Oleh pada 11 Jul 2017 kategori

Zulhilmi Rosli merupakan seorang guru di SJK Thung Hon yang mengajar subjek Pendidikan Islam. Zulhilmi lebih mesra dipanggil Cikgu Zul merupakan pelajar lepasan Institut Pendidikan Guru(IPG) Kangar. Ikuti pengalaman Cikgu Zul mengenai pengalaman beliau sebagai guru pelatih di IPG tersebut.

Pagi ini adik perempuan saya mendaftar di Institut Pendidikan Guru(IPG) Ipoh. Saya tak dapat temankan kerana ada hal mustahak yang perlu diselesaikan di sekolah. Jadinya saya minta isteri temankan mama dan ayah ke sana. Harap semuanya berjalan lancar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun sudah sedekad lebih dinaiktaraf, namun masih ramai yang belum tahu tentang kewujudan dan fungsi IPG. Malah mereka yang menyambung pengajian ke IPG seringakali dipandang "slack".

"Kau belajar pandai-pandai, masuk maktab je?"

IPG merupakan akronim bagi Institut Pendidikan Guru yang dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan. Tempat melahirkan bakal-bakal guru sekolah rendah.

Nama IPG mula digunakan secara rasmi pada 2009. Naik taraf ini bukan sahaja pada nama tetapi meliputi sistem pengajian. Jika sebelumnya guru lepasan maktab hanya lulusan sijil dan diploma, kini semua lepasan IPG merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda.

cikgu zulhilmi mengajar di sjkc thung hong

Terdapat 27 kampus IPG di seluruh Malaysia. 9 daripadanya akan "ditutup" secara berperingkat menjelang 2020. IPG bernaung sepenuhnya dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dan bukan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) seperti IPT yang lain.

Pelajar IPG lebih sinonim dengan panggilan guru pelatih. Suasana pengajiannya tidak banyak beza dengan institusi pengajian tinggi yang lain. Cuma di IPG, ia lebih memfokuskan kepada kemenjadian seorang guru.

Bukan sebarang orang yang boleh masuk ke sini. Selain perlu ada jiwa, minat dan perwatakan menarik untuk menjadi guru, keputusan akademik yang mantap juga diambil kira. Mereka yang terpilih akan menjalani beberapa temuduga tapisan. Terkini, untuk masuk ke IPG, seseorang itu perlu menjalani ujian kecergasan(zaman saya dulu tak ada). Yalah, nak jadi cikgu zaman sekarang stamina kena solid. Tak boleh ceroi dan mandom.

Selepas diterima masuk, mereka akan menjalani program persediaan ala matrikulasi/asasi/tamhidi selama setahun. Kalau lulus peringkat ini barulah boleh sambung ke peringkat ijazah selama 4 tahun.

Sepanjang 5 tahun pengajian, guru pelatih hanya dibiayai sepenuhnya semasa program asasi sahaja. Bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan pula, kerajaan hanya menanggung yuran pengajian yang berjumlah RM 27,XXX. Tiada lagi elaun sara hidup seperti tahun-tahun sebelumnya. Berkuat kuasa 2017, guru pelatih perlu membuat pinjaman PTPTN bagi tujuan belanja sara hidup sepanjang 8 semester.

Harapnya keistimewaan yang ditarik balik ini tidak melunturkan semangat adik-adik yang mahu menjadi guru. Usah risau, gaji cikgu sedap, dik. Sekejap saja boleh langsaikan PTPTN. Tapi kalau ada menabung sejak kecil, waktu beginilah ia berguna.

cikgu zulhilmi rosli

Selepas tamat pengajian pula, guru pelatih akan menjalani sekali lagi temuduga tapisan untuk diserap masuk ke dalam perkhidmatan awam. Sekiranya lulus, mereka ini akan ditempatkan di sekolah-sekolah rendah seluruh Malaysia. Paling tidak, gaji permulaan guru baharu sekarang RM 3,XXX sudah pasti dalam genggaman. Jadi makcik pakcik, kalau ada cikgu yang masuk meminang jangan ditolak mentah-mentah dulu. Hihi.

Pun begitu, sehingga hari ini IPG masih terlihat skeptikal dimata segelintir masyarakat. Walhal, IPG bukan kecil anak punya tempat. Disinilah lahirnya bakal pendidik yang akan mencorakkan anak-anak kalian seawal usia mereka mengenal dunia.

Jadi, jika ada anak-anak atau saudara-mara yang mahu masuk ke IPG, usahlah direnyukkan semangat mereka. Aku pernah dipandang "slack" selepas nekad membuat keputusan untuk masuk ke IPG 8 tahun yang lepas. Down teruk, tahu. Bernanah telinga dengar. Tambahan pula ketika itu, tawaran matrikulasi dan IPTA semuanya aku tolak mentah-mentah. Punyalah beria nak jadi cikgu.

"Eh, kau cikgu sekolah rendah je ke? Ingatkan sekolah menengah."

Ikuti facebook guru muda berwawasan Zulhilmi Rosli

Siswazah IPG Kampus Perlis 2010-2015.




Hakcipta iluminasi.com (2017)