Penyanyi, Lan Solo menjelaskan isterinya, Nur Sheila Hassim, 32, terlalu kuat bekerja hingga air ketubannya bocor dan terpaksa dimasukkan ke hospital pada 20 Disember lalu.

Lan atau nama penuhnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, berkata buat masa ini isterinya perlu berehat atas katil tanpa banyak bergerak untuk mengelakkan air ketubannya bocor lagi.

"Sepatutnya apabila air ketuban pecah pada masa yang tidak sepatutnya, doktor akan 'induce' untuk segerakan proses kelahiran. Tetapi kandungan isteri baru enam bulan lebih, belum cukup tujuh bulan lagi. Berat bayi dalam kandungan pun belum mencecah satu kilogram.

"Jadi doktor menyarankan isteri untuk berehat atas katil bagi mengelak pergerakan yang banyak.

"Puncanya, mungkin kerana dia terlalu kuat bekerja dan pergerakan tidak terkawal. Tambah pula bekerja dengan saya dalam musim keempat Gegar Vaganza 4 (GV4), pelbagai tekanan diharungi. Sekarang, kami menunggu kebenaran doktor untuk pulang berehat di rumah," katanya menurut portal BH Online.

Mengakui kagum dengan usaha isterinya berhempas pulas sepanjang pembabitannya dalam musim keempat Gegar Vaganza (GV4), Lan menganggap Sheila sebagai tunggak utama kariernya.

punca air ketuban isteri lan solo pecah terjawab 2

"Senang cerita, dia adalah tunggak kerjaya saya. Sepanjang GV4, tanpa henti isteri bekerja dan dia yang menggalas tugas yang paling besar sebagai orang belakang saya. Sungguh dasyat tanggungjawabnya.

"Apatah lagi pelbagai dugaan yang dia dan saya rempuh bersama walaupun dalam keadaan sarat.

"Apabila dia berehat, diakui kerja saya terhenti seketika dan saya perlu perlahankan beberapa kerja. Tetapi untuk memenuhi undangan nyanyian, saya tidak ada masalah," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas vokalis kumpulan Kristal itu meminta peminat mendoakan kesejahteraan isteri dan bayi yang dikandung agar dapat melalui proses kelahiran secara normal.

Lan dan Sheila, yang mendirikan rumah tangga pada 6 Disember 2009 telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Kredit foto: Instagram Lan Solo

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)