Kredit foto: Beautifulnara & Astro Gempak

Penyanyi, Awie berasa terkesan dengan isu yang melanda kumpulan rock, Kristal.

Bagaimanapun, kata Awie, masalah sedemikian sudah menjadi lumrah bagi penyanyi berkumpulan seperti Kristal.

“Saya selalu berpegang kepada perkara ini, jika tidak diselesaikan secara baik dari peringkat awal, memang akan berlarutan macam ni. Ada masalah sesama anggota, jangan sesekali libat orang luar.

“Maklumlah orang luar ramai yang jadi ‘tukang cucuk’ yang akhirnya membawa kepada kemusnahan. Kalau berjumpa bertemu mata, itu lebih baik.

“Luahkan apa sahaja rasa ketidakpuasan hati secara terus. Setelah itu, pandai-pandailah membawa diri,” katanya memetik portal Utusan Online.

Sebelum ini, Lan membuat pengumuman mengejutkan tentang pengunduran dirinya daripada Kristal selepas ahli-ahli kumpulan itu bercadang mencari vokalis baharu.

Dalam pada itu, Awie yang bertanggungjawab mendidik Kristal menjadi kumpulan rock yang disegani sehingga kini, turut berpendapat jalan terbaik menyelesaikan isu itu adalah melalui perbincangan secara empat mata.

“Kalau ada masalah kena suarakan terus. Jangan pendam terlalu lama, kalau ‘meletus’ segala benda akan diceritakan.

“Kalau ini jalan terbaik, bawalah jalan masing-masing tapi jangan sesekali burukkan orang lain. Saya sendiri sudah berpengalaman berhadapan dengan isu macam ni,” katanya lagi.

Sementara itu, Awie merasakan setiap anggota kumpulan itu mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang masing-masing. Awie mengambil contoh Lan yang mampu berjaya sekiranya mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Malah, Awie berkata, anggota lain umpama Rody juga adalah gitaris yang disegani. Justeru untuk meneruskan karier sebagai kumpulan rock, mereka perlu mendapatkan vokalis pengganti.

“Masing-masing sudah dewasa dan tahu apa yang dilakukan. Kalau ini jalan terbaik, belajarlah erti perpisahan,” nasihat Awie.

Sumber berita: Utusan Online & mynewshub.cc




Hakcipta iluminasi.com (2017)