Pada 8 Disembar 1963, anak lelaki penyanyi itu bernama Frank Sinatra Jr. telah diculik selama empat hari oleh sekumpulan lelaki. Berikut adalah kisahnya.

Motif penculikan Frank Sinatra Jr.

Dalang di sebalik penculikan ini adalah seorang lelaki bernama Barry Keenan yang berusia 23 tahun. Dia merupakan seorang pelajar di UCLA dan pernah bersekolah bersama kakak Frank Jr. iaitu Nancy Sinatra.

Menurut Keenan, motifnya menculik anak Frank Sinatra adalah kerana penyanyi itu sering sibuk dan mengabaikan keluarganya. Dia percaya perbuatan ini akan membuatkan hubungan anak dan bapa itu lebih rapat setelah Frank Sr. bercerai dengan ibu Frank Jr.

frank sinatra jr 2

Namun, motifnya kedengaran seperti tidak logik. Sebenarnya, Keenan pernah terlibat dalam kemalangan kereta yang menyebabkan bahagian belakang badannya sakit. Kesakitan itu membuatkannya ketagih beberapa jenis pain killers dan ubat-ubatan lain.

Pada September 1963, Keenan hampir kehabisan wang selain ketagih ubat-ubatan, dadah dan alkohol. Ketika inilah dia merancang untuk melakukan jenayah culik.

Rakan subahat dan rancangan menculik

Keenan telah meminta rakan sekolah menengahnya, Joe Amsler dan bekas teman lelaki ibunya, John Irwin, untuk membantunya menjalankan rancangan menculik Frank Sinatra Jr.

Mereka bersetuju setelah Keenan menjanjikan bayaran sebanyak USD 100 seminggu (bersamaan nilai USD 900 hari ini). Amsler merupakan seorang peninju amatur yang baru sahaja berkahwin dan memerlukan wang. Manakala John Irwin pula menyangkakan tawaran itu terlalu baik untuk ditolak.

Ketiga-tiga lelaki itu mengekori dan mengintip Frank Sinatra Jr. selama beberapa minggu. Frank Jr. ketika itu baru berusia 19 tahun dan mengikuti jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang penyanyi. Frank Jr. sering membuat persembahan di banyak tempat.

penculik frank sinatra jr

Dari kiri: Keenan, Amsler dan Irwin

Rancangan pertama untuk menculik adalah ketika Frank Jr. membuat persembahan di tapak pesta di Phoenix. Namun, rancangan itu mempunyai beberapa masalah dan mereka terpaksa membatalkan niat pada hari itu.

Kali kedua, mereka merancang untuk menculik Frank Jr. pada 22 November 1963. Keenan bercadang untuk menyewa sebuah bilik motel sebagai pusat operasi mereka.

Namun, mereka terpaksa membatalkan niat apabila mengetahui bahawa presiden John F. Kennedy ditembak mati pada hari yang sama. Mereka tidak mahu berita mengejutkan itu mengganggu fokus mereka untuk  menculik Frank Jr.

Cubaan kali ketiga

Keenan masih lagi nekad untuk menjayakan rancangannya itu. Dia mengetahui bahawa Frank Jr. akan membuat persembahan di Nevada sebelum ke Eropah. Dia tidak mahu rancangannya bertangguh lagi apabila Frank Jr. berangkat ke Eropah.

Pada 8 Disember 1963, mereka melakukan cubaan kali ketiga. Keenan mendakwa bahawa dia terpaksa melakukannya kerana sudah kehabisan wang. Malah, dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengisi minyak pulang ke Los Angeles.

frank sinatra jr 3

Frank Sinatra Jr.

Pada malam harinya, mereka menculik Franks Sinatra Jr. yang menginap di sebuah hotel di Lake Tahoe. Rakan Frank Jr. iaitu John Foss telah diikat dan ditinggalkan di dalam bilik hotel sebelum memaksa Frank Jr. menaiki kereta mereka.

Foss akhirnya berjaya melepaskan diri dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Memandangkan Frank Sinatra Jr. merupakan anak kepada seorang yang berprofil tinggi, FBI mengambil alih kes itu. Sekatan jalan raya diadakan pada laluan keluar dan masuk di Lake Tahoe tetapi penculik itu berjaya melepasinya.

Meminta wang tebusan

Pada 10 Disember, John Irwin telah mengubungi penyanyi Frank Sinatra untuk meminta wang tebusan. Frank Sinatra pada mulanya sanggup membayar USD 1 juta untuk anaknya tetapi Irwin hanya mahukan USD 240,000 sahaja.

Irwin telah mengarahkan agar wang diletakkan dalam sebuah bungkusan hitam dan ditinggalkan di sebuah tempat letak kereta di Sunset Boulevard. Jika wang itu berjaya diterima dan tiada pihak berkuasa mengekori, barulah dia melepaskan Frank Sinatra Jr.

frank sinatra dan ibunya

Frank Sinatra Jr. memeluk ibunya sambil diperhatikan kakaknya.

Keenan dan Amsler telah pergi mengambil wang tebusan itu. Apabila keadaan dilihat selamat, Irwin melepaskan Frank Jr di tepi jalan. Frank Jr. akhirnya menemui seorang pengawal keselamatan dan meminta lelaki itu menghantarnya ke rumah ibunya, Nancy Barbato.

Selama beberapa hari, penculik itu dilihat seakan-akan terlepas daripada jenayah yang dilakukan mereka. Mereka memperolehi wang, Frank Jr. kembali ke pangkuan keluarga dan keadaan menjadi reda. Namun, John Irwan menceritakan rahsia mereka kepada abangnya yang kemudian menghubungi FBI.

Dalam beberapa jam sahaja, ketiga-tiga lelaki itu ditahan pihak berkuasa.

Mimpi buruk Frank Sinatra Jr.

Keenan sebagai dalang utama memberi alasan bahawa penculikan itu adalah satu publisiti. Walaupun tidak benar, perkara itu menjadi mimpi buruk kepada Frank Jr. sepanjang hidupnya kerana ramai percaya bahawa dia sendiri terlibat dalam rancangan itu untuk menaikkan karier muziknya.

Keenan, Amsler dan Irwin dijatuhkan hukuman berat penjara selama 75 tahun. Namun, mereka tidak pernah mempunyai rekod jenayah dan dikurangkan menjadi 25 tahun. Akhirnya, Amsler dan Irwin hanya menjalani hukuman selama tiga setengah tahun manakala Keenan pula selama empat setengah tahun.

wang tebusan frank sinatra

Wang tebusan yang diperolehi semula oleh FBI

Keenan dibebaskan pada 1968 dan mula menceburi bidang hartanah. Pada tahun 1983, dia dianggarkan mempunyai kekayaan sebanyak USD 17 juta.

Pada 1999, Columbia Pictures telah menawarkan Keenan dan rakan subahatnya untuk menceritakan semula kejadian penculikan itu dalam satu dokumentari tetapi dibantah Frank Jr. kerana ia menyalahi undang-undang bagi penjenayah mendapatkan keuntungan melalui kisah jenayahnya.

Frank Sinatra Jr. meninggal dunia pada 2016 ketika berusia 72 tahun.

Rujukan:

1. Frank Sinatra Jr diculik

2. Anak penyanyi legenda diculik 3 lelaki

3. Anak lelaki Frank Sinatra diculik 4 hari



Hakcipta iluminasi.com (2017)