Oleh pada 27 Apr 2017 kategori

Baru-baru ini negara digemparkan dengan pemergian adik Thaqif yang meninggal dunia selepas kedua-dua kakinya dijangkiti kuman sehingga terpaksa dipotong. Siasatan masih berjalan, sama ada arwah adik Thaqif meninggal disebabkan berpunca daripada perbuatan pembantu warden yang memukul kakinya menggunakan paip getah ataupun berpunca daripada penyakit lain.

Banyak spekulasi dikeluarkan oleh ramai pihak. Ada yang menyalahkan pihak sekolah, ada yang menyalahkan si pemukul. Apa-apapun, selagi siasatan masih diteruskan, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

kaki buli mangsa buli pelajar asrama 148

BESARKAN TEKS     A-  A+

Saudara Muhammad Musoddiq telah berkongsikan pandangan beliau di akaun Facebooknya mengenai perkara ini dan kami telah mendapatkan keizinan beliau untuk menyiarkan artikel ini di sini.


Kes kematian pelajar akibat dipukul di asrama bukan perkara baru. Benda ni dah lama dan berlaku sejak berpuluh tahun yang lalu.

Saya masih ingat kes pada tahun 2002 atau 2003, pelajar koma akibat dipukul beramai-ramai oleh senior menggunakan batang paip dan akhirnya meningal dunia. Di carian google menggunakan kata kunci "mati dipukul di asrama", kita akan nampak kes pada januari 2017, pada tahun 2016,2015, 2011, 2004, dan banyak lagi. Ini baru 2 page carian google.

Daripada kanak-kanak berumur 7 tahun hinggalah pelajar berumur 16 tahun turut dilaporkan menjadi mangsa kematian akibat dipukul.

Ini yang dilaporkan akhbar, belum kes yang tidak dilaporkan di akhbar tetapi menjadi kes polis.

Senior pukul junior

Kes pukul yang tidak menyebabkan kematian pun kita selalu baca di akhbar, daripada senior beramai-ramai pukul junior sampailah ke pengurusan asrama.

Saya yakin yang lebih 95% kes pukul di asrama tidak dilaporkan. Sama ada terhenti di peringkat mangsa buli (dia tidak laporkan ke mana-mana), atau diselesaikan di peringkat asrama dan sekolah sahaja kerana tidak mahu memalukan "pihak" terentu.

Seperti sudah menjadi perkara wajib, di asrama sahaja pasti ada buli sehingga kejadian pukul memukul. Bezanya kena buli/pukul sampai mati, cedera parah, ataupun cedera ringan.

Yang menjadi budaya sakit dalam kes buli/pukul ini adalah, sesiapa yang melaporkan kejadian ini akan dianggap lembik. Panggilan seperti anjing/anak mak/anak manja/pondan akan kedengaran sampai tahap akan dipulaukan satu asrama.

Ya, budaya ini bukan budaya baru. Budaya siapa yang tak laporkan kejadian buli akan dianggap hero. Pernah ada kejadian yang tidak dilaporkan di salah satu asrama elit di KL, pelajar tersebut kantoi menghisap rokok dan dipukul beramai-ramai oleh senior sampai masuk hospital.

Oleh kerana dia tidak membuat laporan, balik asrama sahaja dia dianggap hero dan diangkat-angkat oleh warga asrama. Kelakar bukan?

Ni bukan stockholm syndrom, ini sebenarnya sindrom yang gila.

Sebab itu pelajar senior, staff, atau warden yang jenis memukul lebih berani memukul sampai terjadinya kes kematian.

Kes "tulis kejadian buli di diari" pun bukan perkara baru. Sewaktu di asrama, saya ada mendengar rakan batch saya menulis diari yang dia dibuli tiap-tiap hari. Memang detail, siap dengan nama dan jenis buli. Daripada basuh baju, diherdik, sampailah dipukul. Mak dia menjumpai diari tersebut dan melaporkan ke pengurusan asrama. Di khabarkan pelajar yang tercatit nama sebagai pembuli itu dipanggil. Yang mengaku salah dirotan, yang tidak mengaku tidak silap saya akan disiasat. Tulisan diari bukan boleh jadi bahan bukti yang kukuh, lagi-lagi melibatkan kejadian yang lampau. Apa sangatlah diari ni sebenarnya.

Buli secara mental

Satu lagi yang saya nak highlight disini adalah kejadian selepas pelajar yang dibuli melaporkan kejadian buli. Jika pelajar tersebut melaporkan kes buli seperti "suruh basuh baju atau pinggan", atau apa-apa buli yang dianggap ringan, pasti buli secara mental akan berlaku. Mereka akan diejek oleh senior/rakan sebaya/junior, dan dianggap lembik. Ini belum lagi melaporkan kejadian buli yang berat seperti dipukul secara beramai-ramai.

Mangsa juga akan sentiasa hidup dalam ketakutan akibat diugut oleh orang yang membulinya. Kononnya senior tu "cari point". Dapat "point", terus herdik, marah, di suruh push up, buat "gaya motor", "angkat kaki sebelah", angkat kerusi sambil buat gaya duduk, dan apa-apa sahajalah asalkan tiada physical contact.

