Oleh pada 30 Jan 2018 kategori

Sumber foto: BH Online

Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan ke atas pekerja sebuah resort di Pulau Pangkor. Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh semalam. Tertuduh didapati bersalah membunuh majikannya di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, 10 tahun lalu. Majikannya merupakan seorang wanita hamil pada ketika itu.

Hamzah Osman, 28, adalah tertuduh yang ketika kejadian bekerja sebagai pengemas bilik di Suria Beach Resort. Tertuduh didapati bersalah membunuh Norazuda Iden, 31, dengan menggunakan sebatang kayu di bilik 202, di resort berkenaan kira-kira jam 1 pagi, pada 18 Ogos 2008.

Hukuman dijatuhkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam M Manoharan manakala Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menjalankan tugas pendakwaan.

Tertuduh diberikan tiga pilihan iaitu keterangan bersumpah, tidak bersumpah atau berdiam diri. Tetapi tertuduh memilih untuk berdiam diri sahaja. Seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

pekerja resort di pulau pangkor ke tali gantung akibat kes bunuh 1

Sumber foto: Kosmo Online

Menurut Anselm Charles, dalam kes itu, mahkamah hanya ada satu hukuman tanpa pilihan dan tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati sebelum ini pada 24 Oktober 2014 selepas Hakim Datuk Adzam Abd Ghani mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu seksyen yang sama.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun telah memerintahkan untuk diadakan bicara semula pada 23 Mac 2017 berikutan pemeriksaan mental belum pernah dijalankan ke atas tertuduh.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)