Mungkin ramai yang tak menyedari tentang perkara ini namun beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan pada hari ini adalah kacukan buatan manusia.
Buah-buahan dan sayur-sayuran ini dihasilkan melalui pembiakan selektif, proses di mana hanya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri yang baik akan ditanam semula.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam keadaan yang jarang berlaku, serangga bertanggungjawab untuk menghasilkan tumbuhan hibrid melalui penyebaran silang.
Namun, serangga tidak akan mampu menyebarkan tumbuhan jika manusia tidak menanam sekurang-kurangnya satu di kawasan tersebut.
iluminasi.com kongsikan 7 buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan hasil buatan dan ciptaan manusia.
7. Oren
Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis buah oren yang wujud. Walau bagaimanapun, setiap jenis buah oren berasal dari hibrid buatan manusia yang dicipta melalui kacukan buah pomelo dan mandarin.
Pomelo hampir sama pahit seperti limau gedang, manakala buah mandarin pula adalah manis. Buah mandarin berwarna oren dan sesetengah orang menganggapnya sebagai salah satu jenis daripada buah oren.
Perkara ini ternyata sangat salah kerana buah mandarin sebenarnya adalah nenek moyang kepada buah oren. Sejarah buah oren tidak jelas, tetapi dipercayai telah muncul di selatan China.
Selama bertahun-tahun, manusia telah membiakkan buah oren secara selektif untuk menghasilkan pelbagai jenis, menjadikan buah oren mudah terkeliru dengan buah sitrus yang lain.
Untuk lebih jelas, sejenis buah itu perlu berevolusi dari buah pomelo dan mandarin untuk dianggap sebagai buah oren.
Buah tangerin tidak dianggap sebagai buah oren kerana ia merupakan evolusi daripada buah mandarin sahaja dan bukannya buah pomelo.
Agak memeningkan, kan?
6. Pisang
Ya, pisang yang anda makan pada hari ini adalah hasil ciptaan manusia. Pisang adalah hibrid buatan manusia dari spesis pisang Musa acuminata liar dan Musa balbisiana.
Musa acuminata mempunyai bahagian dalam yang berisi, tetapi ia mempunyai rasa yang sangat tidak menyenangkan. Musa balbisiana pula mempunyai rasa yang enak di dalam tetapi mengandungi terlalu banyak biji.
Kedua-dua pisang ini dikacuk secara semulajadi di hutan di Asia Selatan. Walau bagaimanapun, pisang yang dihasilkan, yang merupakan nenek moyang pisang moden, adalah mandul, bermakna ia tidak mampu membiak.
Sekitar 10,000 tahun yang lalu, manusia awal menemui pisang hibrid itu dan belajar bahawa mereka boleh menanam semula pucuknya untuk menghasilkan pokok-pokok baru.
Mereka terlibat dalam pembiakan selektif dan hanya menanam semula pisang yang mempunyai ciri-ciri yang baik. Dan ini menyebabkan terciptanya pisang moden.
Walaupun kita berjaya mencipta pisang yang sempurna, namun kita masih tidak dapat mencari cara untuk menanamnya melalui benih.
Jadi, pisang akan pupus jika kita berhenti menanamnya. Ketiadaan benih juga bermakna bahawa semua pisang mempunyai sifat genetik yang sama kerana ia ditanam semula dari pucuk pokok lain.
Akibatnya, semua pokok pisang di dunia boleh dihapuskan oleh penyakit.
5. Limau gedang
Limau gedang pertama kali muncul selepas 1693 apabila Kapten Shaddock membawa beberapa butir benih pomelo ke Hindia Barat dan menanamnya berhampiran dengan beberapa pokok oren.
Kemudian, berlaku penyebaran silang di antara pomelo dan oren yang menghasilkan limau gedang. Walau bagaimanapun, limau gedang itu masih belum diketahui oleh orang di luar Caribbean.
Orang Eropah hanya mengetahui tentang buah sitrus ini pada tahun 1750 apabila pendeta Griffith Hughes menemuinya. Griffith begitu terkejut dengan penemuan sehinggakan dia menamakan buah itu sebagai "buah terlarang."
Nama itu digunakan sehingga 1814, yang kemudian bertukar apabila John Lunan memanggilnya "grapefruit" kerana buah ini menyerupai buah anggur yang sedang membesar.
Limau gedang sampai ke Amerika Syarikat pada tahun 1823 tetapi terkeliru dengan buah pomelo. Ia hanya dikenalpasti sebagai buah yang berlainan daripada buah pomeo pada tahun 1837.
Namun, ahli botani masih keliru tentang asal usulnya. Sehinggalah pada tahun 1948, mereka mendapati bahawa ia adalah hibrid dari buah pomelo dan oren.
4. Boysenberry
Boysenberry adalah sejenis buah yang anda mungkin tak pernah tahu atau dengar namun satu ketika dahulu ia agak popular. Buah ini dicipta oleh Rudolph Boysen pada tahun 1920-an.
