brendan fraser mangsa pencabulan seksual 892

Lebih dua dekad dahulu, nama Brendan Fraser sebagai seorang pelakon mula meningkat naik. 

Dia mencipta nama sebagai pelakon komedi dalam filem Encino Man (1992) dan George of the Jungle (1997) sebelum mencapai kemuncak populariti setelah membintangi filem 'The Mummy', meletakkannya sebagai bintang aksi komedi nombor satu Hollywood.

Namun kariernya  menjunam tiba-tiba sekitar tahun 2003. Fraser mula jarang kelihatan, tidak lagi mendapat tawaran besar di layar perak dan hanya sekali-sekala muncul dalam filem. Kehilangan ini membuatkan ramai tertanya-tanya ke mana hilangnya dia.

Semua misteri akhirnya terjawab, selepas temuramah bersama Fraser dalam tahun 2018, apabila Fraser mengaku dia malu untuk muncul di khalayak ramai selepas diserang secara seksual seorang nama besar dan tulang belakang industri hiburan di Hollywood.

Ketika kejadian itu, Fraser berusia 35 tahun dan dikemuncak kerjayanya.

Wajah riang menyembunyikan 1001 rahsia

brendan fraser philip berk

Bagi peminat filem Fraser, ada sesuatu yang menyenangkan kita apabila memandang riak wajahnya yang mudah tersenyum dan mesra.

Begitulah juga perangainya dalam dunia nyata. Seorang pemalu tetapi mesra, penampilan beliau dalam satu temuramah pada tahun 2016 menampakkan imej yang jauh berbeza. Riaknya tidak lagi mempamerkan sifat ceria.

Dua tahun kemudian, barulah Fraser memperoleh keberanian membuka mulut bagi menjelaskan semuanya.

Pada musim panas tahun 2003 semasa dia di puncak populariti, Fraser menghadiri jamuan anjuran Hollywood Foreign Press Association (HFPA), badan induk yang bertindak sebagai penganjur majlis anugerah berprestij Golden Globes.

Ketika melangkah keluar dari hotel lokasi majlis berlangsung, Fraser disapa Philip Berk, bekas presiden HFPA yang juga salah seorang panel juri Golden Globes.

Menghormati kedudukan Berk, Fraser memeluknya sebagai tanda persahabatan namun tangan Berk mula meramas punggung Fraser. Lebih teruk....jari Berk mula mengorek ruang berdekatan dubur Fraser.

Menjadi lelaki yang dicabul lelaki lain

brendan fraser philip berk gq

Philip Berk (kiri)

Terkejut dengan tindakan Berk yang tidak disangka, Fraser tergamam tetapi berjaya mengalihkan tangan Berk ke tepi.

Fikirannya bercelaru akibat kejutan yang dialami membuatkan Fraser terus pulang ke rumah selepas itu. Dia menceritakan insiden itu kepada (bekas) isterinya Afton Smith. 

Perbincangan di antara kedua suami isteri dan wakil pengurus Fraser memilih keputusan untuk menghantar surat aduan berkenaan tingkah laku Berk kepada HFPA, memohon agar Philip Berk melakukan permohonan maaf secara rasmi atas kelakuannya.

Fraser dan Smith turut berbincang sama ada mahu membawa isu itu ke pihak media seterusnya mendedahkannya kepada awam.

Namun Fraser bimbang kejadian itu akan terus menyelubungi kariernya sebagai bintang Hollywood jadi memilih untuk mendiamkannya, cuba menguruskan apa yang berlaku secara dalaman sahaja.

Brendan Fraser mula diserang tekanan psikologi

brendan fraser

Walaupun kejadian itu berlaku dalam tempoh yang sangat singkat, Fraser mula merasa keraguan dalam hatinya untuk terus menyertai aktiviti industri.

Sedikit sebanyak perjalanan kariernya selepas itu turut terjejas disebabkan rasa bimbang perkara sama akan berulang, apatah lagi status Berk sebagai orang kuat industri cukup dikenali ramai. 

Fraser mula berubah lebih gemar menyendiri. Popularitinya mula merudum. 

