Kecoh dunia media sosial Malaysia dengan berita 3 orang pelancong Malaysia yang melakukan onar di Jepun, sehingga perkara itu disebar wakil media Jepun. Banyak pihak meletakkan beban kesalahan ke atas 3 pelajar tersebut dan hasilnya, akaun media sosial penuh dengan caci makian dan kritikan-kritikan pedas ke arah 3 pelajar terbabit.
Ini kita boleh fahami berlaku namun disebaliknya terjadi sesuatu yang membimbangkan. Sebelum kita sentuh perkara tersebut, mari kita imbas kembali dua panduan penting agama Islam dalam mendidik umatnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Islam menggariskan dua benda yang sangat penting dilaksanakan bagi menjamin kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat - sabar terhadap setiap perkara dan usaha lakukan perubahan ke arah yang lebih baik pada diri kita.
Sabar adalah menahan diri daripada sesuatu. Perubahan ke arah lebih baik pula adalah memperbaiki diri kita sendiri. Rasanya perkara ini tak perlu diulas lebih panjang lebar.
Isunya, ramai yang terlupa sabar bila keluar berita pelancong Malaysia ke Jepun buat perangai. Sabar dengan dugaan. Hendak mencaci seseorang juga adalah dugaan yang kita perlu sabar. dan ramai tertewas dengan dugaan ini.
Apa yang memburukkan lagi keadaan, kita memaki mereka ni dengan harapan kita boleh ubah mereka bertiga. Perkara sama berulang setiap kali timbul satu kontroversi dan selepas keadaan reda, kita akan bergerak kepada mengkritik kontroversi lain yang baru timbul. Ulang perkara ini setiap minggu dan inilah masalah mentaliti masyarakat kita sekarang.
Persoalannya, kita ni siapa? Tuhan?
Jika kita rasakan kritikan, makian, cacian, ugutan dan gertakan kita tu boleh mengubah 3 orang yang dibuktikan salah, harap kita dapat sedarlah, semua perkara berlaku kerana Dia, Jadi tak usahlah berharap seseorang itu boleh berubah kerana kita atau lebih teruk, gembira dan berpuas hati.
Lagipun zaman sekarang, kita sendiri sukar nak membezakan adakah kita menegur atau kita memaki mereka semata-mata. Ada juga beberapa portal berita viral yang menggelarkan mereka 'anak haram.' Aduhai. Takkanlah kita tak mampu berfikir sejauh mana kesan fitnah kita tu pergi bila kita gelarkan pesalah ini 'anak haram'? Mulut (tangan) kita ni memang ringan, jadi berjaga-jagalah.
Ramai juga yang kata ketiga-tiga individu itu gila. Kita ni maki mereka dekat status kita atau perkongsian kita, tanpa 'orang-orang gila' tu tahu apa yang kita lakukan jadi siapa yang gila? Sekumpulan pelancong Malaysia yang berak dalam tempat mandi orang selepas dibantu atau sekumpulan masyarakat yang tak dapat bezakan antara nasihat atau makian tetapi pada masa yang sama rasa rasa apa yang mereka buat adalah satu bantuan, namun tak sedar mereka bercakap dengan dinding?
Bagaimana perbuatan mengumpat boleh bawa perubahan ke arah kebaikan?
Islam menggalakkan sabar terhadap semua perkara dan percaya yang sebarang perubahan akan berlaku selepas Dia membenarkan. Adakah semua itu hanya omongan kosong yang kita sebagai Muslim, sebenarnya tak percayai?
Apa kata daripada kita maki orang lain yang mampu membuatkan kita emosi sebab kita rasa insiden itu memalukan Malaysia dan kita (kononnya); mulakanlah dengan diri kita sendiri berhenti buat perkara tak ada etika kat Malaysia?
Kadangkala kita sendiri tak sedar kita ada lakukan perkara-perkara ini, cuma kesedaran kita tu mungkin tak ada. Berkemungkinan juga kita sedar tapi kita katakan "tak apalah."
Meloncat kita bila ada orang lain "memalukan Malaysia" sedangkan bila kita tengok sekeliling ramai orang Malaysia yang tak berapa beretika, kita sendiri akui benda tu 'sifat tipikal orang Malaysia.'
Sampai bila kita nak menyorok disebalik tindakan mengkritik, memaki hamun, mencera orang lain beramai-ramai tu untuk sorok kelemahan diri sendiri? Perubahan pada orang lain bukan kita yang tentukan.
Perubahan pada kita?
Cuba anda senaraikan perangai buruk orang kita yang kita nampak hari-hari, yang kita labelkan perangai buruk tipikal orang Malaysia . Tengoklah mana satu yang kita masih buat dan usahakan untuk ubah. Ada lah juga manfaatnya daripada maki nak betulkan orang lain tanpa diri sendiri dapat sebarang bentuk perubahan ke arah lebih baik.