Ia dianggap sebagai versi lain dari beri hitam, walaupun ia sebenarnya merupakan hibdrid daripada beri hitam dengan sama ada loganberry n atau raspberi merah.
Terdapat dakwaan bahawa beri boysen sebenarnya adalah kacukan antara dewberry Timur dan loganberry buatan manusia.
Loganberry dicipta pada tahun 1881 ketika James Logan menggabungkan raspberi dengan beri hitam liar.
Walau bagaimanapun, boysenberry bukan kejayaan komersial kerana jangka hayatnya yang pendek.
Ia akan rosak hanya dua hari selepas dituai. Kedai-kedai yang menjual beri ini cuba memanjangkan jangka hayat boysenberry dengan menuai dan menghantarnya sebelum ia masak.
Pelan tersebut akhirnya gagal kerana boysenberry yang tidak masak itu mempunyai rasa asid. Pada hari ini, boysenberry hanya dijual di pasaran petani.
3. Tangelo
Tangelo adalah hibrid buatan manusia dari buah tangerine dan pomelo. Malah, namanya berasal daripada gabungan kedua-dua buah ini.
Walau bagaimanapun, adalah perkara biasa bagi orang untuk keliru di antara buah tangelo dengan tangerine, mandarin, dan oren.
Untuk menambah kekeliruan, terdapat pelbagai jenis tangelo dan semuanya tidak semestinya dihasilkan daripada tangerine dan pomelo.
Satu jenis yang biasa ditemui iaitu Minneola tangelo adalah hibrid di antara tangerine dan limau gedang Duncan.
Satu lagi jenis dicipta dengan menggabungkan mandarin dengan pomelo, yang secara teknikalnya menghasilkan buah oren.
Tangelo dipercayai telah muncul di hutan-hutan Asia Tenggara 3,500 tahun yang lalu apabila serangga menyebarkan mandarin dengan buah yang berkait rapat dengan limau gedang.
Walau bagaimanapun, tangelo hari ini adalah hasil dari program pembiakan selektif yang bermula pada tahun 1800-an.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengeluarkan benih Minneola tangelo pada tahun 1931 dan ia dinamakan sempena bandar Minneola, Florida.
2. Lobak
Asalnya, lobak bukanlah berwarna oren seperti yang wujud pada hari ini. Lobak semulajadi berwarna putih atau ungu dan mungkin tidak boleh dimakan.
Terdapat dakwaan bahawa lobak putih dijadikan makanan ketika Empayar Rom, tetapi ahli sejarah percaya bahawa ia berkemungkinan parsnip.
Lobak oren yang kita makan pada hari ini adalah hibrid daripada lobak kuning, yang merupakan hibrid kepada lobak putih.
Lobak moden pertama yang boleh dimakan diketahui muncul di Parsi pada abad ke-10. Sesetengah dakwaan mengatakan ia putih dan yang lain mengatakan ia berwarna ungu.
Tidak seperti lobak pada hari ini, sayur-sayuran itu mempunyai banyak akar yang lebih kecil dalam pelbagai saiz.
Orang Parsi menanam lobak secara selektif dengan akar terbesar untuk menghasilkan akar yang lebih besar dan akhirnya terciptalah satu akar paling besar.
Apabila pembiakan selektif ini berterusan, lobak bermutasi dari putih atau ungu menjadi kuning dan akhirnya menjadi oren. Pembiakan selektif lobak diteruskan sehingga zaman moden untuk memperbaiki rasa dan warnanya.
1. Strawberi
Strawberi moden yang ada pada hari ini adalah adalah kacukanbuatan manusia daripada strawberi liar yang bersaiz lebih kecil, yang mempunyai jangka hayat lebih pendek serta rasa dan aroma yang lebih enak.
Strawberi moden mula-mula muncul di Perancis pada abad ke-18. Walau bagaimanapun, program kacukan ini bermula lebih awal.
Pada tahun 1300-an, ahli botani Perancis mula menanam strawberi liar di ladang mereka apabila menyedari bahawa strawberi liar ditiru melalui pengklonan.
Apa yang aneh adalah sesetengah pokok strawberi ini tidak pernah berbuah dan separuh lagi yang berbuah tidak lagi berbuat demikian selepas beberapa tahun.
Ahli botani Perancis tersebut berjaya menghasilkan strawberi liar yang bersaiz 15 hingga 20 kali ganda saiz normal, tetapi ianya masih sangat kecil.
Strawberi moden dicipta oleh Antoine Nicolas Duchesne pada 6 Julai 1764, apabila melakukan kacukan antara Fragaria moschata jantan dengan Fragaria chiloensis dari Chile.
Sebelum Antoine mencipta strawberi, ahli botani Perancis tidak pernah menyedari bahawa strawberi mempunyai bahagian jantan dan betina.
Inilah sebabnya beberapa tanaman tidak berbuah kerana sesetengah ahli botani hanya menanam sama ada strawberi jantan atau betina sahaja.
Antoine terus menghasilkan strawberi sehingga Revolusi Perancis, meninggalkan legasinya kepada ahli botani Amerika dan British untuk menyempurnakan strawberi moden.