Tindakan mendakwa Philip Berk melalui notis pemberitahuan kepada HFPA mula memberikan impak kepada kerjayanya. Lebih menakutkan Fraser, HFPA sendiri sebagai badan yang menguasai aktiviti media Hollywood senada dengan tertuduh memilih menafikan insiden tersebut adalah satu serangan seksual.

Fraser mendakwa dia mula diboikot sebarang acara melibatkan HFPA selepas itu.

Namun Philip Berk menuduh Fraser sengaja membesar-besarkan cerita serta ingin mencari kambing hitam untuk dipersalahkan selepas kariernya mula menurun.

Lebih menyulitkan situasi, HFPA mencadangkan agar Fraser dan Berk mengeluarkan kenyataan bersama bagi memperjelaskan kes tersebut kepada wartawan yang sudah mula menghidu ada isu di sebalik tabir hanyalah salah faham antara rakan sekerja.

Fraser enggan menuruti permintaan itu sebaliknya memilih untuk berdiam diri daripada membincangkan insiden ini secara terbuka.

Lima belas tahun kemudian, Fraser dalam temuramah bersama majalah GQ menceritakan tanpa mahu berselindung lagi apa yang telah menimpa dirinya.

Jangan biar apa yang Fraser lalui berlaku kepada anda

brendan fraser menggemukkan diri untuk filem

Penampilan terkini Fraser selepas membesarkan dirinya bagi membawa watak seorang lelaki terlebih berat dalam filem 'The Whale'

Philip Berk kekal sebagai seorang nama besar dalam HFPA dan terus dilantik sebagai panel pemilihan pemenang anugerah Golden Globes, walaupun Berk sendiri pernah berdepan beberapa kontroversi berbeza selepas insiden tahun 2003 itu.

Keberanian Fraser membuka mulut membawa kepada pengakuan seorang lagi pelakon veteran, James Woods yang menyatakan dia juga menjadi mangsa boikot Philip Berk mirip apa yang telah dilalui Fraser. 

Woods mendakwa selepas konflik berkait politik di antara keduanya, diamula disisihkan dalam mana-mana aktiviti anjuran HFPA. Nasib baiklah aktor veteran ini bukanlah salah seorang mangsa serangan seksual bukan? 

Setakat ini, hanya Brendan Fraser sahaja berani mendedahkan dia dicabul oleh Philip Berk.

Kita mungkin tidak tahu sama ada Berk benar-benar bergurau atau memang sengaja hendak mengusik kemaluan Fraser namun, asasnya perbuatan itu perlu ditegah kerana mengganggu privasi tubuh individu lain, tak kiralah dilakukan untuk bergurau atau tidak. 

Tak ada siapa suka orang lain menyentuh kita di tempat yang tak sepatutnya tanpa izin, apatah lagi individu sama jantina. Jika untuk gurauan sekalipun, tindakan itu yang diakui Berk benar berlaku melampaui batas.

Apa yang telah berlaku kepada aktor kacak ini menghantui hidup beliau dan hanya selepas 15 tahun berhadapan kejatuhan populariti, perceraian dan kehilangan ibu tersayang - barulah Fraser berani membuka mulut menjawab semua spekulasi yang pernah timbul semasa dia di kemuncak kerjaya.

Sekiranya anda ada pengalaman serupa pernah dinodai secara sengaja atau sekadar bergurau senda, sudah tiba masanya anda memberanikan diri untuk bersuara tak kiralah apa jantina anda.

Anda harus yakin untuk menepis ketakutan anda, kerana bukan semua perbuatan perlu dibenarkan oleh anda. Ramai mangsa memilih untuk berdiam kerana bimbang kerjaya mereka akan terjejas - sikap itulah yang memudahkan pesalah-pesalah untuk terus liar berleluasa.

Lihat apa yang telah berlaku kepada Brendan Fraser dan kesannya kepada hidup dia. Hampir dua dekad dia menunggu untuk berani bersuara. Jangan biarkan perkara sama berulang kepada anda.

Rujukan

What Ever Happened To Brendan Fraser?

 

 



Hakcipta iluminasi.com (2017)