Jika sebelum ini biasa kita dengar anak remaja yang giat melampiaskan nafsu sesama sendiri sehingga terbunting dan membuang bayi, lewat kebelakangan ini pula semakin banyak terpampang berita kurang enak melibatkan anak-anak yang jauh lebih muda.

Apalah yang anak kecil seawal usia 6 - 7 tahun ini tahu tentang hukum halal dan haram berzina? Adakah mereka benar-benar sudah faham tentang nafsu dan 'keseronokan' itu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah yang patut dipersalahkan apabila anak naif yang masih di bangku tadika sudah ternoda kesuciannya? Adakah salah pengasuh di pusat asuhan ataupun salah guru di sekolah? Ataupun ibu bapa terlalu sibuk bekerja mencari kekayaan dunia hingga anak-anak ini hanyut?

Sebelum terlewat, ambillah langkah pencegahan. Sememangnya anda tidak tahu apa yang boleh terjadi semasa ketiadaan anda tetapi sekurang-kurangnya anda telah mempersiapkan anak dengan ilmu dan didikan secukupnya.

mangsa serangan seksual anak

1. Ajar anak tentang sentuhan selamat & sentuhan tidak selamat

Untuk pengetahuan anda, modul ini sudahpun diajar dalam subjek Pendidikan Kesihatan Tahun 1. Tapi faham-faham sajalah, mungkin guru yang mengajar itu lelaki. Mungkin juga guru yang mengajar itu berasa sedikit segan untuk bercerita panjang lebar kepada anak-anak kecil ini. Jadi, pihak yang terbaik dan sewajibnya mendidik anak mengenai sentuhan ini adalah ibu bapa sendiri.

sentuhan selamat sentuhan tidak selamat

Beritahu pada anak, tidak ada sesiapa pun yang boleh menyentuh mereka di bahagian sulit ataupun menyentuh hingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa. Jika ada mana-mana orang menyentuh mereka, ajar mereka untuk lari dan menjerit sekuat hati sebelum dilaporkan kepada anda atau mana-mana pihak yang dipercayai.

2. Didik anak untuk berasa malu

Ada sesetengah ibu bapa yang gemar menelanjangkan anak di khalayak ramai dengan alasan "Alaa, biarlah. Dia kecil lagi." Tahukah anda, perbuatan ini boleh menyebabkan anak itu membesar sehingga tidak berasa malu dengan sesiapa pun.

Sebaiknya, ajarlah anak untuk sentiasa berasa malu dan segan. Jika keluar tandas, pakai seluar terlebih dahulu. Jika mahu mandi, buka pakaian di dalam bilik. Jangan dibiarkan mereka berasa tidak mengapa jika mendedahkan aurat atau berseparuh bogel walaupun di hadapan saudara-mara terdekat.

3. Jangan biarkan anak melayari Internet tanpa pengawasan

Yang ini mungkin keadaan paling kerap terjadi dan dianggap 'normal'. Ibu bapa belikan anak telefon pintar, tab dan segala macam gajet kemudian dibiarkan sahaja anak menghabiskan masa menatap skrin sambil ibu bapa sibuk dengan perkara lain.

anak anak melayari internet tanpa pengawasan

Tahukah anda, gajet dan internet merupakan salah satu penyumbang besar kepada keruntuhan akhlak anak muda zaman sekarang? Anda pasti sedar bahawa alam maya ini merupakan sebuah dunia tanpa sempadan dengan terdapatnya semua maklumat di hujung jari.

Jadi, perhatikanlah anak-anak dari semasa ke semasa. Sentiasa tanya apa yang mereka sedang tonton. Gunakan tetapan kawalan ibu bapa dan periksa browser's history mereka setiap hari. Bunyi macam leceh, tapi kalau sayangkan anak, buatlah.