Dapat "point" besar, barulah pukul sampai lunyai. Ini semua kerana "dah lama tak puas hati" kerana menerima hukuman akibat laporan kesalahan membuli yang lepas.

Lepas dibuli, diugut pula

Dan ayat popular di kalangan pembuli ni, jika mereka dilaporkan dan digantung asrama, mereka akan diugut untuk dipukul di luar sekolah sehingga lunyai dan barai. Peduli apa, janji puas hati katanya.

Jadi disini, apa pilihan mangsa buli tu ada? Cuma diam dan biarkan diri dibuli sahajalah. Laporkan buli yang ringan, mereka akan dibuli dengan lebih berat. Laporkan buli yang berat, dia akan kena lagi berat. Malah, orang sekeliling akan dera secara mental dengan diejek dan dipulaukan.

Ya, inilah nerakanya asrama. Kerana itu apabila aku dah jadi senior, aku tak ulang perkara dan aku cuba nak ubah. Tetapi yang malangnya, mangsa buli ni apabila mereka jadi senior atau menjadi pihak yang berkuasa di asrama, mereka pula jadi pembuli dan melakukan perkara yang sama.

Kitaran berpanjangan

At the end, cycle ini berterusan dan entah tidak tahu sampai bila akan terhenti. Selagi tiada campur tangan pihak berkuasa, saya pasti yang cycle ini tidak akan berhenti. Dan yang paling jelik, alumni sendiri yang mempertahankan cycle gila ini. Sampai ada yang bawa budaya ini ke alam universiti.

Hujah klise mempertahankan budaya gila ini adalah kononnya tujuan untuk mengajarlah, mendisiplinkanlah, itu lah, inilah. Ada yang kata, "tak kena pukul, tak jadi manusia dia nanti".

Tak tahulah dia sedar atau ingat, kita pernah digemparkan dengan pelajar Tingkatan 1 membunuh diri dengan meminum racun serangga kerana tidak tahan dibuli pada tahun 2014.

Di zaman "internet of thing" kini, sudah viral sana sini video pukul memukul di asrama ni. Cari je di google, youtube, metacafe, vimeo, blog. Berlambak. Jika ada yang tengok video dan rasa menggeletar akibat terlalu marah atau tahap tidak sanggup tengok, sedarlah ada beribu kejadian yang sama dan lagi teruk daripada itu tetapi tidak dirakam dan tidak dilaporkan ke mana-mana pihak. Ini belum lagi kau lihat sendiri mangsa buli yang dipukul sampai mati ni.

Apa beza kaki buli dengan pembantu warden tahfiz tersebut?

Dan yang paling kelakar untuk kes pukul sampai mati di sekolah tahfiz ni, individu yang pernah memukul junior sewaktu di asrama mengecam pesalah tersebut seperti dia tidak pernah melakukan perkara yang sama. Bezanya kau memukul dan orang tu tidak jatuh sakit, dia pula memukul beberapa pelajar, tetapi salah satu jatuh sakit sehingga mati.

Apabila rakan saya mengatakan, semoga tiada Mohamad Thaqif kedua mahupun ketiga yang akan berlaku di masa hadapan, padahal baru je tahun 2015 kita digemparkan dengan "Mohamad Nur Akram Zime".

Seperti biasa, kejadian mati akibat dipukul di asrama ini akan ditelan masa. Sebulan dua orang akan lupa. Jika lipatan sejarah, orang akan ingat dan ambil iktibar. Tetapi ini cuma akan jadi seperti batu besar di tepi jalan. Orang nampak dan perasan, tetapi buat tidak tahu dan dilupakan apabila sudah melaluinya.

Jadi, tenanglah semua mangsa buli yang mati di sana. Dan pembuli, silalah mencari pembuli yang kau pernah buli ketika di asrama. Dan buat mangsa buli, janganlah kau membuli orang lain. Tahu betapa nerakanya akibat dibulikan? Jadi jangan nerakakan hidup orang lain.

Jangan harap cycle ni akan berhenti selagi tiada campur tangan pihak luar.

P/S: Jika mangsa buli nak hentikan buli terhadap diri sendiri, the key is to fight back. Melawan. Memang ada kesan yang teruk, tetapi sampai satu masa mereka akan letih nak membuli orang yang melawan. Mereka suka buli orang yang tak melawan.


allahyarham adik mohamad thaqif 322

Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham adik Mohamad Thaqif. Berhentilah menjadi doktor, polis dan hakim di Internet. Biar mereka yang benar-benar terlibat sahaja menyiasat sepenuhnya dan membuat kesimpulan berdasarkan bukti serta fakta.

Terima kasih diucapkan kepada Saudara Muhammad Musoddiq atas kesudian berkongsi buah fikiran bernas ini yang boleh sama-sama kita fikirkan bagaimana cara terbaik untuk menangani kes buli di asrama.

Sebagai netizen, muhasabahlah diri masing-masing dan didiklah anak-anak supaya tidak menjadi mangsa buli atau lebih teruk lagi, menjadi pembuli pada bila-bila masa sepanjang kehidupan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)