Umum mengetahui bahawa berat badan berlebihan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius. Adakah kelesuan sebahagian daripada kesan berat badan berlebihan? Ataupun Sebaliknya? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Sindrom Tidur Apnea & Keletihan di Siang Hari
BESARKAN TEKS A- A+
Apnea adalah sejenis gangguan tidur yang boleh menyebabkan seseorang berhenti bernafas dalam tempoh 10 saat dan ke atas. Apabila ini berlaku, tidur akan terganggu kerana badan manusia akan secara semulajadi tersedar dari lena, memberi kesan kepada kualiti tidur. Apnea juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain seperti serangan jantung mahupun kegagalan organ tersebut, strok dan keletihan yang melampau di siang hari.
Lebih ramai mereka yang overweight mengalami masalah ini berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal. Sebabnya, berat dan lemak yang bertambah di bahagian torso (bahagian badan kecuali kepala, kaki dan tangan) dan leher boleh mengganggu fungsi pernafasan manusia. Disebabkan kerap kali terjaga dari tidur akibat apnea, badan menjadi mudah letih dan lesu di siang hari.
Malah, disebabkan terlampau lesu, idea bersenam dan pemilihan makanan yang seimbang bagi mengurangkan berat badan dilihat tidak menarik. Menurunkan berat badan melalui pemakanan yang seimbang mampu mengurangkan masalah apnea.
Dengan tidur yang berkualiti dan rehat yang mencukupi, ditambah pula dengan senaman yang berterusan, risiko apnea dan kelesuan mampu berkurangan dengan mendadak, di samping memperolehi berat badan yang ideal.
Pernafasan Tersekat Bagi Mereka Yang Mempunyai Berat Badan Berlebihan
Mempunyai berat badan berlebihan menyekat pergerakan diafragma (otot yang membantu sistem pernafasan) menyebabkan anda susah untuk bernafas. Keadaan ini menyebabkan otot, tisu dan otak anda kekurangan oksigen, seterusnya membuatkan anda berasa tidak bermaya dan kepenatan sepanjang hari.
Pergerakan Menjadi Lebih Susah Apabila Anda Overweight
Kehidupan seharian melibatkan banyak pergerakan. Berat badan berlebihan boleh menyebabkan inertia kerana bergerak dilihat sebagai aktiviti fizikal yang menyusahkan. Oleh itu, berlakulah sebuah kitaran - anda kurang bergerak, berat badan bertambah, menyebakan anda semakin malas untuk bergerak dan aktif.
Lemak berlebihan terutamanya lemak di perut berupaya mengambil alih tugas sebagai organ 'keradangan', yakni ia akan membebaskan bahan kimia dalam badan yang meningkatkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis 'type 2' dan penyakit jantung. Keradangan ini juga menyumbang kepada ketidakselesaan fizikal termasuklah mudah berasa lesu dan penat.
Mengurangkan berat badan sekitar 5 hingga 10 peratus daripada keseluruhan berat badan mampu membantu membuatkan anda berasa lebih ringan dan sihat, mengurangkan tekanan darah tinggi dan risiko penyakit jantung. Anda juga akan menjadi lebih ringan, lebih mudah untuk bergerak dan bersenam.
Punca Kelesuan Walaupun Berat Badan Normal
2 point di atas bersetuju dengan persoalan yang diketengahkan, yakni overweight menyebabkan anda berasa lesu. Namun begitu, terdapat sebab lain yang boleh menyebabkan anda berasa penat dan tidak berdaya, iaitu masalah kesihatan. Overweight boleh menyebabkan kelesuan, namun masalah kesihatan seperti tiroid (kurang aktif) turut berupaya menyebabkan kelesuan dan berat badan meningkat.
Sekiranya berat badan anda normal atau kian meningkat, dan mudah berasa lesu, pergi berjumpa doktor untuk menyemak tahap hormon tiroid anda. Selain itu, penyakit anemia yang disebabkan oleh kekurangan iron dan vitamin B12 turut menyumbang kepada kelesuan. Ujian darah mampu mengesan sekiranya anda menghidapi masalah ini.
Stress kerja, masalah keluarga atau masalah kewangan boleh menyumbang ke arah kelesuan. Tekanan akibat masalah ini menyebabkan badan anda mengepam lebih banyak hormon kortisol. Akibatnya, anda lebih mengidam makanan kurang sihat, menggalakkan badan anda untuk menyimpan lebihan kalori sebagai lemak dan berasa susah tidur di malam hari.
Kesan jangka masa panjang, anda menjadi overweight dan mudah lesu. Gaya hidup yang sihat mampu mengurangkan masalah ini. Urus masa dengan baik, lakukan yoga, meditasi atau banyakkan berzikir dan dekatkan diri dengan Tuhan bagi yang beragama Islam supaya kesihatan mental anda terjamin, justeru menjamin kesihatan fizikal anda.
Kesimpulan
Kesihatan amat penting. Jagalah kesihatan anda sementara anda masih sihat, dan jangan tunggu sehingga masalah menjadi serius dan anda tidak lagi boleh kembali seperti dahulu kala. Menyesal kemudian tidak berguna. Sekiranya anda mempunyai berat berlebihan, ambil langkah proaktif untuk mengurangkan berat badan. Yang penting istiqamah (konsisten).
Sumber: