Oleh pada 07 Oct 2021 kategori

Kredit: Instagram @mila_jirin & @khairykj

 

Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata, majlis sosial di tempat tertutup mungkin antara sektor terakhir untuk dibuka kerana beliau tidak yakin bahawa prosedur operasi standard (SOP) boleh dipatuhi seperti di majlis perkahwinan besar-besaran. 

 

Perkara ini mendapat perhatian penyanyi dan usahawan, Mila Jirin yang memiliki perniagaan dewan perkahwinan dan katering, Bizmilla.

 

Mengakui kepentingan prosedur operasi standard (SOP), beliau memohon supaya pihak kerajaan juga melihat kepentingan usahawan industri sosial yang dikatakan sudah 'mati' lebih setahun.

 

"Kami tidak meminta untuk mengadakan majlis yang dihadiri ribuan pengunjung. Dengan kapasiti dewan 8000 ke 10000 kaki persegi, kami cuma minta 100 tetamu yang dipecahkan kehadiran dalam 3 jam dengan SOP sama seperti restoran.

 

"Jika dalam penerbangan tanpa penjarakan sosial boleh dengan makan tanpa menggunakan pelitup muka, kenapa makan di dewan dengan penjarakan kerusi 1 meter tidak dibenarkan?," soalnya.

  

 

Mahu pihaknya dibantu bergerak biarpun dalam skala mikro, Mila kesal apabila suara mereka seolah-olah tidak didengar.

 

"Banyak cadangan dari usahawan dalam industri perkahwinan tetapi semuanya berakhir di dalam kumpulan WhatsApp.

 

"Di 'channel' kami semua ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) juga tiada apa-apa tindakbalas. Seperti hanya tempat melepaskan aduan yang tiada jalan penyelesaian," luahnya.

 

Menerima komen negatif dari segelintir netizen, beliau mendedahkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung sehingga ada yang terpaksa menukar bidang pekerjaan.

 

"Anda tidak berada di situasi kami yang tertekan dengan pembatalan, pembayaran balik, kos tetap, sewa dan pengambilan kakitangan yang menelan belanja ratusan ribu.

 

"Terdapat segelintir sahabat usahawan industri sosial sudah menjual pisang goreng. Kami buat apa sahaja yang termampu dan apa juga rezeki lain yang Allah bagi.

 

"Jangan tidak tahu industri sosial juga menyokong ramai usahawan kecil seperti pengacara majlis, pembuat roti dan kuih 'homemade', jurumekap dan lain-lain," tegasnya.

  

 

Tambahnya, beliau berharap pasukannya diberi peluang untuk 'duduk semeja' dengan Khairy Jamaluddin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi kebaikan industri sosial yang disifatkan sebagai sangat tenat.

 

"Jemputlah yang mahir dalam industri perkahwinan dan pengelola dewan majlis untuk berbincang semeja berbagi pendapat.

 

"Bukan kami tidak faham, cuma beri peluang untuk usahawan yang terkesan beri buah fikiran," akhirinya.

 

Komen Pilihan

milass v1

 

"Restoran mamak terletak di luar. Manakala kebanyakan kenduri kahwin diadakan di dalam dewan tertutup dimana pengalihan udara tidak begitu baik," jelas seorang netizen.

 

Sumber: Instagram Mila Jirin [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)