iluminasi buah sayur kesihatan2 374

Menurut satu laporan yang disiarkan hasil kajian University College London (UCL) pada tahun 2014, mengamalkan pemakanan 7 bahagian buah atau sayur setiap hari mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 42%, jika dibandingkan dengan memakan satu atau kurang bahagian.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh penyelidik di England mengkaji tabiat pemakanan 65,226 peserta kajian sepanjang tahun 2001 hinggalah tahun 2013 dan mendapati lebih banyak sayur dan buah-buahan yang dimakan peserta, kemungkinan untuk berlaku kematian menjadi lebih rendah. Memakan tujuh bahagian sayuran atau buah-buahan juga mampu mengurangkan risiko kanser sebanyak 25% dan risiko penyakit jantung sebanyak 31%.

Jika anda merasakan tujuh bahagian setiap hari yang diperlukan terlalu tinggi, kajian UCL juga mendapati jika seseorang makan satu hingga tiga bahagian risiko kematian berkurang kepada 14%, 29% untuk mereka yang makan tiga ke lima bahagian dan 36% untuk mereka yang makan lima hingga tujuh bahagian.

iluminasi buah sayur kesihatan3

Kajian tersebut yang diterbitkan di dalam Journal of Epidemiology & Community Health, mendapati sayuran segar mempunyai khasiat perlindungan paling tinggi dengan mencatatkan pengurangan risiko kematian untuk setiap bahagian sebanyak 16%. Salad mengurangkan risiko sebanyak 13% sementara buah-buahan pula mengurangkan risiko sebanyak 4% untuk satu bahagian.

"Kita tahu tabiat memakan buah dan sayuran ini baik, tetapi kesan yang diperolehi menakjubkan kami," kata Dr Oyinlola Oyebode, ketua penyelidik kajian tersebut."Mesej jelas yang dapat kami simpulkan, lebih banyak sayur dan buah-buahan yang dimakan, mampu mengurangkan risiko kematian pada semua peringkat umur."

Kata Dr Oyebode lagi:

"Jika kita gemar makan lobak merah mentah, tabiat itu amat baik. Jika ada orang yang perlu rasa makanan manis, pisang atau buah-buahan adalah sepatutnya menjadi pilihan mereka."

iluminasi buah sayur kesihatan4

Kerajaan Australia dalam masa yang sama sudahpun memperkenalkan kempen garis panduan pemakanan yang menggalakkan rakyat mereka mengambil dua bahagian buah dan lima bahagian sayuran setiap hari.

"Kajian kami membuktikan inisiatif kerajaan Australia melalui kempen 2+5 akan memberikan kesan positif yang sangat besar kepada rakyat mereka," kata Dr Oyebode." Bagaimanapun, kepada yang takut tak mampu mencapai sasaran 2+5 yang disyorkan, boleh mengamalkan tabiat memakan dalam bahagian yang lebih kecil. Ini akan turut sama membantu."

Malangnya, kajian mereka mendapati yang kesan positif yang ditunjukkan tidak mampu diterjemahkan apabila jus buah digunakan. Buah-buahan dalam tin dan buah-buahan sejuk beku pula didapati meningkatkan lagi risiko kematian sebanyak 17%.

iluminasi buah sayur kesihatan5

"Kebanyakan buah dalam tin mengandungi kandungan gila yang sangat tinggi dan selalunya, buah berkualiti rendah akan digunakan dalam tin berbanding buah yang diguna untuk menghasilkan jus," kata Dr Oyebode. "Kesan negatif gula terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kesan baik yang diperolehi. Saya tidak mengesyorkan pengambilan buah-buahan dalam tin untuk mereka yang mahu menjaga kesihatan."

iluminasi buah sayur kesihatan

Untuk menjawab persoalan yang mungkin bermain di fikiran kita selama ini - ingin kami tegaskan yang telah terbukti berdasarkan kajian ini, sayur lebih baik berbanding buah dari segi kesihatan. Walaupun begitu, memakan buah juga mampu memberikan kesan positif kepada kehidupan kita.

Cuma tidak sebanyak memakan sayur-sayuran.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)