Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Susulan krisis dengan kumpulan Kristal, penyanyi, Lan Solo memberitahu dia tidak punya sebab hendak bermusuh dengan anggota kumpulannya walaupun tidak lagi sehaluan.

Hampir 20 tahun bersatu dalam kumpulan, Lan berharap perselisihan faham antara mereka akan berakhir suatu masa nanti.

"Dari segi persahabatan saya harap hari mendatang ia akan jadi lebih baik dan kalau hendak berjumpa atau berselisih rasanya tiada masalah.

"Saya bukannya mencuri atau pukul orang dan apa yang berlaku di antara kami pasti ada hikmah," katanya menurut portal Mstar Online.

bukannya mencuri atau pukul orang lan solo 2

Kredit foto: Instagram Kristal

Terdahulu, Lan mengambil keputusan meninggalkan Kristal selepas pemain gitarnya, Rody mengumumkan untuk merehatkan beliau.

Dalam kiriman di Instagram, Rody mendedahkan ujibakat yang bakal diadakan untuk mencari vokalis pengganti.

Sementara itu, Lan berkata, buat masa ini dia tidak merancang untuk kembali bersama Kristal walaupun diberi peluang.

Ia susulan pendirian yang diambilnya untuk bergerak secara solo dan mencuba perkara baharu usai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang melabuhkan tirai baru-baru ini.

"Saya ingin keluar daripada zon selesa dan sebagai penyanyi saya mahu mencuba pelbagai genre muzik dan bukannya memfokuskan kepada rock semata-mata.

"Alhamdulillah sejak menyertai GV saya banyak mencuba benda baru termasuk tampil dengan imej segar dan nampaknya peminat pun dapat terima dengan baik," jelasnya.

Dalam masa sama, Lan tidak bercadang mengenepikan muzik rock kerana sudah sebati dengan jiwanya, malah genre itu jugalah yang menempatkan namanya dalam industri seni tanah air.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)