4. Perhatikan game dan aplikasi anak-anak

Ramai ibu bapa yang kurang menyedari hakikat bahawa terdapat lambakan iklan-iklan lucah dalam permainan atau aplikasi telefon pintar.

iklan lucah dalam aplikasi game kanak kanak 570

Jika anak memberitahu yang mereka sedang bermain game, pergi lihat sendiri game tersebut. Jika anak memuat turun sebarang aplikasi, semak terlebih dahulu jika terdapat sebarang iklan lucah di dalamnya. Bayangkan kalau anak tersilap tekan, boleh buruk padahnya!

5. Berhenti mendengar lagu pop yang berunsur lucah

Lagu pop Inggeris sememangnya sering kedengaran di mana-mana, bahkan ada yang dimainkan melalui corong radio stesen berbahasa Melayu. Walaupun tidak semua lagu Inggeris ini mempunyai bait lirik yang berbaur lucah tetapi pastikanlah anda tapis dan fahamkan apa yang anak anda dengar.

Janganlah kerana lagu itu berentak catchy dan sedap didengar, ibu bapa sendiri pun naik 'syeikh' goyang kepala menyanyi bersama anak.

justin bieber despacito lagu lucah

Ada sesetengah ibu bapa yang merasakan diri mereka lebihopen-minded dan mempertikaikan kenapa harus ditapis lagu-lagu ini. "Nyanyi seronok-seronok je lah. Lagu je kot," kata anda.

Amboi. Cuba kalau ada mana-mana pertubuhan agama lain suruh anda nyanyi lagu Sunday prayers mereka, tahu pula anda melenting kata tidak boleh. Takut rosak akidah dan terbatal iman. Kenapa? Nyanyi sajalah, "Lagu je kot".

Orang kata, apa yang anda tuturkan, itulah gambaran peribadi anda. Jadi, jangan biasa membiarkan anak sekecil 5-6 tahun menyanyi lagu lucah setiap hari. Daripada lagu yang anda sangka harmless, mereka akan mencari pula video muzik lagu tersebut untuk ditonton. Kemudian apa pula yang mereka akan cari? Masih harmless lagikah ketika itu?

6. Jadilah pendengar setia

Sebagai ibu bapa, peranan dan tanggungjawab anda dalam membesarkan dan mendidik anak adalah amat besar. Ya, dunia kapitalis semakin mendesak anda untuk mengejar wang ringgit. Anda juga ingin memberikan yang 'terbaik' untuk anak-anak. Anda tidak ingin anak hidup susah, mahu mereka punyai segala-galanya yang diinginkan.

sentiasa perhatikan tingkah laku anak

Tapi ketahuilah bahawa bermain dengan pembantu rumah/pengasuh tidak dapat menggantikan masa yang hilang bersama ibu. Sekolah private yang mahal dengan yuran puluhan ribu tidak mampu menggantikan kasih sayang seorang ayah. TV, Youtube dan gajet tidak bererti lagi jika anak kesayangan anda kesakitan dinodai oleh entah siapa-siapa.

Walaupun masa yang ada bersama anak adalah terhad, gunakanlah sebaik-baiknya. Sentiasa bertanyakan khabar anak, tanyakan hari yang mereka lalui dan apa yang mereka lakukan. Anda tidak perlu jadi BFF tapi didik supaya mereka berasa senang dan sentiasa terbuka untuk bercerita apa sahaja dengan anda.

biar anak berasa senang untuk menceritakan segala galanya kepada anda

Jangan buka peluang untuk mereka meluahkan perasaan kepada kawan lain yang dikenali melalui Wechat atau di luar rumah. Ketika itu, mereka tidak akan lagi nampak anda sebagai orang paling penting dalam hidup mereka.

Ingat, anak-anak ini adalah pinjaman dan amanah Allah kepada ibu bapa. Mereka juga ibarat kain putih yang tidak mempunyai sebarang cela. Apa yang kita warnakan, itulah hasilnya.

Bila anak dah terlajak kemudian hari, tidak guna menyesal. Marilah berikhtiar sehabis baik dengan pengawasan dan didikan awal untuk mengelakkan anak daripada menjadi mangsa. Lebih teruk lagi jika anak kita akhirnya menjadi pemangsa. Nauzubillahiminzalik. Semoga dijauhkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)